Undilah...

Tuesday, November 8, 2011

Haji YB


Suasana di pejabat ketika ini muram dan durja. Hari pertama selepas cuti Hari Raya Aidiladha sungguh mencabar untuk diharungi. Masih terbayang lagi wajah-wajah kesayangan hamba semasa sama-sama berjumpa pada pagi raya bersalam-salaman dan bermaaf-maafan. Masih terbayang jua wajah sayu sang lembu korban melintasi green carpet beberapa minit sebelum kembali kehadrat ilahi. Masih tergambar lagi suasana meriah pasca-korban apabila gotong royong dihidupkan bagi mengagihkan daging korban kepada mereka yang menerima dan suasana bagaimana penduduk setempat merewang bersama untuk menjayakan kenduri korban. Masih juga terkenang bagaimana anak-anak kecil kerap menutup mata semasa ibadah korban dijalankan dan bagaimana ibu-ibu mereka kerap membuka mulut semasa ibadah korban. Juga masih terbayang lagi suasana meriah lampu-lampu brek dinyalakan di sana sini sepanjang lebuhraya disebabkan trafik jam. Hah gitu. Apapun yang tergambar di minda mereka sekarang ini semuanya dapat disimpulkan dengan satu perkataan – penat!

Sekarang jam di dinding menunjukkan tepat pukul 9.00 pagi. Memori-memori tersebut masih menggamit di minda dan nampaknya belum ada lagi staf yang menunjukkan gaya nak memulakan kerja. Haji Awal, bukan nama sebenar, secara tiba-tiba cuba memecah kesunyian. Di pejabat, Haji Awal digelar juga Haji YB disebabkan beliau pernah pergi ke Mekah menunaikan haji bersama menteri. Siap balik awal lagi daripada jemaah lain. Hah gitu. Haji YB mengadu lenguh-lenguh badan penat melapah seekor lembu korban. Beliau mendakwa di kalangan yang melapah adalah orang-orang veteran. Apabila ditanya sama ada pemuda-pemuda yang ada, menghulur pertolongan, beliau mengangguk mereka ada tolong, tapi hanya tolong rakam gambar dan upload ke facebook. Namun Haji YB mendiamkan sahaja, kerana mereka berjanji untuk tag dalam facebook, gambar Haji YB yang sedang menambat kaki lembu korban tersebut.

Rahim Noh, yang duduk berhampiran dengan Haji YB pula menceritakan bagaimana raya korban dimanfaatkan untuk membuat kenduri aqiqah anak lelakinya. Rahim mempunyai dua orang anak dan kesemuanya lelaki. Haji YB kemudian memuji Rahim kerana pada tafsirannya lelaki yang mempunyai anak lelaki, adalah lelaki yang bukan pemain atau player pada masa bujangnya. Player atau playboy di sini bermaksud lelaki yang suka berpoya-poya dengan ramai wanita.

“Lelaki ni biasanya, kalau anak pertama dia perempuan, dia ni masa bujang seorang yang playboy. Kalau anak keduanya lelaki, dia mungkin dah insaf akan perbuatannya dulu. Tapi kalau anak kedua perempuan jugak, sah dia playboy.”

Pening jugak nak paham akan teori Haji YB ni. Menurut Haji YB, rasionalnya ialah Allah menganugerahkan anak perempuan untuk lelaki yang dahulunya playboy, untuk menjaga anak perempuan itu dalam keadaan baik daripada menjadi mangsa playboy lelaki lain. Ini untuk menyedarkan lelaki itu akan sikap buruknya dahulu. Dan pening jugak apabila teori ini didengari oleh Kak Linda, yang sedang On komputer sebab dia baru sampai ofis lewat 15 minit. Hah gitu. Kak Linda ni berperwatakan garang, bukan sahaja dia ni ditakuti oleh suami, malah semua orang di pejabat gerun dengan dia.

Sungguhpun begitu Kak Linda ni seorang yang lurus bendul dan cepat panik. Paling menarik dia mempunyai 4 orang anak perempuan yang masih bersekolah. Jadi apabila mendengar teori Haji YB, Kak Linda menjadi gelabah dan terus marah-marah dan dituduhnya suaminya sendiri seorang playboy. Haji YB dengan si Rahim dah mengekek-mengekek gelak dan cepat-cepat menyorok bawah meja. Kedengaran Kak Linda membebel-bebel mendapat pengesahan suami dia melalui telefon ofis. Entah apa yang suami dia menjawab, kita pun tak tahu. Suasana di ofis ketika itu kecoh seketika.

Terganggu dengan kekecohan yang berlaku, dan konsentrasi membuat kerja terjejas, Dato’ Shah bangun seraya berkata;

“Kak, saya pernah dengar Ustaz cakap, barangsiapa antara kamu, ya’ni orang lelaki yang mempunyai ramai anak perempuan, sesungguhnya mereka ini berpotensi untuk menjadi seorang yang alim dan warak bertaraf wali...”

Kak Linda agak berasa sayu selepas itu dan berasa amat bersalah berkasar dengan suaminya sebentar tadi. Sambil dia merasa agak tenang seketika, dia berasa agak pening dengan teori Dato’ Shah itu.

Dato’ Shah menyambung, “...ya'ni wali nikah”.

Suasana di pejabat ketika ini kembali tenang. Masing-masing tekun membuat kerja termasuk Haji YB, Rahim Noh dan tidak ketinggalan Kak Linda.

Ah bendo sonang camni pun Dato’ Shah jugak kena settelkan!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...