Undilah...

Saturday, October 29, 2011

Cerpapen: Edisi Performance Review

Karipap-karipap yang sebentar tadi panas, kini menjadi sejuk, kesan udara hawa dingin yang dipasang pada kadar yang dingin amat. Letaknya teratur dan dihempap-hempap antara satu sama lain di dalam mangkuk kaca yang bertaraf eksklusif. Bosan dan rimas dengan keadaan yang terhimpit, sebiji daripada karipap itu bangun bersuara, “Eh kawan, kau tengok sebelah kita itu, berlengas je aku tengok, jijik!”.

Di satu sudut berdekatan dengan sekumpulan karipap itu, kelihatan donut-donut yang dipenuhi gula satu badan.

Karipap itu mula menegur donut, “Kau tau kitaorang punya strength? Sekarang ni kitaorang dah glamer, manusia dah angkat kami ke layar perak. Tu Karipap-Karipap Cinta. Kau ada? Aku tengok kau ni banyak weaknesses. Tahukah kau bahawa kaulah kuih yang ditengah-tengahnya tak boleh dimakan? Sebab tengah-tengah kau berlubang, mana boleh makan. Hah gitu.”

Selamba saja karipap mengchoki-chokikan donut itu sambil disusuli hilai ketawa rakan-rakan papnya yang lain.

Donut rasa tercabar dan membalas, “Eleh, baru masuk satu filem dah kecoh. Nak cakap pasal strength konon. Eh antara aku dengan kau siapa lagi berharga? Aku lagi bernilai tau. Setakat kau, 3 biji boleh dapat seringgit. Kau cuba pergi Big Apple boleh ke tak beli donut dengan seringgit?”

Tersentap mendengar kata-kata donut, karipap mengambil tindakan untuk mengubah topik, “Wei… wei… kau perasan tak, ada manusia yang tengah perhatikan kita ni?”

“Mana… mana?”, tanya donut yang telah masuk perangkap karipap.

Ya, sebenarnya yang sedang memerhatikan mereka berkuih, adalah Dato’ sendiri. Dah lama Dato’ duk usha usha. Bilalah nak dapat makan ni. Bilik meeting ni dahlah sejuk. Meeting pulak membosankan, berkenaan dengan performance evaluation di akhir tahun. Setiap staff dikehendaki mengisi borang, dan menyatakan adakah goal yang dicadangkan pada awal tahun tercapai melalui prestasi kerja sepanjang tahun. Juga di situ perlu dinyatakan akan strength (kekuatan), weaknesses (kekurangan atau point untuk peningkatan prestasi. Semua ini akhirnya akan dibincangkan bersama dengan supervisor masing-masing.

Tiba-tiba telefon Dato’ bergetar. Hah, ini yang ditunggu-tunggu. Dapat juga Dato’ keluar sekejap dari bilik meeting.

“Hello, kami dari Syarikat Korea...”

Hah. Syarikat Korea mana pulak yang telefon ni. Mana pulak dia dapat resume Dato’. Terbayang pulak nanti, dapat kerja satu office bersama Saranghae Saranghae di sekeliling. Lepas waktu ofis, boleh pergi konsert Girls Generation.

“Kami dari Coway. Hari tu, pekerja kami ada datang rumah, buat servis, bukan? Kami ingin mendapatkan maklum balas. Adakah pekerja itu berpakaian kemas, datang pada masa yang dijanjikan dan memberi penerangan yang secukupnya. Kemudian kami mahu mendapatkan rating, dari 1 hingga 5, berapa yang Encik bagi?”

Dato’ memang mempunyai mesin penapis air Coway di rumah. Hai, sampai Coway pun buat performance review kat pekerja dia. Memang musim agaknya. Maklumlah hujung tahun, nak tentukan juga, siapa yang promote, siapa yang demote, ada kenaikan gaji atau tidak.

Sempena musim performance evaluation ini, Dato’ ingin mempersembahkan satu lagi Cerpapen - cerita paling pendek. Selamat membaca. Yang tadi tu mukadimah aje. Hah gitu.

22 tahun pasangan itu mendirikan rumahtangga. Adat hidup suami isteri, ada pasang surutnya. Lautan mana yang tidak dilambung ombak, langit mana yang tidak mendung dan lebuhraya mana yang tak pernah accident. Namun segala onak dan duri ditempuh jua. Salmiah telah dikurniakan Ilahi dengan empat cahaya mata, bersama pasangannya Harun. Apa yang menjadi masalah ialah anak-anak Salmiah semuanya anak-anak Harun. Anak Harun betul! Maksudnya anak-anaklah antara sebab Salmiah terus kuat mempertahankan rumahtangganya yang bagaikan retak menanti belah.

Selama lebih 10 tahun Salmiah dan Harun, suami isteri tidak bercakap sesama sendiri. Kadangkala, mereka menggunakan facebook sebagai medium untuk berkomunikasi.  Itupun dengan mengupdate status facebook masing-masing walaupun mereka berada di dalam rumah yang sama. Jika Salmiah ingin keluar ke rumah, untuk mendapatkan izin suami, dia terus update statusnya;


“Pergi ke kota menunggang kuda,
Membawa ragi bersama pandan,
Hajat di hati mahu ke kota,
Apakah diri ini diizinkan?"

Walau bagaimanapun Harun tidak membeli pantun Salmiah kerana Salmiah pun tak ingin menjualnya. Salmiah hanya akan keluar rumah setelah suaminya Harun like status facebooknya. Begitulah kroniknya keadaan rumah tangga mereka.

Salmiah berasal dari Terengganu manakala Harun berasal dari Selangor. Mereka  berselisih faham bukanlah kerana Harun bengang disebabkan Selangor kalah kepada Terengganu di separuh akhir Piala Malaysia 2011. Atau bukanlah sebab Salmiah bengang disebabkan Enakmen Hudud di Terengganu semasa PAS memerintah yang tidak dinyatakan peraturan jika suami meliwat isteri. Punca selisih faham ini adalah kerana ego masing-masing.

