Undilah...

Saturday, September 10, 2011

Cerpapen: Edisi Delivery

Entri kali ini Dato’ buatkan khas untuk pembaca-pembaca yang tak suka baca blog Dato’ yang mereka dakwa panjang berjela. Cerpapen adalah singkatan kepada "Cerita Paling Pendek".

Episod permulaan Cerpapen ini adalah berjudul "Delivery". Semoga terhibur dan terus menyokong blog ini. Kalau suka beritahu friend dan follow blog, dan kalau tak suka pula, sila beritahu Dato’, jangan unfriend pulak, hah gitu.


 
"Assalammualaikum! Anybody home?"

Jamil Abdullah berdiri kaku di hadapan rumah bujang yang didiami oleh rakan baiknya, Nasri. Kebiasaannya pada hujung minggu mereka bersama untuk lepak-lepak dan minum-minum, menonton bola EPL, update Facebook, tengok youtube dan lain-lain aktiviti yang difikir sesuai.

Setelah Nasri menjawab salam, dia mempersilakan Jamil masuk ke rumah. Pada masa itu Nasri yang baru bangkit dari sofa kelihatan sugul, mungkin kerana baru bangun dari lena yang singkat atau dalam bahasa mudah, baru habis take a nap.

"Masuklah Jamil, maaflah rumah bersepah. Maklumlah rumah bujang", kata Nasri sambil mengemas-ngemas bantal sofa.

"It's ok Nasri. Aku paham. Aku tahulah sebab aku kan tinggal sama kat sini dengan kau. Bantal tu pun aku yang punya."

Mereka pun buat hal masing-masing. Sekonyong-konyong kedengaran perut Jamil berbunyi. Namun bunyi itu hanya dapat didengar oleh Jamil sendiri kerana Nasri sedang sibuk mendengar muzik di Ipod Nano yang baru dikirim oleh ibunya di kampung.

Sebenarnya Ipod Nasri tertinggal di kampung masa balik kampung tempoh hari. Kebetulan kampung Nasri berdekatan dengan Jamil. Mak Nasri mengirimkan Ipod kepada Jamil yang baru sahaja pulang dari kampung kerana bercuti panjang.

Seraya, Jamil mengajak Nasri keluar makan dan lepak-lepak di restoran yang berhampiran dengan rumah mereka. Nasri enggan dan tidak bersetuju, lalu berkata;

"Tak payahlah keluar makan. Aku dah suruh kawan aku belikan. Kejap lagi dia sampailah. Kalau kau nak suruh dia lepak dengan kita pun boleh. Aku dah orderkan kau nasi paprik. Kau kan suka makan paprik dengan papdom."

"Ala bro, aku baru je makan nasi paprik dengan awek aku tadi. Aku teringin nak makan roti bom pulak ni" ujar Jamil dengan penuh demanding.

"Takde hal lah bro. Jap ye" balas Nasri sambil menelefon rakannya itu.

"Hallo, nasi paprik cancel. Boleh tukar roti bom?"
 
"Ok bro settle! Bro, aku baru je pasang wifi internet. Anytime je lu boleh layan"

Jamil kemudian membuka laptopnya untuk melayari internet. Dia kemudian bertanyakan Nasri akan password untuk wifi internet itu.

"Ooo password ye. Jap ye", balas Nasri sambil menelefon rakannya.


"Hallo, password wifi apa? Ah.. ok... ok..."

Setelah log in dengan jayanya, Jamil kemudian mengupdate facebooknya yang telah lama tidak diupdate selama 2 jam kerana dalam bas perjalanan ke Kuala Lumpur tiada perkhidmatan wifi. Tiba-tiba dia merasa tidak selesa dengan keadaan meja yang melekit-lekit. Dia mengajukan rasa lekit itu kepada Jamil.

"Ooo lekit ye. Jap ye", balas Jamil sambil menelefon rakannya sekali lagi.
 
"Hallo, lamanya! Diaorang dah siap masak ke belum? Ah jangan lupa tuala lap meja sekali ye"

'Finally, safely arrived at Kuala Lumpur. Menanti kehadiran roti bom. Lapau!' Setelah status diupdate di facebook, Jamil mengajak Nasri untuk menonton bola.

"Ooo EPL ye. Jap ye", balas Nasri sambil menelefon rakannya semula.

"Hallo, MU lawan Bolton channel berapa? Ah... ok... ok...

Ah ni Jamil, kau nak dal ke kari, kawan aku tanya ni?

Ah dal... dal ye. Thanks bro!"

Setelah 15 minit berlalu...

