Undilah...

Saturday, November 26, 2011

Isketambola

Satu Sistem Pesanan Ringkas (SMS) telah terbang dari benua Asia Tenggara ke Semenanjung Arab di tengah-tengah padang pasir. SMS itu dibuka dan dibaca. SMS ini diterima daripada Datin di Malaysia sementelah Dato’ pada masa itu sedang berada di Dubai menikmati aktiviti Dessert Safari. Dessert Safari ini adalah aktiviti melintasi padang pasir yang luas dan kemudiannya peserta dibawa ke satu penempatan di padang pasir untuk makan malam sambil menyaksikan acara tradisi Arab iaitu menari kebudayaan Arab. Itu bahasa rasminya, bahasa mudahnya, belly dancing, hah gitu.

SMS itu diterima di sini

Mata yang tadi tidak berkelip kini membaca SMS itu. “Malaysia menang sepakan penalti 5-4”

 
Rugi memang rugi tak menonton perlawanan yang ditunggu-tunggu antara Malaysia dan Indonesia final di Sukan Sea untuk merebut ibu segala emas itu. Namun apa nak buat, terpaksa bertugas sementara di timur tengah ini selama lima hari sambil tidak melepaskan peluang untuk melawati tempat-tempat yang wajib dikunjungi di Dubai ini. Jika ada kesempatan, Dato’ akan bawa ole-ole dari Dubai untuk semua pembaca pada entri-entri yang akan datang. Fokus pada tajuk Isketambola ini dulu, jangan keluar tajuk, hah gitu.

Tahniah skuad Harimau Muda yang berjaya mengekalkan pingat emas pada temasya Sukan Sea ke 26 di Palembang yang tamat sudah. Garuda hanya mampu menggaru dada. Harimau Muda pulang bergaya walaupun terpaksa pulang dengan barracuda. Hah gitu.

Setelah selamat tiba ke tanah air, bertemu semula Datin, menyampaikan sourvenier dari Dubai dan membayar upah apa yang patut, Dato’ segera bertanyakan kepada Datin akan perlawanan akhir Sukan Sea itu memandangkan Datin menyaksikan live perlawanan itu. Seperti pengulas sukan professional, dia menceritakan yang suasana di kawasan rumah riuh rendah kerana semua jiran-jiran turut sama menonton dan bersorak, dan suasana terus bingit apabila gol tercipta.

Tambah Datin lagi, Indonesia telah menjaringkan gol permulaan pada minit ke 5 diikuti dengan gol penyamaan Malaysia beberapa minit kemudian. Kedudukan seri 1-1 sehingga tamat masa perlawanan sebenar, masa kecederaan dan masa tambahan. Lalu perlawanan ditentukan dengan sepakan penalti dan Malaysia berjaya melakukannya.

Wow, sungguh hebat Datin. Bijak mengulas perlawanan bolasepak yang biasanya dimonopoli oleh orang lelaki. Kagum Dato’ seminit, tak sangka di dalam sopan santunnya dan dalam penangan ramuan masakan masterchefnya ada tersembunyi bakat terpendam meminati bolasepak.

Tidak dinafikan golongan wanita semakin menunjukkan minat di dalam sukan bolasepak. Kadang-kadang mereka lagi fanatik daripada lelaki. Pemain-pemain bola yang mereka minati seakan seperti artis-artis pujaan mereka. Kepada yang minat K-Pop atau drama Korea sudah semestinya meminati Khairul Fahmi Che Mat (Apex) dan juga Ong Kim Swee. Kepada yang minat filem Bollywood dan Tamil sudah pastinya meminati pemain bola pujaan mereka, Thamil Arasu. Hah gitu. Dan kepada mereka yang meminati nasyid sudah pastinya mereka juga meminati Muslim Ahmad.

Apa jua minat mereka, sumbangan wanita mampu merancakkan lagi sukan bolasepak tanah air kerana tangan yang menggoncang pompon mampu menggegar dunia bola. Mereka sudah sebaris dengan golongan lelaki, tinggal lagi mereka perlu mendalami lagi terma-terma bola selain daripada mendalami pemain-pemain bola. Dato’ pasti dan sure ramai antara mereka yang masih tidak paham apa itu offside.

“Macam mana gol first Indonesia? Cantik tak?” Dato’ ingin mendapatkan pencerahan.

“Cantik gol tu.  Bola laju sangat.  Indonesia gol masa orang tengah 'ramai-ramai'." Datin terus mengulas.

Malam tadi Dato’ berkesempatan menyaksikan siaran ulangan. Gol pertama Indonesia memang cantik dan bola memang laju. Tapi tentang 'ramai-ramai' tu rupa-rupanya sepakan penjuru atau corner kick. Memang orang tengah “ramai-ramai” pun masa tu!

www.gurunsakura.blogspot.com

Wednesday, November 9, 2011

Seksualiti Merdeka


Sudah menjadi lumrah dan kebiasaan, dalam setiap keluaran posting di blog ini, orang yang menjadi hero menyelamatkan keadaan dan menyelesaikan masalah adalah Dato’ Shah. Hah gitu. Tetapi di dalam cerita yang bakal dipaparkan ini, Dato’ telah  gagal untuk menyelesaikan kes.