Untuk itu, Salmiah telah bertekad untuk mendapatkan khidmat nasihat di pejabat agama secara bersendirian. Salmiah menceritakan masalah rumah tangga mereka di hadapan seorang ustaz yang bertugas pada ketika itu. Salmiah menceritakan segalanya yang berlaku pada sesi performance review itu.

Ustaz itu tercengang dan pelik bagaimana suami isteri boleh tinggal sebumbung tetapi tidak bercakap selama 10 tahun! Lalu ustaz itu bersuara, “Beginilah, apa kata kamu, sebagai isteri, mengalahlah, buanglah ego kamu tu. Kamu tegurlah suami kamu tu dulu. Tak ada jatuhnya maruah kamu, malah martabat kamu akan tinggi di atas sifat rendah diri kamu itu.”

Semasa Ustaz itu sedang memberi khidmat nasihat, dia terdengar suara budak menangis di dalam bilik kaunseling itu. Tiba-tiba budak yang berusia lebih kurang 2 tahun itu muncul di sebelah Salmiah.

“Yelah... yelah... kejap lagi kita balik ye”, pujuk Salmiah kepada budak itu.

“Ini anak kamu ke?”, tanya Ustaz dengan penuh kehairanan. Salmiah menjatuhkan kepalanya sekali. Budak itu merupakan anak keempat Salmiah dan Harun.

Ustaz: "Eh peliknya, macam mana kamu tak bercakap dengan suami kamu selama 10 tahun, tapi kamu ada anak yang kecil sebegini?"

Salmiah: "Ustaz oh ustaz… Kalau bab tu, memey lah… Tak perlu kata apa-apa…"

Ustaz: (Senyum)

Hamboi. Gaduh punya pasal, masa suami isteri tu nak berkomunikasi, dia sanggup guna facebook. Tapi bila nak anak, pandai pulak dia guna face to face ye. Hah gitu. Pengajaran cerpapen kali ini ialah, performance review harus dilakukan dengan ikhlas dan tanpa ada ego di hati. Berbincanglah dan bermuhasabahlah tentang kelemahan diri dan cara-cara untuk memajukan diri dengan orang yang sepatutnya kita rujuk.

Wednesday, October 26, 2011

Cuti Diwali


“Assalammualaikum…w.b.t. Perhatian kepada ibu/bpa penjaga,
dimaklumkan bahawa tadika arabiah bab al-kauthar akan ditutup(cuti)
pada 26,27,28 hb oktober 2011 untk beri laluan pada cuti deepavali.
Kerja sama dari pihak tuan dan puan, amat kami hargai. Tkasih. Harap maklum.”

SMS ini Dato’ terima pada dua hari yang lepas, manakala hari ini umat beragama Hindu merayakan hari Deepavali, ataupun hari Diwali seperti yang kita kenali semasa menonton filem Hindustan. Deepavali disambut  pada hari ke 14 bulan Aipasi di dalam calendar Tamil, iaitu antara bulan Oktober dan November. Perayaan Deepavali dikenali sebagai pesta cahaya dan juga dikenali sebagai hari cuti umum di Malaysia. Hah gitu. Ada pihak seperti Human Right Party (HRP) yang merupakan platform politik Hindraf mencadangkan agar cuti deepavali dipanjangkan lagi seperti dua perayaan  terbesar di Malaysia yang lain, Tahun Baru Cina dan Aidilfitri. Diharap kerajaan dapat mengkaji dan menimbang permintaan pihak berkenaan tentang cuti deepavali. Yelah, ustazah juga tidak mahu ketinggalan meraikan cuti ini bersama-sama. Hah gitu. Barulah kurasa hidup ini akan lebih cerah dan meriah.

Sememangnya kemeriahan Deepavali tidak dapat dinafikan. Pada pagi yang berbahagia ini, kita bangun pagi pada cuti-cuti begini, di atas meja terhidang kuih muih seperti vade, laddu dan hidangan main course yang lain seperti putu mayam, tosai, idli, nan cheese dan makanan lain berasaskan sayuran. Namun ini cuma hanya ilusi. Realitinya, kita harus mandi dan terjahlah ke mana-mana kedai untuk bersarapan pagi.

Dato’ dan sekeluarga telah pun pergi ke restoran mamak berdekatan untuk makan pagi. Ramainya orang tidak terkata. Menyesal pulak bangun lambat. Suasana di kedai mamak pada pagi itu tidak seperti biasa. Hari biasa, belum sempat kita duduk, pekerja mamak sudah bersiap sedia menerima arahan atau order bersama pen dan kertas. Tetapi pagi ini, lain yang dipanggil, lain pula yang datang. Tauke DVD pulak yang datang ambik order. Terkejut juga kami anak beranak mendengar pengakuan yang dia kahwin banyak dan isteri dia semua jahat – “Bini Biniku Gangster”. Eh tauke, bini gua pun gangster taw, kalau dia lapar, dia makan orang taw. Jangan sampai lu pulak jual DVD bini gua nanti! Tauke DVD pun berlalu, namun seorang pun pekerja mamak tak lalu-lalu. Ada yang nak kena Libas ni.

Dato’ pun mengemaskan sendiri meja makan yang berserabut, mengelap sisa kuah dal, dan pergi mencapai baby chair. Setelah beberapa kali mengangkat tangan dan membuat bunyi tikus, akhirnya seorang pekerja singgah. Pesanan telah selamat diambil dan kini kami menunggu giliran makanan sampai. Dalam hati kecil berkata, mengapalah pemilik restoran ini tak belajar dari pengalaman dulu. Kalau public holiday ke cuti umum ke, apa salahnya tambah pekerja. Bila servis laju, orang pun ramai datang. Memanglah sekarang ni pun ramai, tapi ramai yang masih menunggu dan tak dapat makanan lagi. Bila ambik pekerja ramai, servis laju, maka pelanggan akan datang silih berganti.

Bila dah jadi macam ni, pekerja pun, sehingga dah tak menang tangan. Janganlah pula kita nak harap membuat pesanan yang mengada-ngada. Nak order telur mata yang mata tak nak pecah, bihun goreng tak nak sayur, teh tarik kurang panas, roti canai kuah dal campur kari, telur tiga suku masak lebih masak, roti bakar miskin (kurang kaya dan mentega), ais krim goreng, jangan haraplah. Nanti karang, lain yang diorder, lain yang sampai, kita pulak yang lebih masak, mulalah rasa nak pecahkan muka orang.