"As Selam Mualaikom! Yenibedi home?


"Ah masuk... masuk. Jamil, inilah kawan aku, Mubarak!
 
"Eh, ini pekerja kedai Mamak kat rumah kita!", reaksi Jamil terkejut.

Setelah mamak itu menghantar makanan yang dipesan, mengelap meja makan mereka dan menghidangkan sekali makanan,  Nasri memanggil Mubarak.

"Boss, kira!"
 
"Neee iskali ka asing ka?"
 
"Asing...asing!", jawab Nasri dengan pantas dan yakin.


"Boss, tisu ada?"


"Ada...ada..."

Setelah mereka membayar dan dipulangkan baki, Mubarak berlalu. Jamil yang masih terpinga-pinga bertanyakan kepada Nasri;

"Apa artinya semua ini? Nak makan kat rumah, kau order mamak, nak hidangkan makanan, nak lap meja kau suruh mamak. Password wifi, channel bola pun kau tanya mamak. Apsal kita tak pergi je kat kedai mamak terus?

"Sorrylah bro, sekarang, aku dah tak beranilah nak makan kat luar. Makan kat rumah aku rasa lagi selamat. Perompak sekarang ni dah macam Komunis!", jerit Nasri bersemangat.

"Aduh, apsal kau tak bawak sekali mamak- mamak tu tinggal sekali kat rumah ni, kan senang! Hah gitu!", balas Jamil dengan sinis.



Pengajaran Cerpapen: Kemerdekaan tidak akan menjanjikan keamanan yang mutlak, selagi minda dan akhlak kita tidak merdeka.

Sekian.


@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
Sumber Cerpapen:

SHAH ALAM: Sebuah lagi restoran India Muslim atau mamak dirompak pada awal pagi semalam yang dipercayai dilakukan kumpulan sama dalam kejadian pada 28 Ogos lalu.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi semalam, pemilik restoran di Seksyen 24, di sini, Ashraf Ali, 49, berkata, rompakan berlaku terlalu pantas kira-kira dua minit apabila tiga lelaki termasuk bersenjatakan parang meluru masuk ke restorannya.

Menurutnya, seorang daripada suspek itu menetak peti sejuk berisi ais krim menggunakan parang untuk menakutkan pelanggan dan pekerjanya, manakala rakan suspek merosakkan talian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di suis utama.

“Kejadian itu menyebabkan 10 pekerja serta 10 pelanggan lari menyelamatkan diri ke pintu belakang.

“Perompak mengambil satu komputer riba dan telefon yang ditinggalkan pelanggan. Mesin wang di kaunter pembayaran juga dirampas kumpulan perompak itu,” katanya.

Monday, September 5, 2011

Raya Itu Merdeka: Oppss... Sikapnya



"Tanda berakhirnya Ramadan, dan bermulanya Syawal ialah apabila anak baju sudah kelihatan".


Raya itu Merdeka. Oppss... Sikapnya. Inilah realiti yang berlaku pada masa kini. Sesetengah orang menganggap Tuhan hanya ada dan melihat kita pada bulan Ramadan, atau pada bulan puasa. Masa itu semua orang nak beramal Salleh, semua nak I follow ke arah kebaikan. Yang takde tudung, masa Ramadan dia bertudung Yuna. Sebelum bulan puasa dia sanggup ke Yunam, repair rambut, tujuannya untuk tontonan umum.

Masa bulan Ramadan
 
Kalau dulu sebelum puasa, dia kaki gurau, masa bulan puasa, elok aje sikap dia, jadi kaki surau. Sebelum Ramadan, dia memang kuat merokok, tapi bila bulan Ramadan tiba, dia boleh berhenti merokok, terus dia jadi kuat rukuk dalam sembahyang. Tengok tu. Oppss... sikapnya.

Namun apa yang berlaku apabila Syawal menjelang? Dia menjerit... Merdeka! Merdeka! Merdeka! Tudung dibaling ke langit ibarat graduan yang meraikan hari konvokesyen walaupun belum merdeka dari PTPTN. Rokok terus dihisap, rukuk mula terabai walaupun dia tahu dia bakal dihisab. Masa bulan Ramadan, dia siap conteng kat dinding surau, "Shah wuz here, see you next year". Hah gitu. Surau dan masjid hanyalah sekadar tempat perlancongan selama sebulan untuk dilawati sesekali. Oppss... begitulah sikapnya. 


Sikap dan amalan baik hanya bila tiba bulan Ramadan. Lepas Ramadan, bila Syawal tiba, itulah jadinya, anak baju dah mula kelihatan. Selepas raya entah bagaimana pula statistik oppss sikapnya. Entah berapa banyak kemalangan jiwa dan minda dicatatkan. Berapa banyak yang dressing maut? Berapa pula yang tercedera ringan ringan? Hah gitu.