Baru-baru ini, ada seorang teman yang dikenali sebagai Din datang berjumpa dengan Dato’. Din baru sahaja mendirikan rumah tangga dan mempunyai seorang isteri yang cantik. Din amat percaya yang Dato’ bisa memberi khidmat nasihat kepadanya.


Hairan, baru sahaja kahwin, dah ada masalah. Tetapi yang mengadu masalah ini bukannya Din, tetapi isterinya sendiri. Menurut kata Din, isterinya ingin membuat bantahan dan menyuarakan hasratnya untuk seksualiti merdeka. Rupa-rupanya si Din ni tak beragak. Hari-hari mau. Hari-hari dia nak membuat cinta dengan isterinya, atau dalam bahasa Inggerisnya, dengan izin, “making love”. Hah gitu. Patutlah isterinya ingin merdeka dan bebas sekali sekala.


Untuk menyelesaikan problem solving Din ini, mari kita semak latar belakang dirinya dahulu. Din ni orangnya jujur, baik, berakal panjang tapi sayangnya dia ni berlidah pendek.  Dia benar-benar buntu dan amat berharap agar Dato’ dapat bantu.


“Beginillah Din, aku cadangkan, kau buat jadual. Kau hanya perlu "bersama" dengan isteri kau pada malam hari-harinya yang ada huruf “T”.  Malam lain, kasi rest!"


Begitulah cadangan Dato’. Untuk memudahkan Din mengingat dan mengurus jadual, dia hanya perlu bersama isterinya pada malam hari yang ada huruf “T”. Paham-paham dia sendirilah iaitu dia hanya perlu ‘bersama’ dengan isteri pada malam Jumaat dan Sabtu sahaja dalam seminggu.


Teringat pula Dato’ akan Program Seksualiti Merdeka yang diadakan setiap tahun sejak 2008. Pada tahun ini dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 13 November 2011 dengan matlamat untuk menuntuk hak dan kebebasan golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka.

 
Mana-mana manusia yang normal pun, bila pergi ke tandas awam, dia akan masuk ke salah satu sama ada tandas lelaki atau tandas wanita. Tidak mungkin untuk seseorang itu boleh pergi ‘membuang’ di kedua-dua tempat. Begitulah halnya dengan seksualiti seorang manusia. Harus sejajar dengan kenormalan jantina itu sendiri yang mana lelaki itu untuk perempuan dan perempuan itu untuk lelaki.


Apabila golongan-golongan LGBT ini bersuara samalah seperti anak-anak lelaki yang masih kecil bersuara untuk membeli tudung. Samalah juga seperti anak-anak perempuan yang masih kecil bersuara untuk bermain combat dan Rambo. Mereka boleh bersuara kerana itu lahir dari diri mereka yang ada krisis identiti diri, dan mereka boleh terus sesat akibat tiada tarbiyah agama. Namun kita yang begitu arif akan mana benar dan mana yang songsang, tidak perlu beri ruang sama sekali. Bila mereka bersuara, kita pun harus bersuara. Boboy… boboy… tudung ni untuk Gegirl, nah ambik kopiah ni. Gegirl… Gegirl… combat ni Boboy punya, pergi main masak-masak kat sana. Hah gitu.


Hari Ahad yang lalu, Din datang lagi. Nampak keadaan dia masih lagi kusut masai, seperti masalahnya belum selesai. Dato’ kemudian bertanya akan keadaan dia dan isteri dan sama ada dia mengikut jadual yang Dato’ beri tempoh hari. Din kata dia memang “bersama” dengan isteri hanya pada hari yang ada huruf “T” tu, tapi isteri dia masih mengadu tak puas hati dan ingin bebas.


“Eh pelik betul. Baiklah Din, aku nak tanya kau, hari ni hari apa?”


“Hari ni hari Ahat!”


“Esok?”


“Esok hari Ithnin. Lusa hari Tselasa. Tulat hari Ratbu...pastu hari Tamis...!”

