Undilah...

Monday, October 3, 2011

Kertas 1 Bahasa Melayu

Hai adik-adik! Apa khabar? Haipp…! Jangan buka dan baca soalan ini sehingga diberitahu. Sempena musim peperiksaan ini, Abang Shah ingin menyiarkan contoh karangan Bahasa Melayu, bertajuk “Lawatan Sambil Belajar ke Pulau Pinang”. Nama pun contoh, dik. Jangan pulak kau ikut, jangan tulis karangan ini dalam peperiksaan. Nanti ibu bapa adik pulak yang buat lawatan sambil mengajar ke rumah Abang Shah. Hah gitu. Semoga berjaya di dalam peperiksaan kelak. Oh ya, sekarang dah boleh buka dan baca.





Semua orang mempunyai pengalaman melawat ke suatu tempat yang menarik sama ada di dalam ataupun di luar negara. Bagi diri saya, pengalaman yang paling menarik ialah ketika melawat ke Pulau Pinang. Ayah saya kata negeri Pulau Pinang adalah negeri yang selamat untuk dilawati. Ayah saya berkata lagi negeri Pulau Pinang juga berjaya menarik para pelabur dari seantero dunia.

Kami sekeluarga telah melawat ke Pulau Pinang selama dua hari satu malam sahaja kerana bilik di hotel sudah penuh manakala poket ayah belum penuh. Kami telah bertolak dari rumah iaitu dari negeri Johor seawal pagi lagi. Kami telah membuat keputusan untuk pergi ke Georgetown, ibu negeri Pulau Pinang dengan menaiki feri dengan membayar tambang. Apabila kami pulang semula ke Johor nanti, kami akan menggunakan laluan jambatan. Saya sangat terkejut dan bersyukur apabila kami tidak akan dikenakan tambang apabila pulang menggunakan jambatan.

Saya sangat teruja apabila menaiki feri. Kami telah merakamkan pengalaman pertama berada di dalam feri ke dalam kamera. Ibu saya yang paling beria-beria menyuruh saya merakam gambarnya kerana ibu mahu memuat-turun gambarnya ke laman muka bukunya.

Di Bandar Georgetown, kami makan nasi kandar yang terletak di tengah-tengah bandar. Ayah mengadu sakit kaki kerana lenguh-lenguh beratur menunggu giliran nasi kandar. Selepas makan, kami bersiar-siar menaiki beca yang bermuzik mengelingi bandar. Kami juga sempat membeli pelbagai jenis asam. Pekedai itu kata boleh campur campur, semuanya RM7. Ibu membeli cenderamata untuk rakan-rakan dan ayah membawa saya dan adik ke kedai pakaian kanak-kanak. Semasa kami sedang asyik membeli belah tetingkap, tiba-tiba adik hilang dari pandangan.

Ayah berasa cemas kerana bimbang adik diculik. Namun saya menenteramkan ayah dan mengingatkan bahawa di sini selamat dan adik ada di sini. Mujur selepas beberapa minit berlalu, adik telah muncul dari “fitting room”, setelah mencuba gaun merah kegemarannya sejak dulu. Kemudian Ayah berpesan supaya tidak memberitahu perkara ini kepada ibu kerana bimbang ibu akan berleter. Ini kerana adik saya itu merupakan seorang budak lelaki.

Seterusnya kami menaiki sebuah kereta api ke Bukit Bendera. Walaupun perjalanan ke Bukit Bendera mengerunkan, namun kami dapat menikmati keindahannya. Kami telah menikmati keindahan Pulau Pinang yang mempersonakan dari puncak Bukit Bendera. Semasa di Bukit Bendera, telefon bimbit ibu telah hilang. Saya menenangkan ibu bahawa di sini selamat dan telefon ibu tidak mungkin dicuri. Rupa-rupanya ayah telah menyorokkan telefon ibu kerana ibu asyik melayari laman muka buku walaupun muka kami ada di depan mata. 

Kami menginap di Batu Ferenggi. Kami sempat berenang ke dalam kolam renang dan sempat bermain di pantai. Pada malamnya, ayah telah membawa saya menonton persembahan boria. Saya sangat seronok mendengarkan melodi irama boria yang enak didengar dan bermesej. Antara bait-bait lirik lagu persembahan boria itu yang saya ingat adalah;

“Eh, Pulau Mutiara, indah sekali,
Ada naik feri, ada Batu Ferenggi,
Boleh ronda-ronda, makan tak ingat diri,
Negeri ini makmur, tidak terperi,
Tapi jangan mengata, lain negeri,
Oh hoi, jangan mengata, lain negeri,
Satu Malaysia, satulah hati,
Borialah ini, mengundur diri,
Ampun dan maaf, pohon diberi."

Saya berasa sangat gembira kerana bermacam-macam aktiviti yang dapat saya lakukan di Pulau Pinang. Saya merasakan percutian ini tidak dapat saya lupakan. Saya berharap agar percutian kali ini tidak dipolitikkan. Hah gitu. Inilah pengalaman yang paling seronok dalam hidup saya.

http://gurunsakura.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...