Masa raya hari tu, Dato’ sempat pergi ke bandar menuju ke bazar pakaian untuk membeli belah sikit. Elok saja keluar dari kedai tu, mata Dato’ termasuk ekornya sekali terpandang perempuan-perempuan yang berpakaian HD - menjolok mata, terang dan nyata. Itu yang terkeluar ayat perenggan pertama tadi. Dato’ pun jadi Astro Beyond, Dato’ pause dan rewind, kemudian “Kita Rakam Aje”.


Yang peliknya dia pandang Dato’ semacam bila Dato’ melemparkan senyuman manja kat dia sambil Dato' melambaikan tangan salam perkenalan. Terus dia fast forward lari macam nampak Acidman. Dah puluhan tahun Merdeka, tapi pakaian dia masih dijajah.

Masa Raya dan Merdeka



Dato’ kemudian ke kedai CD/DVD. Tauke Cina kat kedai tu, bila nampak Dato’ terus dia bersuara "Allo boss apa mau? Sorilah boss, itu DVD Mat Sabu tarak jual sini, tapi aaa, itu DVD Bukit Kepong ada. Lu mesti angkat, manyak sedihnya pun". Dato’ menjadi hairan, apahal dia offer Bukit Kepong pulak ni. "I mau CD lagu Korea lah, mana dia? Itu group perempuan yang cute cute punya. Itu kalau dia dance aaa, kita punya mata tak boleh kelip woo"

Tauke tu kemudian memimpin Dato’ ke bahagian CD Korea. "Aiyya, lu ini macam pun ada tengok ka? Manyak susah mau percaya". Ceh, Ada pulak dia kata macam tu. Dato’ ni walaupun muka Bhaiya, tapi hati Korea. Hah gitu. Sebenarnya Dato’ nak check tajuk lagu kumpulan Girls Generation-SNSD, balik nanti boleh download.  


Takpe, dia jajah kita dengan K-Pop, kita jajah dia balik dengan M-Pop. Tapi ada ke orang Korea sana nak dengar lagu kumpulan Gula Gula dari Malaysia?, ada ke perempuan-perempuan Korea sana jadi histeria bila tengok persembahan kumpulan 24:7 dari Malaysia?



Dato’ pun beredar ke tempat letak kereta untuk pulang ke rumah. Dato’  melabuhkan punggung ke dalam kereta. Kereta mahu diundur, side mirror dipandang. "Alamak!". Segala persoalan yang tadi terjawab kini. Patutlah. Rupa-rupanya lepas cuba pakai dan bayar, Dato’ lupa nak tanggalkan dari kepala, kopiah putih yang Dato' beli kat bazar tadi!


Oppss...



http://gurunsakura.blogspot.com

Thursday, August 25, 2011

Iklan Raya Gurun Sakura 2011



PESANAN PENAJA: JALAN CERITA DAN DIALOG IKLAN INI ADALAH BERDASARKAN IMAGINASI DATO' SHAH


Aku mempunyai seorang Abah yang...


 
Hensem


Setiap kali bila kami berjalan bersama, situasi ini pasti berlaku...


"Ini adik kau yang mana satu ni?"


"Hehe... Aku tahulah aku nampak muda”

“Ini anak aku lah!"

Namun Abah tidak pernah bangga diri


"Abah rasa kau kena diet sikit ni.
Perut dah boroi, muka nampak tua"

Aku seperti biasa sering rajuk diri


Namun Abah tidak putus-putus memberi dorongan kepadaku untuk menjadi lebih baik daripadanya



Sebelum aku sampai ke menara gading…

 
"Belajar rajin-rajin, Bahasa Inggeris tu kena mahirkan lebih dari Abah. Abah nak kau jadi accountant yang lebih berjaya dari Abah"

 
"Abah tu accountant ke, selalu balik pukul 6 petang. Accountant kan selalu balik lambat"

"Abah buat kira-kira kat pejabat.
Abah balik pukul 6, jadi abah account 6 (sick).
Akaun tak balance pun, dah boleh balik.
Nak jadi accountant yang cemerlang
kena balik lewat sampai pukul 10 malam,
barulah account 10 (ten) - accountant.
Sebab tu orang panggil accountant. Hah gitu"


Kami sering bersatu dalam sukan terutamanya bolasepak


"Ha cepat… cepat…!, Malaysia lawan Arab Saudi Piala Dunia Kelayakan, nak start ni..."

