Undilah...

Sunday, September 19, 2010

Penangan Hindustan

“Haram zate! Mere Zindagi Mere Mohabbat. Pyaar Pyaar. Inspector Shahab. Bombay Police Station. Syabbas bette! Kya hua beta? Happy Birthday Daddy!”

Itu semua merupakan kosa kata yang biasa kita dengar apabila menonton filem-filem hindi atau Hindustan. Bermula dengan filem Kuch Kuch Hota Hai, orang Melayu terutamanya, jadi kemaruk Hindustan. Masa tu tak tengok Kuch Kuch Hota Hai kira loser lah. Ibarat macam tak pernah tengok Lord of the Rings, Titanic, kena gelak kalau tak tengok. Kalau kat kolej universiti tu, dalam hostel atau dorm, mesti kena ada VCD-VCD Hindustan. Dalam sehari, kalau takde tayangan amal di bilik pun, paling koman pun kena pasang lagu Hindustan kuat-kuat.

Ada satu kes tragis di hostel, sewaktu tayangan VCD Hindustan, filem Maan, lakonan Aamir Khan bersama Manisha Koirala . Masa tu VCD dipasang kat computer/CPU. Macam biasa, lampu dipadamkan, bagi feel TGV sikit. Setelah habis tayangan, lampu dinyalakan dan kelihatan seorang brader, Rizal (bukan nama penuh) yang memang terkenal dengan muzik-muzik undergroundnya, sedang mengesat-ngesat air matanya. Ini yang dikatakan muka Amuk, jiwa Tomok. Di satu sudut yang lain, bila nak dengar lagu Hindustan kat radio, sanggup Qiamullail pukul 3 pagi dengar radio THR segmen “Hindi Power”. Begitulah hebatnya penangan Hindustan di kala itu. Dengan aku aku sekali terkena. Hah gitu. Frankly speakinglah Dato’ merupakan kaki Hindustan dulu. Kaki Hindustan, bukan maksud Dato’ yang Dato’ ni mempunyai kaki berbulu, tetapi pendek kata Dato’ ni peminat tegar Hindustan satu ketika dulu. Ketika aura Bollywood menguasai bumi Malaysia lebih sedekad yang lalu.

Masa itu Jalan Masjid India dah jadi tempat safa dan marwa bagi Dato’ berlari-lari anak dari LRT Masjid Jamek ke pasaraya Mydin. Sampai di Mydin, terus Dato’ tawaf mencari VCD-VCD Hindustan yang baru keluaran Sendi Mutiara dan kaset OST terutamanya daripada lakonan Shah Rukh Khan yang sekarang ni bergelar Datuk. Datuk Shah. Ehem. Sekian dimaklumkan.

Boleh dikatakan semua lagu Hindustan Dato’ hafal. Bukan sahaja dihafal, malah boleh dinyanyikan semula. Untuk memperkukuhkan kosa kata Dato’ pada masa itu Dato’ buat wuquf di Semua House, ada satu kedai Punjabi yang menjual buku menguasai bahasa Hindi. Konon tak feel bila nyanyi lagu Hindustan, tapi tak faham lirik. Lama-lama Dato’ perasan yang bila Dato’ nyanyi lagu Hindustan dengan mempertuturkan beberapa butir skrip dari filem yang telah ditonton, memang takde bunyi Melayu langsung. Bak kata orang, apa tu, fluentlah gitu. Kira pakej lengkap lah. Acuan hidung dah memang sedia ada. Tinggal nak belajar gelek je sebelum layak ke Mumbai.

Kat universiti pulak masa tu, Dato’ siap kawan dengan budak lelaki Pakistan. Yelah, walaupun Dato’ ada ilmu dan bulu di dada, apa-apa permasalahan di dalam bidang Hindustan ni, Dato’ akan rujuk pada budak ni, termasuk latest update filem-filem terkini di pasaran.

Masa tu, tak tengok dah awek-awek Melayu. Hello Miss, Hello Miss! Mata Dato’ dah berkenan akan seorang gadis Pakistan yang saling tak tumpah macam Karisma Kapoor bila mengenakan baju tradisi Punjabi. Siap hantar email tu kat dia untuk salam perkenalan. Hari-hari Dato’ pergi lab computer untuk check email. Maklumlah masa tu belum potong lagi, tak wujud lagi broadband. Hati Dato’ keriangan apabila email Dato’ dibalas. Paham jugak dia akan email Dato’ walaupun ada dua tiga ayat Hindi yang Dato’ goreng. Yelah nak bagi impress lah sikit. Baru dia tahu yang Dato’ buat homework sebelum tackle. Namun jawapan replynya hampa apabila dia mencadangankan supaya diputuskan saja hubungan kami. Dato’ berasa pada masa itu, dunia ini gelap buat Dato’. Pada masa itu, secara kebetulan guruh pun berdentum. Sebijik macam scene Shah Rukh Khan kena reject dengan family Kajol dalam filem Dilwale Dulhania Le Jayenge.