Selang 10 minit begitu, makanan dan minuman kami pun sampai. Alhamdulillah semuanya cukup sempurna kecuali satu. Sudu dan garpu tak sampai. Ini tak boleh jadi. Kalau nak panggil mamak tu lagi sekali, bila pulak dia nak datang, boleh jadi kebulur kami anak beranak tak makan. Dato’ pun bangun dengan mengambil sendiri sudu dan garpu di tray.

Dengan secara tiba-tiba, Dato’ terdengar suara orang berleter dan suara orang marah-marah datangnya daripada pemilik restoran mamak itu, rasanya dia boss kat situ. Suara itu datang betul-betul dari arah belakang Dato’. Yang tak bestnya boss restoran tu marah-marah kat Dato’ dengan bahasa ibunda dia, yang sepatah haram Dato’ tak paham, kecuali yang hujung-hujung tu yang Dato’ paham, dia kata, “Customers always right… Faster… Faster…!”

Dato’ kemudian bersuara dengan lantang, “Dey tambi, macha! Lu tak tau baca ka? Ini baju tulis K.R.U.… bukan C.R.E.W.! Tarak tau ka KRU? Itu nyanyi lagu AWAS, tarak baca ka? Chittt… Poorah!”

Apabila perut dah lapar, hati dah panas dan perasaan pun dah lebih masak, maka itulah hasilnya. Dato’ pun cepat-cepat makan dan segera meninggalkan restoran. Pengajaran yang berguna untuk Dato’, iaitu janganlah pakai baju KRU semasa berkunjung ke kedai mamak.

Hari ini banyak kali juga Dato’ belek-belek muka ke cermin. Kedai Sri Jaya tu pulak tutup seminggu, nak beli krim. Barulah kurasa hidup ini sememangnya tak fair and lovely! 

Monday, October 24, 2011

Anda Ada 6 KM Lah Pulak


Saya… A407… Dato’ Shah
Aceh, macam inspector Polis perkenalkan diri pulak. Acaner tu? Yang ni Anda Ada 6 km lah pulak, susulan daripada Anda Ada 10 KM. Kali ini dengan semangat yang baru , prinsip yang baru, azam yang baru, cuma t-shirt je yang lama, sebab takde size. Hah gitu. Penganjur hanya ada size L dan M sahaja. Jadi terpaksalah Dato’ pakai t-shirt sendiri. Arggghhh… Ini membuatkan semangat Dato’ lagi membara ni. Tunggulah next time bila dah kurus, Dato’ akan pakai size Muat iaitu saiz M.

Pada tanggal 9 Oktober 2011, hari Ahad, Dato’ telah tanggalkan pakaian tidur awal-awal pagi lagi untuk menyertai satu lagi larian, kali ini larian amal PIKOM Charity Run. Nampak tak, dia punya ayat ulang-ulang... larian, amal, charity, run. Takpelah ini nak menguatkan lagi ayat dan nawaitu untuk berlari. Subuh-subuh lagi, Dato’ telah bergegas ke Capsquare, tempat perlumbaan bermula. Subuh itu juga, ketika Dato’ nak memulakan perlarian, ada pulak sekelompok insan yang baru nak mengakhiri perniagaan, semasa Dato’ menyusuri Jalan Tunku Abdul Rahman dan menjeling-jeling seketika keadaan di sekitarnya.

“Hey, ape nengok-nengok ni, business closed lah, nyah!

Uniknya larian amal ini diadakan di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur yang akan melalui KLCC dan KL Tower. Mengapa larian ini unik? Ini kerana kebiasaanya larian di KL akan diadakan di Dataran Merdeka, dan melalui jalan-jalan yang kurang sibuk. Ini penganjur yang cakap dalam ucapannya semasa semua para pelari sedang memanaskan badan dan semasa Dato’ sedang memanaskan wajah  dengan flash kamera.

Jadi apa pula benchmark Dato’ kali ni? Kamonlah, dah pernah masuk larian takkanlah kali ni nak masuk buta je. Kali ni, Dato’ sudah bersedia dengan strategi bagai. Apa? Benchmark Dato’ masih lagi Datin? Hey, pesan hadith ada menyebut, orang beriman tak akan disengat dua kali dalam lubang yang sama. Tapi Dato’ ada pesan kat dia, nanti sekali sekala, masa larian tu Dato’ akan jenguk-jenguk belakang dan tunggu dia untuk lari sama-sama. Makcik India  dan amoi seluar pendek berbunga??  Hey, harap-harap tak jumpalah. Dahlah laju, potong tak bagi signal.

Dato’ ada strategi baru. Muzik! Malam sebelum larian, Dato’ dah transfer semua lagu-lagu yang fast track, bergenre rancak dan yang kena dengan jiwa Dato’ iaitu kumpulan K-POP, 2pm. Dato’ memang peminat setia 2pm. Bukannya sebab Dato’ selalu keluar lunch dari ofis pukul 2pm, tetapi disebabkan lagu-lagu dia mampu membuatkan kita rasa semangat dan motivasi untuk memulakan tugasan atau apa juga yang  dilakukan.

Setelah peserta-peserta larian dilepaskan untuk berlumba, Dato’ memasang track pertama dari 2pm, “Heartbeat”. Lagu ini berkenaan jantung dan hati seorang lelaki sejati yang berdegap degup ingin meluahkan rasa cintanya kepada si jantung hatinya.  Mendengarkan lagu ini membuatkan permulaan larian Dato’ lancar dan agak licin, dan jantung Dato’ ketika itu mengepam laju persis RON97 masuk ke dalam injap enjin. Peluh jantan mulai turon. Memang ada rasa macam nak berhenti, tapi bertemankan lagu-lagu K-POP  menyebabkan larian Dato’ pada kilometer pertama  agak TIP-TOP. Masuk kilometer kedua, larian-larian peserta yang lain nampak agak perlahan dan ada yang telah berhenti untuk berjalan. Termasuklah Dato’, hah gitu.