"Goooaaaaaallllllllllllllllll"


"Wow! Itu dia, satu rembatan gol yang cantik dari Arab Saudi. Tahniah Arab Saudi!"


"Abah, Hasbullah Awang ni bukan orang Malaysia ke? Happy je"


"Dia hanya buat kerja dia, jangan kacau!"


Tetapi kami sering bertelagah dalam isu politik



 
"Abah… Abah… tengok video reformasi ni, masa demo, FRU pukul orang ramai. Zalim. Pastu tengok ni, pemimpin tu lebam biji mata dia kena pukul polis. Mahazalim!"


"Orang yang buat jahat memang patut dapat macam tu"


 
Aku seperti biasa rajuk hati


Abah pandai memujuk
Satu hari dia telah membelikanku sebuah buku



"Ini Abah belikan buku accounting ni. Harap-harap kau boleh jadi accountant nanti.


Aku masih lagi ingat buku yang Abah beli khas untuk aku




 
"Accountability? Lainlah... Abah, ini bukan..."


"Kenapa? Ini buku accounting kan?"


Untuk tidak mengecilkan hatinya aku menerima buku itu dan menyimpannya


"Ok... Terima kasih... Hmmm..."


Masa berlalu begitu pantas dan aku telah memasuki alam pekerjaan


Untuk menjadi accountant yang cemerlang,
aku sentiasa sibuk dan sering pulang ke rumah selepas pukul 10 malam
Aku hanya buat kerja aku. Jangan kacau!


 
"Abah, sorry ye, orang tengah sibuk ni. Nanti orang call abah balik, atau abah sms aje tinggalkan pesanan"


Aku menjadi begitu sibuk sehingga tiada masa untuk menelefon, apatah lagi memanggilnya, Abah

Satu malam, setelah aku pulang dari office aku mendapat khabar yang Abah di kampung telah meninggal dunia akibat sakit misteri

Abah meninggal dunia tanpa aku disisinya


Barulah kusedar bahawa Abah sentiasa menggalakkan aku berjaya di dalam career, tetapi dalam masa yang sama, aku harus ada kebertanggungjawaban (accountability) terhadap orang-orang di sekelilingku termasuk ibu bapa dan keluarga


Kini aku mempunyai cahaya mata

Dan sejak dari itu, setiap masa aku akan pastikan yang mereka sering ada rasa tanggungjawab terhadapku dengan memastikan mereka memanggilku selalu


"It’s Barney!"


 
"Bukan Barney sayang, ini Daddy!"


"Ok, tenkiu Barney!"



Betul kata Abah
Mulai sekarang aku harus berdiet dan menguruskan badan supaya sentiasa kelihatan muda



Kini sudah 3 tahun Abah meninggalkanku akibat sakit misteri

Aku hairan Abah bukan orang yang buat jahat, dia tak patut dapat macam tu

Tetapi aku redha kerana Allah menganggap dia insan yang cemerlang dan lebih berjaya, lalu mengambilnya dari kami ketika dia hanya seusia kemerdekaan negara kita  


Abah meninggalkan kami dengan kenangan-kenangan indah bersamanya kecuali telefon

Sehingga kini, sesiapa pun tidak mengetahui di mana Abah menyimpan handphone nya

Seperti kebiasaan, setiap kali Aidilfitri menjelang, aku akan mendial nombornya...


“Abang… Abang telefon siapa tu? Sudah sudahlah tu bang!”

“Ini abah saya lah”

"Harap maaf. Nombor yang anda dial sedang sibuk, sila tinggalkan pesanan selepas nada beep..."

"Selamat Hari Raya Abah. Ampunkan dosa-dosaku..."


