Undilah...

Tuesday, March 27, 2012

Kolumpo

Orang dulu panggil "Kolumpo". Itu zaman Dato’ dalam tahun 1980’an. Sebutan yang ringkas dan nampak kekampungan. Lama-lama sebutan "Kolumpo" itu menjadi dua huruf, iaitu "KL". Sebutan yang nampak elit elegant  dan moden. Sebutan itu dimulakan oleh orang Kuala Lumpur sendiri. Maka orang-orang yang kekampungan tadi  dah segan nak sebut "Kolumpo". Kononnya hulu sangat bila menyebutnya. Zaman sekarang pulak orang tak sebut "KL", orang dah sebut "Kay Yel". Sebutan yang nampak geli geleman dan pemiliknya datang dari generasi Facebook. Generasi yang bahasanya kucar kacir yang lebih kucar kacir daripada David Teoh. Sekurang-kurangnya David Teoh masih mahu memartabatkan bahasa Melayu walaupun pantun dia huru hara. Hah gitu. "Kay Yel" pun ok lagi. Ada satu lagi jenis sebutan untuk ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur yang Dato’ rasa kesian pulak mendengarnya. Mungkin kerana dia sedikit gugup dan juga mungkin kerana gagap.

“Bro, nak pergi mana?”

“Sesesese...saya... nnnnnnnnakk... pepepepergi... K...K…K…K…L bang!


Apa pun sebutannya, "Kolumpo" ke, "KL" ke, "Kay Yel" atau K…K…K…K…K..L, Kuala Lumpur ni satu bandar yang penuh dugaan. Sesiapa sahaja yang tiba di sini buat kali pertama, sama ada dia akan sesat atau dia terus sesat. Dia akan sesat sebab  jalanraya yang bersimpang siur, dan dia terus sesat sebab kalau tak jaga diri, dia akan termasuk ke dalam simpang siot. Hah gitu.

Begitu juga dengan diri Dato’ yang mempunyai pengalaman menjejakkan kaki ke Kolumpo ini. Ketika itu hati amat girang apabila ikut abah dan mak ke Kolumpo menziarahi ibu saudara iaitu kakak abah. Masa tu sampai-sampai je Kolumpo, Dato’ terus cop bandaraya flyover. Kenderaan pulak banyak, sama banyak dengan traffic light. Kolumpo ni undang-undang jalan raya dia berbeza sikit. Kalau kat traffic light bila lampu merah, wajib bagi yang berhenti memandang lampu isyarat pihak lawan yang sedang hijau. Apabila lampu isyarat sebelah sana dah merah, kita dah boleh standby. Tapi bila lampu isyarat kita warna hijau, jangan jalan dulu, tengok kiri dan kanan, pastikan kereta dari arah yang lain berhenti, kalau tak kita yang jalan. Hah gitu.


Satu lagi kalau kat tempat lain, kalau tengah-tengah jam, atau kenderaan berhenti, pastikan bila menghampiri kenderaan di hadapan, selagi anda nampak tayar kereta tersebut, anda boleh berhenti. Tapi kat Kolumpo ni, bila menghampiri kenderaan, selagi anda nampak no. plat kereta di hadapan, jangan berhenti.

Ada satu pengalaman yang tak dapat dilupakan semasa mula-mula sampai di Kolumpo. Ketika kami melepasi tol Sungai besi, tiba-tiba pancaran kilat menyabung ke arah kami yang berada di dalam kereta. Dato’ yang ketika itu baru tumbuh jerawat, hanya mampu berselawat. Mak kemudian menenangkan Dato’ dan adik-adik. “Ala, takde apa-apa, kilat sikit je tu. Nak hujan agaknya, kan bang?”, kata mak.

Abah yang pada mulanya kelihatan sugul, kemudian melemparkan senyuman ke arah kami dan mengangguk tanda setuju.

Pada masa itu takde lagi terowong SMART, tetapi banjir kilat jarang-jarang berlaku di Kolumpo ni. SMART Tag pun takde lagi masa tu, yang ada semua guna SMART Hand, sebab Touch and Go pun belum ada, yang ada Touch Hand and Go. Mula-mula pandang  toll gate girl, hulur tiket, hulur duit, ambik baki, touch sikit, and go. Hah gitu.

20 tahun pertama Dato’ pergi ke Kolumpo sebagai pelawat dan selepas itu Dato’ tiba ke Kolumpo sebagai permaustautin sebagai student sehinggalah sekarang sebagai pekerja di sini. Motorsikal merupakan kenderaan utama Dato’ untuk bergerak mencari ilmu dan rezeki di Kolumpo ini. Kenderaan kat Kolumpo ni semuanya laju-laju, kalau slow, engkau pasti kena hon. Yang paling tension ialah orang yang mengimami traffic light. Bila lampu baru je nak bertukar kepada hijau, makmum-makmum yang  lain dan mula tekan hon suruh cepat jalan. Inilah Kolumpo, seiring dengan bandar yang cepat membangun dan sesak. Maknanya kena cepat bangun pergi kerja, kalau tak kenalah tempuh jalan sesak. Hah gitu. 

Satu yang Dato’ puji orang Kolumpo ni, diaorang ni taat pada undang-undang jalan raya. Sanggup diaorang tunggu lampu merah pejalan kaki, walaupun pada masa itu hanya semut  yang melintas, pejalan kaki takde. Maklumlah takut-takut di hadapan sana ada Harimau Biru sedang menunggu. Hah gitu.

Baru-baru ini, Dato’ sedang menunggu traffic light di satu persimpangan di Kolumpo ni. Eh baru-baru ni kan? So kena tukarlah. Apa barang Kolumpo. Hari tu, Dato’ berada di traffic light di satu simpang kat Kay Yel ni, di Wangsa Maju. Lampu tengah merah. Tiba-tiba Dato’ terpandang benda alah ini…

Ini adalah kamera perangkap lampu isyarat atau Red Light Camera. Rasanya kat Kay Yel ni susah nak jumpa kamera perangkap ni dan kalau ada pun kebanyakkan kamera perangkap di Kay Yel ni tak berfungsi. Dulu kat Kay Yel, kamera perangkap lampu isyarat ni memang banyak dan orang takut nak langgar lampu merah. Bila langgar je, kamera ni akan memancarkan cahaya yang macam kilat tepat kat kenderaan kita.


Oh dear, barulah Dato’ mengerti. Rupa-rupanya kilat yang menyabung di muka kami itu 20 tahun lepas datangnya dari cahaya kamera perangkap ini rupanya.

Mak sengaja memberitahu kami yang cahaya itu adalah kilat dan menenangkan kami semua, dan abah berjaya menyembunyikan kerisauan beliau dengan senyumannya. Entah bila masa saman tiba ke rumah dan berapa ratus ringgit saman yang perlu abah bayar masa itu, itu Dato’ tidak tahu dan tidak pun diberitahu. Ternyata ibu dan bapa kita begitu senang untuk tidak mahu menyusahkan kita dan membuatkan kita susah. Kadang-kadang terfikir, mengapakah kita begitu susah untuk mahu menyenangkan mereka dan membuatkan mereka senang?  

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...