Kebetulan, masa Dato’ dah membuat keputusan untuk bersiar-siar sahaja, laluan larian sedang menuju ke arah persimpangan traffic light. Kelihatan di situ Polis traffic sedang mengawal lalu-lintas dan kedengaran bunyi hon yang berpanjangan terutamanya dari mat-mat rempit.

“Hah, cepat-cepat, terhegeh-hegeh!” kata Polis traffic itu dalam hatinya sambil meniup wisel.

Kiri… kanan… kiri… kanan… Dato’ terus memecut laju dan laluan ketika itu sedang menuju ke arah KL Tower. Laluan ke KL Tower berbukit yang curam, menyukarkan perserta untuk lari. Dato’ mengambil keputusan untuk berjalan, tetapi masih dalam semangat pertandingan. Ketika inilah Dato’ terserempak dengan kelibat yang macam pernah dilihat.

Pakcik Nawee??? Oh tidak. Dato’ kemudian memintas Pakcik Nawee tetapi dengan rasa hormat… mintak laluan, mintak laluan.

“Hah kau! Kau tau pasal bajet 2012? Apa kebendanya dia pergi naikkan gaji sampai 40%. Kau pikirlah, harga barang pun naik sama, kau tau? Ha, pastu ada ke dia nak bagi bantuan RM500 untuk orang gaji  RM3,000. Hey, RM500 tu boleh dapat apa? Pastu, ada pulak nak bagi pendidikan percuma. Hey, kalau free, mana orang nak hargai pendidikan tu, nanti ibu bapak buat tak kisah pelajaran anak dia, kau tau?  Kalau anak-anak dah malas belajar nanti, ha ini semua salah kerajaan!

Kau tau dia nak claim Bajet 2012 ni konon berkebajikan. Hey, berkebajikan tu kau tau ke apa? Negara kebajikan tu pemimpin dia berintegriti, petolongan kepada semua rakyat, pastu kena adil. Bukannya bagi pulus dah kira kebajikan, kau tau? Ini tidak, diaorang kat atas kuis sana kuis sini bina Istana. Rakyat kat bawah ni kais petang kais pagi, bina Istana Pasir! Kalau rakyat susah nanti, ha ini semua salah kerajaan!

Umur pesara pulak dia nak naikkan lagi ke 60 tahun, kau tau? Hey, abis tu apa nak jadi dengan budak-budak lepas belajar universiti nanti? Mana ada tempat nanti. Diaorang nak kerja apa? Menganggur? Kalau kadar pengangguran meningkat, ha ini semua salah kerajaan! Dah senja-senja nak kerja, dah senjakala ni patut duk masjid, kau tau!"

Dato’ layankan ajelah. Tapi setelah belajar dari kesilapan yang lalu, Dato’ meminta izin kepadanya untuk blah dari situ disebabkan dia masuk kategori lain, kategori veteran.

Langkah Dato’ agak laju bila menuruni bukit dari KL Tower, masa ni Dato’ main-main brek je, tak yah tekan minyak. Kemudian Dato’ terus berlari, memotong beberapa peserta, dan sekali sekala berjalan laju untuk mengambil nafas, dan menyambung larian bila lagu 2pm terus rancak.

Larian di ketika ini tinggal lagi 2 km yang terakhir dan dengan lagu 2pm terhenti. Di ketika ini juga setelah track bersambung, dengan tak semena mena, di hujung halwa telinga Dato’, kedengaran temponya agak slow. Entah bagaimana, lagu Senjakala, nyanyian P Ramlee muncul. Dato’ terpaksa berlari mengikut rentak iramanya yang agak perlahan. Setelah lebih kurang satu jam, akhirnya Dato’ berjaya ke garisan penamat.

Aik, sijil aje! Medal takde ke. Hey geramnya aku. Ha ini semua sebab muzik slow tadi lah ni. Ha ini semua salah Pakcik Nawee!

Jangan kata yang kita ni berlari di atas trek dan jalan yang salah, tetapi kitalah sebenarnya pelari yang salah. Kita sememangnya mempunyai  pilihan. Jika kedua-dua pilihan itu baik, maka pilihlah yang terbaik. Jika kedua-duanya lemah, bukan pilih yang terlemah, biar Dato’ habiskan ayat dulu. Jika kedua-duanya lemah, maka pilihlah yang kurang lemah antaranya. Sebagai insan biasa, kita senantiasa mahukan kesempurnaan. Tetapi jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran, bak kata orang. Bak kata Dato’, jangan yang dikejar finisher medal, yang dikendong bawa pulang, hanyalah sijil penyertaan!

Saturday, October 15, 2011

Maulid Mubarak

Pada hari ini, 15 Oktober, XX tahun yang lalu, di Hospital Besar, Muar seorang pemuda kelihatan sedang mundar-mandir di ruang legar wad bersalin. Fikiran pemuda berusia 26 tahun itu bercampur gaul, rasa panik, rasa gugup, rasa gementar dan juga rasa teruja. Pemuda itu juga ada rasa sayang hei, rasa sayang sayang kepada isterinya yang sedang bertarung untuk melahirkan anak sulung yang pertama mereka.

Ah, mengapa lama sangat ni. Tidak sabar rasanya untuk meraikan kelahiran yang dinanti. Tidak sabar untuk memberitahu sanak saudara yang sedang menunggu di hari mulia bertemu mesra di majlis aqiqah nanti. Tidak sabar untuk melihat riak wajah ibunya yang tersenyum riang menimang cucu pertamanya di dalam ribaan.


“Uweeeek… uweeeek… uweeekk”

Ahhah! Akhirnya… Opss, salah lagi! Entah kali ke berapa pemuda itu mendengar teriakan bayi. Tidak terhitung, tetapi adalah dalam lapan, kesembilan kali. Namun semuanya bukan teriakan bayinya, tetapi milik orang lain. Maklumlah, hospital kerajaan. Hah gitu. Ramai lagi bakal bapa yang serupa dengan pemuda itu. Menanti dan terus menanti. Penantian satu penyeksaan. Namun satu harapan disematkan. Asalkan bayinya selamat bersama ibunya, lama mana pun harus ditunggu, pemuda itu tidak akan berputus asa. Kalau ada facebook ke, boleh jugak update status dan check in. Namun semua itu belum wujud lagi. Malah, Steve Jobs pun pada masa itu entah berapa kali terkena renjatan elektrik akibat sibuk mengerah iDEA untuk memartabatkan teknologi dan juga modal insan.