  
www.gurunsakura.blogspot.com - Dato’ Shah


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Thursday, August 18, 2011

Aku dan Pensil Kayu

As salam buat semua pembaca blog yang setia menanti buah tangan terbaru Dato’’ Shah walaupun berbulan-bulan lamanya. Hah gitu. Ala, sorrylah Yunk. Jangan lempunk. Nanti Arbunk terajunk kunk. Lama bebenor tak jumpa. Rindu rasanya. Diam tak diam dah masuk hari ke 18 umat Islam berpuasa. Termasuklah kita kan. Di kesempatan ini Dato’ ingin mengucapkan Salam Ramadan dan selamat berpuasa penuh kepada semua. Bila dah bulan puasa ni, yang paling glamer ialah si Yusof Taiyob tu. YUTA. Dah jadi monopoli dalam pengiklanan buah kurma ni. Lepas dia, dia, lepas dia, dia lagi. Takde ke yang nak compete dengan dia? Dato’ cadangkan Yusof Haslam pulak pasarkan kurma. Confirm boleh fight. Nama keluarannya YUHA. Kalau Yusof Taiyob dia guna suara perempuan dengan suara yang seksi nak promote kurma, “Yuuuhsoft Thaihyyooob…..”  Ahhhhh…. Tapi untuk YUHA, Dato’ cadangkan kita guna nama lelaki nak promote kurma, baru barkat. Bunyi dia macam ni, “YuuuuuuuuuuuuHaaaaaaaaaaaa….!!!!”. Hah gitu. Suara ala-ala riang gitu. Yelah sebab gembira nak buka puasa, makan kurma. Brand kurma pulak antaranya Kurma Maria, Kurma Mariana, Kurma Wati, Kurma Fazira, Kurma Aleeza. Tapi yang paling laris tau dak kurma apa? - Kurma Sol Sol Sol... Hah gitu. Jangan marah ye Datuk, sekadar cadangan nakal.

Karya terbaru Dato’ ini, Aku dan Pensil Kayu. Pssst.... Cuba control sikit suara tu, jangan kepit sangat, dah macam bunyi Nobita dah. Janganlah, ini tajuk serius ni. Dato’ ingin menceritakan apa yang Dato’ buat dengan pensil kayu sewaktu di alam persekolahan selain dari menenyeh jawapan MCQ masa peperiksaan.

Di dalam Aku dan Pensil Kayu ni, Dato’ ingin mengimbau kembali ke alam persekolahan, bila yang Dato start menulis dan bagaimana Dato’ dapat mengenal pasti bakat Dato’ dalam bidang penulisan. Bakat ke? Tak kisahlah, tapi Dato’ perasan gila yang Dato’ terror menulis masa sekolah menengah. Masa tu zaman di mana budak-budak sekolah dilambakkan dengan majalah-majalah komik seperti Gila-Gila, Ujang, Gelihati, Boom dan sebagainya. Masa tu Dato’ kerap baca Gila-Gila dan Ujang je. Yang lain memang jarang-jarang baca termasuklah majalah Dan Sebagainya tu memang tak pernah baca. Bermula dengan pensil kayu, career penulisan Dato bermula.

Jadi bila dah selalu baca majalah komik, timbul minat untuk menulis. Dalam hati kecil Dato’ berkata, "Aq bleh tulis dan wat lebey kelakar dari kartunis ittew!". "Laa... Itu jew kew yang dye bleh wat?" Biasalah budak sekolah, ayat dengan tulisan cam harun. Hah gitu. Dato’ pun check-check balik report card, boleh tahan jugak markah subjek Karangan BM Dato’. Kepujian tu, bukan senang cikgu nak beri pujian. Marka Dato’ pun tak pernah puji Dato’ sebab memang takde pun Marka masa tu. Ok pass. Kemudian Dato’ check balik markah subjek Pendidikan Seni Dato’ - Memualkan. Tak tahulah, kadang-kadang kita kena bersangka baik, husnu zhon. Law kana bainana? Mungkin cikgu typo error, anggaplah ianya memuaskan.

Memang Dato’ tak pandai melukis. Sampai sekarang kalau suruh Dato’ lukis, memang tak memuaskan. Kalau suruh Dato’ lukis tajuk "Pemandangan di Kampung Saya", camnilah jadinya.

Inilah yang the best Dato’ boleh bagi. Ariel TV pun ariel lama, padahal orang dah pakai Astro sekarang. Gambar burung dengan awan tu mesti kena ada nak bagi impression lebih. Pokok pun standard je jenis pokok tak bergoyang.

Ada satu masa, ketika interview salah satu Big Accounting Firm, time one of the assessment, dia suruh candidate lukis satu gambar binatang dan relatekannya dengan diri sendiri. Hah sudah. Dato' nak lukis orang lidi pun struggle, apatah lagi binatang. Memang tertekan masa tu. Dahlah first job lepas graduate. Lalu Dato’ pun perah otak dan inilah hasilnya.


Air manis tumpah, binatang mana yang datang? Semut! Semut pun binatang jugak kan? Semut rajin bekerja, bekerjasama, tak pernah putus asa dan sebagainya. Dan sebagainya tu sebab Dato’ lupa apa yang Dato’ goreng masa tu. Tapi alhamdulillah Dato’ berjaya dalam assessment tu dan layak ke assessment berikutnya. Nak kata kat sini, jangan rendah diri akan kelemahan diri. Fikirlah di luar kotak, guna otak, maka hasilnya bisa menggelegak.

