Undilah...

Tuesday, March 6, 2012

Jentik-Jentik Politik


Hari Isnin memang biru. Semuanya haru biru. Baju kemeja entah ke mana, singlet mana perginya, seluar dalam pula hilang di luar, stokin hitam pasangannya dah jadi biru. Bila ditanya pula mana pergi beg laptop office, semuanya tergaru-garu. Begitulah penangan hari Isnin setelah hari minggu berlalu. Nak pergi kerja pun tersipu-sipu malu. Tambah-tambah kalau tiba lewat di pejabat pada hari Isnin, boss mengerling mata saja, lidah pun terus kelu.

Hari Isnin memang biru. Dan ketika itu Dato’ memang tergesa-gesa bersiap untuk ke pejabat. Sebelum itu Dato’ ada tugasan yang penting iaitu menghantar anak ke sekolah. Waktu sudah 7.30 pagi. Ah lewatnya! Inilah akibat tak cukup tidur. Bukannya apa, semalam pukul 3 pagi, Dato’ masih belum tidur kerana memberi kaunseling kepada bini. Tapi bini sendiri lah. Hah gitu.

Sudahlah lewat hari itu, kebetulan terserempak pula  budak kecil yang menangis untuk ke sekolah. Mendengarkan teriakan budak lelaki itu menangis pada hari Isnin yang biru, memang cukup pilu. Motivasi Dato’ yang tadinya sedikit meningkat setelah mendapat senyuman manis daripada bangla pam minyak, kini merudum banyak.
Timbul pula prasangka di jiwa. Budak yang menangis itu dalam keadaan bahaya. Mengapa? Dia dalam keadaan bahaya, jika dia diperhatikan oleh bakal musuh-musuh politik beliau satu masa nanti. Dalam erti kata lain, budak yang menangis tidak mahu ke sekolah dinasihatkan untuk tidak terjun ke kancah politik. Kelak akan merana.

Mari kita lihat apa yang mungkin akan berlaku dalam masa 30 tahun akan datang jika beliau memasuki arena politik di dalam Jentik-Jentik Politik. Jangan ambik serius. Jentik sikit je, tak sakit pun, macam kena gigit semut. Hah gitu.
Suasana pada tahun 2042
“Gempar!! ! En. Y menangis enggan ke sekolah” – Suratkhabar Angin

“Eksklusif: Video En. Y menangis mula tersebar” – Suratkhabar Nyamuk

“Budak-budak dari parti ABC usik saya sampai menangis. Ini konspirasi mereka. Saya teraniaya” -  Suratkhabar Parti XYZ

“Insiden ini ternyata memalukan. Beliau (En. Y) seharusnya meletak jawatan. Bagaimana beliau mahu mewakili parlimen beliau untuk berdebat dengan saya jika dirinya chengen?” – Ahli Parlimen ABC
 
"Ini cerita pasai menangis aaa.. membuatkan saya mau ketawa teresak-esak, sampai bumbung mau jatuh". - Menteri Pelbagai Bill dan Lain-Lain, Datuk Yap Yap Ang Gok.


En. Y tukar kenyataan: "Sebenarnya Ana menangis kerana bermunajat”  - Suratkhabar Percuma

Interview bersama Ketua Pembangkang Parti XYZ

W: Dato’ Seri, boleh tak komen isu En. Y menangis di tadika?

KP: Apa isunya? Are you saying Presiden parti ABC tak pernah menangis masa sekolah dulu?

W: Dato’  Seri tak menjawab soalan saya…

KP: Tak, you dari mana? TV4 bukan? U pernah menangis di tadika bukan? So apa isunya?

W: Tapi Dato’ Seri, saya tak pernah masuk tadika…

KP: No, no listen. Pergi tanya Presiden parti ABC, apa dia buat kat tadika dulu.

"Tolong tanya soalan yang berkaitan ye" (Pak pacak sebelah menyampuk)

KP: No… no… no… biar saya jawab. Biar semua orang nampak ini permainan parti ABC. Polis sekarang sedang menyiasat dan mengambil video. Saya difahamkan beliau En Y hanya menangis kerana kegembiraan untuk ke sekolah. Now u pergi tanya Presiden parti ABC, berapa kali mak dia kejut dia bagi bangun pergi sekolah. (Disambut gelak ketawa para hadirin)
Ok next question please…

W: Dato’ Seri… masa sekolah dulu Dato’ Seri pakai jam apa?

Biarkan anak itu menangis di hadapan pintu sekolah. Biarkan anak itu melalak dan meraung  di situ kerana enggan ke sekolah hatta biarkan ia berbaring sekalipun. Tetapi jangan biarkan satu hari nanti dia menangis, melalak, meraung dan berbaring di hadapan pintu universiti.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...