Tidak lama kemudian, pemuda itu disapa oleh seseorang dengan ucapan tahniah.

“Anak lelaki… ibunya baik baik sahaja”, kata doktor yang menyambut anugerah tuhan itu.

Tidak ada apa yang dapat digambarkan perasaan ketika itu, tidak ada kata terucap melainkan lafaz Hamdallah, diucapkan berulang-ulang dengan lahirnya permata yang pertama. Setelah  sepasang suami isteri itu dianugerahkan dengan cahaya mata, maka menandakan yang mata mereka akan kurang cahaya, akibat bersengkang mata, siang dan malam memastikan bayi itu cukup makannya, selesa tidurnya, dan juga kurang gigitan nyamuknya.

Pemuda itu dan isterinya berasa amat seronok apabila mendengar tangisan bayi itu, kerana tidak seperti bayi-bayi yang lain, alunan suara bayi itu amat merdu dan berforseto.

“Bang, anak kita dah besar nanti, kalau nyanyi mesti sedap kan?”

“Hish, awak ni, ke situ pulak! Memanglah suara anak kita tu sedap. Tapi yang penting, ilmu, bukan sekadar vokal”

Pemuda yang sabar menanti  kelahiran itu ialah Ayahku sendiri, yang Dato’ panggil Abah. Ibu yang cekal sehingga sanggup menggadaikan nyawa untuk melahirkan itu ialah Ibuku sendiri, yang Dato’ panggil Mak. Bayi yang bersuara emas itu ialah Aku, Dato’ yang dilahirkan pada XX tahun yang lepas, yang Dato’ panggil sebagai Anak.
################################


Hah, kan dah salah! Ada ke uolls kata tajuk entri kali iolls kali ni pasal pekerja Bangladesh yang kerja di Malaysia. Maulid Mubarak ni bahasa Arab, yang bermaksud Meraikan Kelahiran, lebih kurang macam tulah. Pada hari ini, dalam  NO COMMENT tahun yang lepas, Dato’ telah dilahirkan. Dan hari ini Dato’ mengenang kembali kelahiran Dato’, atau dalam bahasa mudah, sambut birthday lah. Hah gitu.

Mengenang kelahiran ini selain mengenang juga asal usul kita, kita juga mengenang jasa-jasa mereka di sebalik tabir atau in the making kita ke dunia yang fana ini, iaitu ibu bapa kita.

Itu kita sebagai insan yang dilahirkan. Manakala mereka di sekeliling, menyambut kita dan menimang kita meraikan kelahiran orang baru yang begitu comel . Setelah kita dewasa, orang-orang disekeliling kita tidak mampu menimang kita, walaupun kita masih comel, tetapi  mereka hanya menyambut birthday kita dengan memberi hadiah istimewa atau paling tidak pun, memberi ucapan Happy Birthday.

Pada hari ini Dato’ banyak juga menerima ucapan birthday dari teman-teman, sahabat handai dan juga rakan-rakan sekalian. Di sini Dato’ senaraikan dan rangkumkan jenis ucapan birthday yang Dato’ terima pada hari yang berbahagia ini.

1) Ucapan iTulus

Ucapan ini diterima oleh orang yang sikapnya tulus, mulus dan tidak bermata pulus. Pendek kata, orangnya ikhlas, tetapi orang jenis ni mempunyai jiwa yang sensitif.  Mereka biasanya tidak mengharap balasan ucapan birthday sekiranya hari jadinya menjelang kelak, tetapi disebabkan jiwa yang sensitif, mereka akan terasa hati juga jika kita buat-buat lupa birthday dia.

2) Ucapan iKreatif

Pemberi ucapan ini mempunyai minda yang kreatif, dan cuba untuk membuat ucapan birthday yang lain daripada yang lain. Cuba lihat ucapannya, tiada satu pun ayat berkaitan dengan birthday, namun kita paham melalui kata kunci itu, iaitu “tua”, yang bermaksud, umur kita meningkat lagi satu tahun. Ucapan iKreatif datangnya daripada seseorang yang menggunakan otak kiri dan biasanya berhaluan kiri, kerana memilih untuk mencipta ucapan yang tersendiri.

3) Ucapan iRobot

Ucapan iRobot datangnya daripada mereka yang berhati robot. Mereka ini lebih kurang sama seperti golongan iKreatif, tapi makam iRobot lagi tinggi. Ini kerana penerima ucapan birthday dari iRobot perlu menyahkodkan ucapan iRobot ini. Walaupun kadang-kadang kita rasa tak kuasa nyah nak layan, tapi balaslah ucapan ini dengan sekurang-kurangnya dengan “TKDKSKBL”.

4) Ucapan iDakwah

Setelah menerima ucapan iDakwah ini, kita tidak mungkin tergamak untuk membuat birthday party dan membuat majlis minum-minum bergas. Mereka yang memberi ucapan ini lebih kurang macam iTulus tetapi yang membezakanya ialah niat mereka untuk beringat-ingat sesama manusia. Mereka yang dikategorikan sebagai iDakwah ini ialah orang yang Didik Manusia, Terdidik Generasi. Hah gitu.

5) Ucapan iSadis

Golongan yang memberi ucapan iSadis ini lebih kurang sama macam iDakwah, cuma ucapan ini agak sadis, dan kepada mereka yang berjiwa gadis dan dah lama tak pukul orang, dinasihatkan jangan membaca ucapan ini. Biasanya pemberi ucapan sebegini  kurang kasih sayang dan tidak pernah menyambut birthday mahupun menerima birthday wish sepanjang hayatnya.

Di bawah ini adalah contoh petikan sms dari golongan iSadis.