Jadi, bagaimanakah Dato’ ingin merealisasikan impian Dato’ untuk menjadi kartunis pada zaman persekolahan itu? Kunci kata dia, fikir di luar kotak, guna otak! "Aq taw tulis jew, tk pandai lukis". Nah, akhirnya Dato’ bertekad untuk menghasilkan majalah komik tanpa wajah, hanya dialog sahaja.


Cover page
Dato’ namakan komik Dato’ sebagai "Hoi", dengan konsep majalah tiga saluran. Dikeluarkan pada bulan yang mulia iaitu pada 1 Ramadan 1416, dan akan diterbitkan pada setiap hari pertama bulan Islam. Tengok, masa tu iman tengah naik, alim gitu, sekarang alim kucing, kalau tanya 1416 tu tahun berapa masihi, memang kantoi. Dalam entry kali ini izinkan Dato’ ulas sedikit dari kulit ke kulit majalah Hoi ni dan masukkan sedikit isi kandungannya. Oh ya, masa tu Dato’ tak jual majalah Dato’, cuma kalau nak baca dikenakan 20 sen, seperti tertera dalam cover page tu.


COVER PAGE
Dua orang sedang berpantun memperkenalkan majalah lawak yang baru. Ala masa tu kan femes iklan susu dengan pantun inflasi sifar, "Kita minum dulu!". Di bawahnya pula ada ucapan sinis Selamat Berpuasa dan bukan Berpuas Makan.



MUKA DUA

Ada intisari rancangan. Kira macam index untuk 3 saluran. Ada saluran lawak, saluran bebas dan saluran box office. Saluran lawak dan bebas sama je cuma saluran lawak ada pelbagai jenis lawak, dan saluran bebas, tajuk dia je yang bebas. Saluran box office kira macam movie, cerita dia panjang sikit. Tapi semuanya masih sama konsep, takde gambar kartun sebab lukisanku memualkan.

Muka Sisipan - Barisan Kita
Muka Sisipan - Iklan

MUKA SISIPAN

Barisan Kita memaparkan senarai kartunis-kartunis. Hah gitu. Memang tak lah, kartunis dia semuanya Dato’. Hanya kartunis bayangan. Sebelahnya pula ada iklan. Biasalah sebelum tengok program TV mesti ada iklan, tapi iklan ni berbentuk komik juga. Sebelum ada ASTRO lagi, iklan ni umpama sawi dalam mee goreng. Mesti kena ada untuk menambah sedap.


Saluran Lawak - Cover Page

SALURAN LAWAK
Dalam sisipan ini ada variati jenis lawak - Lawak Pelajar, Lawak Adik Beradik, Lawak Keluarga, Lawak Doktor, Lawak Bas dan Lawak Pandai. Dato’ siarkan sikit antaranya di sini. Ala biasalah ini lawak tahun 90an, lawak budak-budak lagi.

Lawak Pelajar




Saluran Lawak - Lawak Adik Beradik
 
Saluran Lawak - Lawak Doktor
Saluran Lawak - Lawak Pandai


Saluran Lawak - Lawak Pandai
 
SALURAN BEBAS

Kat sini pun boleh tahan sengal juga lawaknya. Anda bacalah sendiri, tapi Dato’ suka watak Mat Pintar yang berjaya mengelak dirinya dari kena prank dengan kawan dia. Ada juga cerita pasal puasa di sini.

Saluran Bebas - Cover Page
Saluran Bebas - Polis Akademi 1

Saluran Bebas - Mat Pintar

Saluran Bebas - Tengok Wayang

Saluran Bebas - Tengok Wayang


SALURAN BOX OFFICE

Inilah tugas yang berat bagi Dato’ pada masa itu. Sebab kena buat cerita ala-ala movie, dahlah takde gambar, takde kartun, hanya dialog. Memang challenging. Tapi hasil dia tetap sengal. Takpelah, benda ni dah jadi sejarah pun. Objektif Dato masa tu satu je. Nak bagi orang enjoy membaca sambil mengunyah Pop Corn. Hah gitu. Bukan janji tapi pasti. Ada 3 movie di sini, tapi Dato’ suka untuk attach movie yang ini, tajuk dia Misteri Sekolah Kebangsaan Datuk Taib.

Saluran Box Office - Cover Page

Saluran Box Office - Movie Poster

Saluran Box Office - Movie Pt 1

Saluran Box Office - Movie Pt 2



Saluran Box Office - Movie Pt 3




Saluran Box Office - Movie Pt 4




Saluran Box Office - Movie Pt 5

MUKA SEBELUM AKHIR HOI
Ada iklan lagi. Kisah curi makan masa puasa. Padan muka! Layan aje.