Tuesday, November 8, 2011

Haji YB


Suasana di pejabat ketika ini muram dan durja. Hari pertama selepas cuti Hari Raya Aidiladha sungguh mencabar untuk diharungi. Masih terbayang lagi wajah-wajah kesayangan hamba semasa sama-sama berjumpa pada pagi raya bersalam-salaman dan bermaaf-maafan. Masih terbayang jua wajah sayu sang lembu korban melintasi green carpet beberapa minit sebelum kembali kehadrat ilahi. Masih tergambar lagi suasana meriah pasca-korban apabila gotong royong dihidupkan bagi mengagihkan daging korban kepada mereka yang menerima dan suasana bagaimana penduduk setempat merewang bersama untuk menjayakan kenduri korban. Masih juga terkenang bagaimana anak-anak kecil kerap menutup mata semasa ibadah korban dijalankan dan bagaimana ibu-ibu mereka kerap membuka mulut semasa ibadah korban. Juga masih terbayang lagi suasana meriah lampu-lampu brek dinyalakan di sana sini sepanjang lebuhraya disebabkan trafik jam. Hah gitu. Apapun yang tergambar di minda mereka sekarang ini semuanya dapat disimpulkan dengan satu perkataan – penat!

Sekarang jam di dinding menunjukkan tepat pukul 9.00 pagi. Memori-memori tersebut masih menggamit di minda dan nampaknya belum ada lagi staf yang menunjukkan gaya nak memulakan kerja. Haji Awal, bukan nama sebenar, secara tiba-tiba cuba memecah kesunyian. Di pejabat, Haji Awal digelar juga Haji YB disebabkan beliau pernah pergi ke Mekah menunaikan haji bersama menteri. Siap balik awal lagi daripada jemaah lain. Hah gitu. Haji YB mengadu lenguh-lenguh badan penat melapah seekor lembu korban. Beliau mendakwa di kalangan yang melapah adalah orang-orang veteran. Apabila ditanya sama ada pemuda-pemuda yang ada, menghulur pertolongan, beliau mengangguk mereka ada tolong, tapi hanya tolong rakam gambar dan upload ke facebook. Namun Haji YB mendiamkan sahaja, kerana mereka berjanji untuk tag dalam facebook, gambar Haji YB yang sedang menambat kaki lembu korban tersebut.

Rahim Noh, yang duduk berhampiran dengan Haji YB pula menceritakan bagaimana raya korban dimanfaatkan untuk membuat kenduri aqiqah anak lelakinya. Rahim mempunyai dua orang anak dan kesemuanya lelaki. Haji YB kemudian memuji Rahim kerana pada tafsirannya lelaki yang mempunyai anak lelaki, adalah lelaki yang bukan pemain atau player pada masa bujangnya. Player atau playboy di sini bermaksud lelaki yang suka berpoya-poya dengan ramai wanita.

“Lelaki ni biasanya, kalau anak pertama dia perempuan, dia ni masa bujang seorang yang playboy. Kalau anak keduanya lelaki, dia mungkin dah insaf akan perbuatannya dulu. Tapi kalau anak kedua perempuan jugak, sah dia playboy.”

Pening jugak nak paham akan teori Haji YB ni. Menurut Haji YB, rasionalnya ialah Allah menganugerahkan anak perempuan untuk lelaki yang dahulunya playboy, untuk menjaga anak perempuan itu dalam keadaan baik daripada menjadi mangsa playboy lelaki lain. Ini untuk menyedarkan lelaki itu akan sikap buruknya dahulu. Dan pening jugak apabila teori ini didengari oleh Kak Linda, yang sedang On komputer sebab dia baru sampai ofis lewat 15 minit. Hah gitu. Kak Linda ni berperwatakan garang, bukan sahaja dia ni ditakuti oleh suami, malah semua orang di pejabat gerun dengan dia.

Sungguhpun begitu Kak Linda ni seorang yang lurus bendul dan cepat panik. Paling menarik dia mempunyai 4 orang anak perempuan yang masih bersekolah. Jadi apabila mendengar teori Haji YB, Kak Linda menjadi gelabah dan terus marah-marah dan dituduhnya suaminya sendiri seorang playboy. Haji YB dengan si Rahim dah mengekek-mengekek gelak dan cepat-cepat menyorok bawah meja. Kedengaran Kak Linda membebel-bebel mendapat pengesahan suami dia melalui telefon ofis. Entah apa yang suami dia menjawab, kita pun tak tahu. Suasana di ofis ketika itu kecoh seketika.

Terganggu dengan kekecohan yang berlaku, dan konsentrasi membuat kerja terjejas, Dato’ Shah bangun seraya berkata;

“Kak, saya pernah dengar Ustaz cakap, barangsiapa antara kamu, ya’ni orang lelaki yang mempunyai ramai anak perempuan, sesungguhnya mereka ini berpotensi untuk menjadi seorang yang alim dan warak bertaraf wali...”

Kak Linda agak berasa sayu selepas itu dan berasa amat bersalah berkasar dengan suaminya sebentar tadi. Sambil dia merasa agak tenang seketika, dia berasa agak pening dengan teori Dato’ Shah itu.

Dato’ Shah menyambung, “...ya'ni wali nikah”.

Suasana di pejabat ketika ini kembali tenang. Masing-masing tekun membuat kerja termasuk Haji YB, Rahim Noh dan tidak ketinggalan Kak Linda.

Ah bendo sonang camni pun Dato’ Shah jugak kena settelkan!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...