Terima kasih atas semua yang sudi memberikan ucapan birthday kepada Dato’. Memperingati hari kelahiran bukan sahaja mengingatkan kita akan jasa orang tua yang melahirkan dan membesarkan kita, tetapi memperingati hari kelahiran mengingatkan kita yang kita semakin besar dan tua. Namun tidak bermakna kita perlu bermuram durja pada hari itu. Bergembiralah, dengan harapan amalan kita cukup untuk membawa kita ke sana. Happy... Happy... Happy... Birthday!
http://www.gurunsakura.blogspot.com/

Monday, October 3, 2011

Kertas 1 Bahasa Melayu

Hai adik-adik! Apa khabar? Haipp…! Jangan buka dan baca soalan ini sehingga diberitahu. Sempena musim peperiksaan ini, Abang Shah ingin menyiarkan contoh karangan Bahasa Melayu, bertajuk “Lawatan Sambil Belajar ke Pulau Pinang”. Nama pun contoh, dik. Jangan pulak kau ikut, jangan tulis karangan ini dalam peperiksaan. Nanti ibu bapa adik pulak yang buat lawatan sambil mengajar ke rumah Abang Shah. Hah gitu. Semoga berjaya di dalam peperiksaan kelak. Oh ya, sekarang dah boleh buka dan baca.





Semua orang mempunyai pengalaman melawat ke suatu tempat yang menarik sama ada di dalam ataupun di luar negara. Bagi diri saya, pengalaman yang paling menarik ialah ketika melawat ke Pulau Pinang. Ayah saya kata negeri Pulau Pinang adalah negeri yang selamat untuk dilawati. Ayah saya berkata lagi negeri Pulau Pinang juga berjaya menarik para pelabur dari seantero dunia.

Kami sekeluarga telah melawat ke Pulau Pinang selama dua hari satu malam sahaja kerana bilik di hotel sudah penuh manakala poket ayah belum penuh. Kami telah bertolak dari rumah iaitu dari negeri Johor seawal pagi lagi. Kami telah membuat keputusan untuk pergi ke Georgetown, ibu negeri Pulau Pinang dengan menaiki feri dengan membayar tambang. Apabila kami pulang semula ke Johor nanti, kami akan menggunakan laluan jambatan. Saya sangat terkejut dan bersyukur apabila kami tidak akan dikenakan tambang apabila pulang menggunakan jambatan.

Saya sangat teruja apabila menaiki feri. Kami telah merakamkan pengalaman pertama berada di dalam feri ke dalam kamera. Ibu saya yang paling beria-beria menyuruh saya merakam gambarnya kerana ibu mahu memuat-turun gambarnya ke laman muka bukunya.

Di Bandar Georgetown, kami makan nasi kandar yang terletak di tengah-tengah bandar. Ayah mengadu sakit kaki kerana lenguh-lenguh beratur menunggu giliran nasi kandar. Selepas makan, kami bersiar-siar menaiki beca yang bermuzik mengelingi bandar. Kami juga sempat membeli pelbagai jenis asam. Pekedai itu kata boleh campur campur, semuanya RM7. Ibu membeli cenderamata untuk rakan-rakan dan ayah membawa saya dan adik ke kedai pakaian kanak-kanak. Semasa kami sedang asyik membeli belah tetingkap, tiba-tiba adik hilang dari pandangan.

Ayah berasa cemas kerana bimbang adik diculik. Namun saya menenteramkan ayah dan mengingatkan bahawa di sini selamat dan adik ada di sini. Mujur selepas beberapa minit berlalu, adik telah muncul dari “fitting room”, setelah mencuba gaun merah kegemarannya sejak dulu. Kemudian Ayah berpesan supaya tidak memberitahu perkara ini kepada ibu kerana bimbang ibu akan berleter. Ini kerana adik saya itu merupakan seorang budak lelaki.

Seterusnya kami menaiki sebuah kereta api ke Bukit Bendera. Walaupun perjalanan ke Bukit Bendera mengerunkan, namun kami dapat menikmati keindahannya. Kami telah menikmati keindahan Pulau Pinang yang mempersonakan dari puncak Bukit Bendera. Semasa di Bukit Bendera, telefon bimbit ibu telah hilang. Saya menenangkan ibu bahawa di sini selamat dan telefon ibu tidak mungkin dicuri. Rupa-rupanya ayah telah menyorokkan telefon ibu kerana ibu asyik melayari laman muka buku walaupun muka kami ada di depan mata. 

Kami menginap di Batu Ferenggi. Kami sempat berenang ke dalam kolam renang dan sempat bermain di pantai. Pada malamnya, ayah telah membawa saya menonton persembahan boria. Saya sangat seronok mendengarkan melodi irama boria yang enak didengar dan bermesej. Antara bait-bait lirik lagu persembahan boria itu yang saya ingat adalah;

“Eh, Pulau Mutiara, indah sekali,
Ada naik feri, ada Batu Ferenggi,
Boleh ronda-ronda, makan tak ingat diri,
Negeri ini makmur, tidak terperi,
Tapi jangan mengata, lain negeri,
Oh hoi, jangan mengata, lain negeri,
Satu Malaysia, satulah hati,
Borialah ini, mengundur diri,
Ampun dan maaf, pohon diberi."

Saya berasa sangat gembira kerana bermacam-macam aktiviti yang dapat saya lakukan di Pulau Pinang. Saya merasakan percutian ini tidak dapat saya lupakan. Saya berharap agar percutian kali ini tidak dipolitikkan. Hah gitu. Inilah pengalaman yang paling seronok dalam hidup saya.

http://gurunsakura.blogspot.com

Saturday, October 1, 2011

Anda Ada 10 KM

Kuala Lumpur, Kota Metropolitan yang penuh dengan hiruk pikuk. Bandar yang tidak sunyi daripada pembangunan, kepesatan ekonomi  dan juga jerebu, namun sekali sekala tidak juga sunyi juga daripada letupan gas di shopping mall Empire Gallery, di hujung sana, jiran sebelahnya.
Subuh itu tidak seperti biasa. Selepas menyapu tangan memohon ke hadrat ilahi, baju bersaiz XXL yang tidak berlengan dan seluar tracksuit dikenakan. Pagi itu Kuala Lumpur bakal digegarkan dengan satu lagi letupan, tetapi letupan pistol, yang menyaksikan lebih 1,000 orang menjadi road runner untuk terus berjuang. Mereka ada 10 KM untuk ditamatkan dengan jangka masa waktu yang terpulanglah kepada mereka untuk diciptakan asalkan logik dan tidak memalukan. Hah gitu.