Iklan Penutup

MUKA BELAKANG
Segmen senyum kambing - senyum ada makna. Inspired by Utusan Malaysia, tapi isinya masih kekal original. Insya Allah Dato’ akan selitkan kartun-kartun yang lain dalam entri-entri Dato’ yang akan datang.

Muka Belakang

Amacam? Boleh jual tak? Kalau 15 tahun lepas, nak baca 20 sen, mahu sekarang cecah RM2 nak baca je. Nak jual memang tak akan. Khazanah berharga ni. Ada satu lagi khazanah berharga Dato’ hilang, akan diceritakan dalam episod akan datang. Tapi hakikatnya pada masa itu Dato’ tak collect pun duit untuk dibaca. Dato’ tunjukkan majalah ni pun kat 2 orang kawan je. Sebabnya tiada keyakinan diri yang orang boleh terima karya sebegini - malu dan takut. Inilah penyakit yang Dato’ hadapi sampai sekarang sehinggalah melibatkan diri dalam penulisan blog. Dengan melihatkan follower yang ciput, bilangan pengunjung yang masuk, feedback/comment yang senantiasa sepi, ditambah pula dengan kritikan membunuh teman-teman, dan ada juga yang endah tak endah bila Dato’ begitu semangat mengumumkan ada entry baru, rajuk rasa ini ingin meneruskan langkah.

Namun apabila Dato’ terjumpa semula majalah Hoi ini, tersenyum Dato’ melihat kekentalan diriku menyiapkan satu majalah komik setebal 42 muka surat, di luar kotak fikiran di sebalik kelemahan ini.

Ternyata menulis bukan untuk popular rupanya. Menulis bukan untuk wang ringgit pastinya. Menulis hanya untuk satu kepuasan dan untuk menyampaikan mesej tersirat. Biarpun tidak mendapat kepujian dan sering dianggap memualkan, namun bagiku ianya memuaskan. Tak disangka, majalah Hoi itu merupakan komik pertamaku dan yang terakhir, mula terbit pada Ramadan 1416 dan ironinya diterbitkan semula pada Ramadan 1432 di blog ini. Inilah aku dan pensil kayu.

-www.gurunsakura.blogspot.com-

Saturday, May 21, 2011

Kongsi Oh Kongsi: Satu Rebiu

Salam sejahtera kepada semua pembaca. Tahniah kerana memilih blog yang tercalon dalam Anugerah Digi WWWow untuk dua kategori; Blogger of the Year dan Kategori LOL (Humour). Walaupun Dato sendiri yang mencalonkan blog ini, tapi bak kata orang “Kau ada?” Hah gitu. Tentu ramai pembaca-pembaca di sana yang menanti buah tangan terbaru Dato. Ada ke? Kalau takde pun, yang pasti Dato sendiri ternanti-nanti kan entri terbaru Dato. Untuk rekod, tahun 2011, entri ini yang pertama sekali muncul. Buat blog ni macam buat filem jugak. Kalau production house nak hasilkan filem yang banyak dalam masa setahun, tapi kualiti takde, terpulang kepada diaorang, sama ada nak pentingkan kualiti atau kuantiti. Jadi untuk entri pertama Dato tahun 2011 ini, Dato nak buat sedikit rebiu tentang filem yang sedang hangat ditayangkan sekarang arahan Farid Kamil. Ada yang kata best, ada yang kata filem ni Lang Si, tapi yang penting dapat kutip RM1 juta sehari. Kalau 40 hari tayangan, tak ke pening DR Rozmey? Kau ada?
Dato pun memilih TGV Capsquare yang terletak di tengah-tengah ibu kota sebagai tempat menabur saham kepada David Teoh. Pergi bersama Datin dan putera pertamaku. Maklumlah dah free time sekarang, time for Family Day now. Bak kata Nora Danish, "Yang penting kita enjoyy!" Hah gitu. “Kalau dah nama pun accountant, apa-apa pun mesti berkira, every single cent counted!”. Hamboi sedapnya kau orang mengata Dato. Salah ke Dato beli tiket couple seat untuk 3 orang? Couple seat ni boleh merapatkan lagi kemesraan. Kata nak tengok citer Kongsi, jadi seat pun kenalah kongsi. Satu pop corn small dan satu air mineral dibeli dan dikongsi juga. Ha tengok, kutuk lagi, Bukannya apa, beli banyak-banyak, tak habis nanti. Kan nak tengok cerita kongsi, pop corn ngan air pun mestilah kongsi. Akhirnya panggung dibuka. Kami pun masuk, yang first sekali masuk. Takde orang. Lepas kami masuk, ada beberapa couple yang duduk kat non-couple seat masuk. Dalam hati Dato, bagus Capsquare ni, selesa, tak ramai orang, kalau kat tempat lain dah kena duduk row depan, mendongak. Agaknya ramai yang tak tahu kewujudan Capsquare ni. Krup krap krup krap, Dato mengunyah pop corn, maklumlah tak ramai orang, tak segan nak melahap dengan gelojoh. Akhirnya Pop Corn habis, cerita Kongsi pun bermula. Maka inilah rebiu Dato Shah tentang filem Kongsi ini.