Malang sungguh. Belum kenal, dah mintak putus. Alasan yang diberi oleh gadis Pakistan itu ialah dia sudah pun bertunang. Eke ele Minah Chi ni, orang ajak berkenalan lah, bukan ajak kahwin. Perasannya dia!! Are pagal hai ladki hai! Melihat alasannya, Dato’ rasa lega sikit, kerana yang menjadi penghalang hubungan kami hanyalah statusnya sahaja. Dato’ pun pulang ke hostel dengan keadaan basah kuyup akibat hujan yang mengiringi perjalanan. Hah gitu.

Masa itu, kalau berchatting di internet guna nama Shah Rukh Khan, berlumba-lumba awek-awek nak berkenalan. Kalau sebut je dua tiga patah perkataan Hindustan, nyanyi je sikit lagu, boleh jadi histeria perempuan masa tu. Cuba kalau buat macam tu, sekarang. Alamat kena cop Mat Bangla. Begitulah hebatnya penangan Hindustan ketika itu. Aura Bollywood sekarang tak sehebat dulu. Biasalah kat Malaysia ni ikut musim. Kalau sekarang ni, Lombokwood pun jadi.

Itulah kenangan lalu Dato’ bersama Hindustan. Sekarang ni biasa-biasa lah. Tak dapat orang Pakistan, tapi dapat orang Santan, Perlis. Kira oklah, ada Tan jugak. Syukur. Sekarang ni Dato’ tak follow sangat perkembangan Hindustan ni. Tapi masa raya hari tu, Dato’ terbukak satu channel di Astro, ada satu filem dibintangi oleh Shah Rukh Khan. Hah sudah, ini boleh mengugat iman! Tajuknya Duplicate. Mengisahkan dua watak berbeza yang mempunyai wajah seiras, satu crook yang maha jahat, Manu, dan satu lagi chef restaurant yang bodoh-bodoh alang, Bablu. Akhirnya mereka bertemu di satu plot. Kemudian jadilah huru hara dan cerita.


Dulu Dato’ cukup minat dengan cerita ni. Dulu kalau menonton cerita ni rasa lucu dan seronok. Tapi sekarang bila Dato’ menonton cerita ni, jadi tak seronok, seriau dan fobia, terutamanya bila scene gaduh-gaduh, lawan-lawan, asak-bergasak, geng-geng Manu yang bertubuh sasa, bermisai lebat, berjambang dan berboroi. Tersembur kuih raya yang Dato’ makan. Sebab Dato’ rasa amat geram sekali melihat mereka. Bila melihat kuncu-kuncu dia kena taruh, Dato’ rasa happy dan kalau diberi peluang membintangi filem tu (rupa, gaya dan bahasa dah ada), pun Dato’ sanggup, sebab nak belasah sama diaorang.

Penangan Hindustan memang tersentuh di kalbu, membuatkan kita rasa nak bercinta dan berkasih sayang sesama manusia. Tetapi adegan-adegan kejam, tak bertamadun dan tidak bertatasusila di dalam filem-filemnya amat mengacau jiwa sungguh. Belasah sana, belasah sini. Tikam sana tikam sini. Bunuh sana bunuh sini. Mulai sekarang Dato’ ingin mengumumkan persaraan dari industri Bollywood. Dato’ nak lompat ke platform baru.

Korean Rulezzzs! Baik tengok Winter Sonata, My Girl, Boys before Flowers. Walaupun asyik-asyik kat hospital, makwe kena kanserlah, mak bapak sakit tua lah, janji takde adegan ganas-ganas ni yang ternyata amat meruntun jiwa.


Goodbye Miss, Goodbye Miss! Namun specis baru pulak muncul. Si mata-mata sepet di sekeliling Dato’ ni memang boleh meruntun jiwa sungguh! I want nobody nobody but you…! *Pap pap*

From Pyaar to Saranghae,
Dato’ Shah
gurunsakura.blogspot.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...