Pada 25 September 2011 yang lalu, berlangsung satu larian, dianjurkan oleh Siemens yang bermula di Dataran Merdeka sejauh 10KM.  Larian Siemens ini agak unik dan mempunyai cerita yang menarik disebaliknya. Ini kerana larian ini sepatutnya dijadualkan pada 10 Julai 2011 yang lalu. Namun larian ini dibatalkan pada minggu-minggu terakhir disebabkan berlakunya satu larian yang diadakan pada 9 Julai 2011 iaitu perhimpunan Bersih 2.0. Yelah sebab mereka akan lari bila lori dan topi merah kejar. Hah gitu.
Bila diumumkan larian Siemens dibatalkan pada masa tu, Dato’ berasa amat lega kerana tak payah lari. Tetapi tanggal 25 September telah tiba, hendak tak nak, Dato’ harus tempuhi. Oh ya, Dato’ dan Datin antara ribuan road runner yang melibatkan diri.

“Sayang, dah bersedia untuk menakluk KL pagi ini? Ingat, apa yang berlaku, if I run and you stop, I run run first. I cannot wait for you”, ujar Dato’ sambil melekatkan nombor pada baju.
Sebelum larian - What are you running for?
A1716 - Nombor yang dijangka memberi tuah kepada yang empunya diri. Sebenarnya Dato’ dah lama tak lari. Dato’ paling kerap lari bila tengah window shopping. Kali terakhir Dato’ lari ialah apabila Dato’ sedang belek-belek dan sedang asyik bermain dengan Ipad 2.0. Dato’ lari sebaik sahaja mendengar bunyi… “YES???” oleh pekedai di kedai Apple tersebut.  Tetapi Dato’ beranikan diri jugak untuk mencuba larian Siemens ini atas dorongan sahabat Dato’ yang mempromosikan aktiviti larian ini yang ternyata boleh membina badan yang sihat, daripada aktiviti duduk di rumah yang ternyata boleh membina badan yang sihat sihat. Hah gitu.
Inilah keadaan semasa permulaan larian. Ramainya umat manusia. Dalam hati Dato’ kata, silapnya  sampai lewat di garisan permulaan. Tengoklah tu, dapat saf paling belakang, macam mana nak menang dan nak takluk KL ni.
Pom! Pistol perlepasan dilepaskan. Melihatkan keadaan Datin yang baru nak stretching, Dato’ dengan rasa yakin pun mula berlari setempat sementara menunggu saf-saf  yang depan bergerak. Setiap peserta diberikan satu cip khas untuk di-scan pada garis permulaan, garisan penamat dan beberapa checkpoint yang lain untuk merekod masa dan mengesahkan larian perserta.

10KM to go…


Setelah cip di-scan pada garisan permulaan, Dato’ terus memecut, meninggalkan Datin di belakang. Sorry baby, I go first! Benchmark Dato’ ialah Datin, sebab hanya Dato’ yang tahu kapasiti tenaga dan kekuatannya. Hah gitu. Namun lama kelamaan gear Dato’ menurun, pedal minyak malfunction. Something wrong ni, baru semalam service. Air, bateri semua dah isi. Minyak hitam dah tukar, minyak ambik yang baik punya. Akhirnya Datin berjaya memotong Dato’ di depan.

9KM to go…

Tak boleh jadi ni. Kena tukar strategi. Dato’ menurunkan sedikit level benchmark. Benchmark dipinda, dan Dato’ menjadikan makcik India bersaiz XXXXL yang memakai t-shirt bersaiz XXL berwarna hijau itu sebagai benchmark yang baru. Akhirnya Dato’ berjaya memotong makcik tersebut. Dato’ menghentikan larian dan berjalan-jalan ambik nafas dan nyawa di lorong kecemasan. Pancit… pancit… Tiba-tiba dengan tak semena-mena makcik India tersebut memotong Dato’ dengan larian yang cukup untuk memintas Dato’. Haih, kuat pulak dia ni lari ni, tak padan dengan muatan.

8KM to go…

Tak boleh jadi. Sekali lagi Dato’ terpaksa meminda benchmark, dah pening Dato’ nak pilih. Semua peserta semuanya berlari, takde seorang pun yang berjalan macam Dato’ ni. Siapa yang harus dipilih. Datin pulak dah jauh ke depan. Ahha, Dato’ telah membuat keputusan untuk menjadikan Amoi berseluar pendek yang berbunga itu sebagai mangsa terbaru. Dalam hati kecil Dato’, dia ni duk jalan lenggang kangkung,  ah ni boleh makan ni.
Dato' berjaya menyumbangkan 3 buah gelas di situ
Jangkaan Dato' meleset sekali. Belum pun Dato' berjaya merapati Amoi tersebut, terus dia memecut ke hadapan meninggalkan Dato' yang baru berlari dua tiga tapak. Dato' kemudian berlari-lari anak dan meneruskan kilometer seterusnya dengan sekadar yang boleh. 

5km to go…

Di kilometer ini, dah tiada siapa yang Dato’ nampak. Peserta lain berlari untuk menamatkan acara di jalanan,  Dato’ pula berjalan untuk menamatkan acara larian. Dato’ cuba sedapkan hati dengan mengimbas kembali cerita arnab dan kura-kura di mana, akhirnya kura-kura yang berjalan berjaya mengalahkan arnab yang pantas berlari. Dato’ percaya Dato’ akan mencontohi sikap kura-kura yang tidak berputus asa. Tetapi masalahnya semua peserta dah tau cerita ini, maka diaorang pun tidak akan mencontohi sikap arnab yang lalai itu.

