Undilah...

Wednesday, March 7, 2012

Mr. Plumber

Dato’ kenal dengan seorang plumber yang selamba. Nama dia Mr. Moo. Cara nak sebut dia, “Mr. Muu”. 2 harakat saja. Jangan lebih, nanti jadi bunyi ternakan pulak. Hah gitu. Jika ada sebarang kerosakan, telefon sahaja dia. Kalau telefon hari ini, semalam pun dia boleh sampai. Eh dah macam ayat Samy Velu pulak. Maksudnya, kalau call sekarang, semalaman dia akan sampai, dalam masa 24 jam. Malam-malam pun dia boleh datang. Beliau akan tiba bersama satu beg mekanik yang berisi segala kelengkapan bertukang dan juga alat ganti untuk mengetuk segala jenis paip,  satu beg resit pembayaran untuk mengetuk customer, satu lampu suluh kepala dan juga satu orang bini beliau.

Bukan setakat kerosakan paip dan air, malah segala yang berkaitan dengan elektrik pun dia boleh kasi settle kecuali bil. Cakap sahaja apa yang rosak. Suis terbakar? Sinki tersumbat? Lampu tak menyala, pintu tak boleh kunci, pintu terkunci dari dalam, barang elektrik rosak? Dengan selamba dia kata dia boleh buat. Semuanya boleh.  Silap-silap kalau engkau kata peti ais tu panas kat luar atau dapur tak berasap pun dia boleh kasi settle, janji engkau settlekan resit yang bakal keluar dari dalam beg dia tu. Padahal peti ais memang panas kat luar dan dapur tak berasap sebab takde barang dapur, semuanya naik harga dan selalu makan kat luar. Hah gitu. Mr. Moo ini ibarat superhero yang akan tiba bila kita perlu dan akan pulang bila kita hulur.

Mr. Moo ni peramah orangnya dan sedikit berumur dalam 50 tahun ke atas. Badan dia agak besar dan sesuailah dengan profession dia nak mengetuk-ngetuk kerana kena guna banyak tenaga. Dari segi IT dan gajet pula, Dato’ tak fikir dia mahir. Dia ni mungkin jenis tak suka chatting, sebab Dato’ pernah sms dia alamat rumah Dato’, dia jawab “ok” je. Besar kemungkinan juga dia ni takde facebook. Ini disebabkan segala kerja-kerja penukangan dan pembaikan dapat disiapkan dalam masa yang cepat. Kalau dia ada facebook, tentu dia tak efficient, sekejap-sekejap duk update facebook. Sekian dimaklumkan.

Dato’ cukup berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh Mr. Moo. Ada sekali tu shower heater Dato’ rosak. Selepas dia repair, dia siap ajak sekali masuk dalam shower room. Nampak macam Dato’ dan Mr. Moo tengah mandi sama. Tapi Mr. Moo tak kisah. Janji dia dapat terangkan bagaimana nak guna pakai shower heater tu tanpa bagi cepat rosak.
Shower Heater - Hasil tangan Mr. Moo

Namun begitu isteri Mr. Moo tampak bengis dan tak pernah senyum. Kitaorang merasa jadi takut pula nak senyum, apatah lagi menyapa. Mulut dia sentiasa tertutup dan masam memanjang. Mungkin Mr. Moo sibuk repair sana repair sini, sampai dia lupa nak repair isteri dia sendiri. Hah gitu. Setiap kali kerosakan berlaku di rumah Dato’, isteri dia mesti ikut sekali.

Bab caj yang dikenakan Mr. Moo ni agak mahal sedikit, namun dalam kawasan perumahan kami, Mr. Moo yang paling cekap dan tidak pernah mengecewakan pelanggan dari segi servis. Pernah juga Dato’ cuba tawar menawar caj yang dikenakan. Yang tak bestnya apa-apa berkenaan caj, dia akan merujuk kepada isteri dia dahulu sama ada boleh dikurangkan atau tidak. Tak sanggup Dato’ nak mintak tawar dengan bini Mr. Moo. Karang meletup bini dia, satu hal Mr. Moo nak repair. Kami syak Mr. Moo sengaja membawa bini dia yang garang supaya orang takut nak tawar menawar.

Kerja-kerja yang dilakukan Mr. Moo nampak mudah. Dato’ pernah sound dia, kenapa dia caj mahal sedangkan kerja itu amat mudah untuk dilakukan. Mr. Moo bersetuju dan terus hulur Dato’ screwdriver dan suruh Dato’ buat sendiri. Dato’ tahu yang Mr. Moo bergurau. Tapi bini dia dah pandang semacam dah kat Dato’ masa tu.

Bayangkanlah, ganti suis terbakar dia caj RM50, pasang paip RM50, sinki sumbat RM80, pasang alarm RM80, pasang kepala paip dengan spare part RM150. Ini semua dia pernah caj Dato’. Dato’ pernah bercadang nak tukar kipas yang ada remote control, tapi Mr. Moo tak jual. Dia hanya jual kipas yang 3 bilah, macam orang dulu-dulu pakai. Kipas yang famous dahulu adalah jenis KDK. Kalau nak lajukan kipas kena pulas nombor kat dinding. Nampak macam tak style tapi inilah kipas yang menyejukkan Dato’ sejak lahir. KDK-Kipas Dari Kecil.

Bila pikir-pikir balik, inilah pentingnya ilmu kemahiran hidup atau KDK –Kemahiran Dari Kecil. Ini yang dimiliki oleh Mr. Moo. Bila ada kemahiran, semuanya beres. Asas kehidupan kita dapat lakukan sendiri tanpa perlu mengupah orang dan juga jika kita mahir, kita boleh buat duit dengan kemahiran kita untuk membantu golongan yang tidak mahir seperti yang dibuat oleh Mr. Moo kepada Dato’.

Ilmu Kemahiran Hidup di sekolah pun Dato’ dah lupa, inikan pula nak bertukang sana sini. Yang Dato’ ingat masa belajar kat sekolah dulu iaitu jenis-jenis pili. Sebab budak-budak kelas masa tu selalu gelak-gelak dengan muka annoying masa cikgu sebut bab ini. Ada dua jenis pili - Pili Berbibir dan Pili Bertiang! Yang ini semua orang dapat tangkap, tak perlu panggil Mr. Moo.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...