4km to go…

Matahari dah mula kelihatan. Bukan tandanya hari dah siang, tetapi tandanya Dato’ dah lama sangat di atas jalan, dan tak sampai-sampai lagi. Di sebalik panas matahari ini, Dato’ terlihat kelibat seorang pakcik yang berkopiah, berseluar sukan, berbaju yang bernombor sedang berjalan juga, tetapi dia jalan lagi laju dari Dato’. Dato’ kemudian merapati pakcik itu, kerana mana tahu, dia mungkin benchmark Dato’ untuk menamatkan larian. Dato’ pun kemudian bersuai kenal dengan pakcik itu, nama dia Nawee (bukan nama sebenar, kerana Dato’ tak tanya pulak nama dia). Dato’ kemudian mengikut pakcik Nawee berjalan sama sebagai menemani antara satu sama lain, kerana masing-masing mempunyai misi yang satu iaitu mahu menamatkan 4 kilometer yang terakhir.

3km to go…

Setelah jauh berjalan dan berlari sekali sekala, pakcik Nawee membuka cerita;
“Kau tahu, hobi pakcik memang berlari. Dulu pakcik ada  masa Bersih 2.0. Polis kejar kejar, pakcik lari lari lari, dah penat, pakcik singgah kedai, minum teh tarik 2.0 dengan nasi lemak 2.0. Tu yang pakcik masuk larian ni. Pakcik dah biasa, steady, kau tau?”
“Kau tahu pasal hudud? Sekarang ni apsal yang kecoh sangat pasal hudud ni? Undang-undang Islam tak ditegakkan. Hudud dia tolak, tak nak buat, kata tak sesuailah. Eh ini hukum Quran tau tak, apa pulak tak sesuai. Quran ni Allah atur, Allah tu pencipta, taulah dia apa yang sesuai, apa yang tak sesuai. Quran ni pulak sesuai untuk semua zaman, semua tempat, bila-bila masa!, kau tau?”
Dato’ memang setuju dengan apa yang pakcik Namewee, eh pakcik Nawee tu kata. Sudah tiba masanya pemimpin-pemimpin Islam di negara kita bergabung dan bersatu untuk sama-sama merancang bagaimana undang-undang Islam termasuk hudud untuk ditegakkan. Undang-undang Islam dan juga Hudud ini wajib ditegakkan. Jika seseorang itu tidak mempercayai atau memandang enteng hukum hudud, maka orang itu boleh terkeluar daripada Islam, kerana hukum ini adalah bersumberkan daripada al-Quran. Tak yakin dengan Quran, maka kufur. Namun, perancangan untuk melaksanakannya perlu dibuat dengan teliti. Sudah tiba masanya penerangan diberikan secara menyeluruh kepada semua rakyat Malaysia khususnya yang bukan beragama Islam, akan keadilan hukum Allah ini.
Pakcik Nawee kemudian menyambung, “Kau tau, kau tengoklah pemimpin masa kini, dia main tarik tali pulak nak buat Hudud. Kalau macam inilah gayanya, lama lagilah kita nak tengok hukum hudud ni tertegak kat Malaysia. Jauh sekalilah! Kau tau?”
Dato’ yang agak kepenatan terus mencelah, “Ye pakcik, saya tau, saya tau, tapi kenapa lama sangat kita berjalan ni, apsal jauh sekali ni…”
“Kau tau, apa pulak jauhnya, betullah jalan ni, kau masuk larian yang mana, kau tau?”

Hah sudah! Memang Dato' tak tahu. Rupa-rupanya ada dua larian serentak!  Pakcik Nawee masuk larian yang atas ini. Yang menghairankan, toleh-toleh kanan kiri, pakcik Nawee terus ghaib dari pandangan!

2km to go…


Haih, kecik besar kecik besar je aku tengok. 2 km pada pandangan Dato’ yang kepenatan ni, nampak dah macam 2 cm dah ni. Benchmark Dato’ kali ni ialah budak-budak sekolah yang turut berlari sama. Sasarannya Dato’ wajib melepasi budak-budak ini, kalau tak, parah… parah. Masa ni dah kena pyshco dengan empat lima orang peserta yang telah berjaya menamatkan larian lebih awal, dalam perjalanan pulang ke rumah dari arah bertentangan sambil medal tergantung di leher!

1km to go…

Apa nak dikata, kederat budak-budak sekolah ni masih kuat. Diaorang berjaya memotong Dato'. Tiba-tiba handphone Dato’ bergegar. Datin hantar mesej yang dia dah lama tiba ke garisan penamat 20 minit yang lalu. Kali ni apa nak jadi jadilah. Target kali ni satu je. Pada 1 km terakhir ni, Dato’ bertekad untuk tidak mendapat tempat yang terakhir.

Garisan penamat

Selepas larian - Why are you walking for?
Akhirnya sampai juga ke garisan penamat dan sekadar berpuas hati dengan sijil penyertaan.  Result pun dah keluar. Alhamdulillah, target Dato’ untuk tidak mendapat tempat terakhir tercapai. Dato’ berjaya menduduki tempat ke 12 terakhir dengan catatan masa bersih 1 jam 49 minit. Hah gitu.

Siemens Run 2011 result - Page last sekali
Hamboi, entry Dato' kali ni pun panjangnya macam 10 KM jugak. Terima kasih kerana membaca. Terpulanglah kepada semua nak percaya atau tidak. Ini bukannya alasan, tetapi ini semua pakcik Nawee punya pasal. Salah ikut jalan, mujur tak tersungkur. Namun, Dato’ mendapat satu pengajaran berharga yang dapat Dato’ belajar. Walaupun kita mempunyai matlamat dan misi yang baik, perancangan yang bagus, namun sekiranya kita mengikut dan bersama aliran yang berbeza dengan kita, matlamat dan misi asal kita tidak mungkin boleh tercapai.
Begitulah juga dengan isu Hudud yang diutarakan oleh pakcik Nawee tadi. Walaupun kita punya perancangan dan niat untuk melaksanakan hudud, tetapi jika kita bersama dengan aliran atau kelompok yang menentang dan tidak bersetuju dengan hudud, maka perancangan kita itu bakal gagal. Renung-renungkanlah bersama. Bak kata orang, jangan bila kita dah terhantuk, baru nak terngadah. Bak kata Dato’, jangan bila kita dah diketepi, baru nak lari!

www.gurunsakura.blogspot.com 



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...