Bermula dengan watak utama lakonan Bintang Popular 2010, Shaheizy Sam, memegang watak Tumulak, gangster dari Thailand untuk memporak perandakan gangster Malaysia, yang Melayunya Man Jawa punya gang. Babak pertama Tumulak menyerang tempat Man Jawa dan membunuh siapa entah nama dia, adik Man Jawa. Yang peliknya geng-geng Man Jawa ni ramai, tak mampu nak kalahkan Tumulak, kemudian Tumulak blah begitu saja. Maka geng-geng Man Jawa ini suspect geng-geng gangster yang lain, Victor dan Jimmy yang membuat angkara ini. Konon 1 Malaysia lah.

Kemudian Tumulak terus menghuru-harakan keadaan dengan menyerang geng-geng Victor dan Jimmy dengan tujuan melagak-lagakan geng-geng 1 Malaysia ni. Kelebihan Tumulak ialah mahir dalam sukan Tomoi dan bijak mendrift kereta serta berkecek Kelate. Kemaraan Tumulak untuk memporak perandakan gangster-gangster di Malaysia dibataskan oleh Polis Malaysia yang diketuai oleh Inspektor Sharif bin Sharifudin, lakonan Fizo Omar yang merupakan seteru Tumulak semasa kecil lagi di dalam sukan Tomoi.

Secara keseluruhannya, kekuatan cerita ini hanyalah terletak kepada Tumulak sendiri dari segi lagak dan karektornya yang begitu licik. Daripada segi aspek lain banyak plot-plot cerita yang kecelaruan seperti apa tujuan ketua gangster Thailand, Kempedu (Bront Palare) mengarahkan Tumulak ke Malaysia, dan dua yang lain ke India dan Jepun. Kemudian bagaimana ada senjata api di dalam tilam tempat Tumulak menetap di Malaysia, dan Tumulak yang mengaku tidak arif mengguna senjata api itu, namun akhirnya dapat menembak tepat dan membunuh beberapa orang. Mungkin dia baca manual atau dia trial and error. Plot cerita yang berterabur dan merungkai banyak persoalan ini, mungkin disebabkan pengarah ingin menyambung ke episod kedua kelak.

Ada juga adegan yang menarik di mana Mikhael, gangster Melayu lakonan Azad Jasmine yang terpotong jari semasa mengangkat pedang bak samurai. Ada juga adegan bagaimana adegan gangster-gangster berlakon alim dan berlagak tabligh di dalam kereta semasa road block polis. Adegan kejar mengejar Tumulak di bilik hotel sampai terpaksa menceroboh bilik suami isteri yang si isteri sedang asyik mentrim suami dia. Apa yang dia trim tu, anda semua kenalah tengok sendiri. Banyak cantik korang, semuanya Dato nak kena disclose sini. Namun Dato tak berkenan adegan polis mengejar Tumulak dengan kereta siap langgar-langgar kereta Tumulak yang akhirnya jadi macam main bumper car kat Taman Tema Genting. Juga adegan di mana Detektif Olla (Yana Samsudin) yang mengendali kes pembunuhan, reaksinya sungguh tak serius. Ada adegan di mana ASP Shariff nak bersiap keluar makan dengan isteri dan anak, namun terpaksa dibatalkan kerana mendapat panggilan suruh kerja. Teraso den. Hah gitu.


Namun adegan last filem ini menarik minat Dato. Adegan di mana Polis hampir berjaya menangkap Tumulak. Setelah adegan bumper car, Tumulak keluar dari kereta dan berlari-lari hingga menuju ke area Jalan Masjid India dan menuju ke jambatan untuk terjun ke Sungai Klang, betul-betul berhampiran dengan Capsquare. Elok je Polis nak cekup Tumulak, dia pun nekad untuk terjun, namun sungai tu cetek, dan penuh lumpur, dan kepala Tumulak ditenggelami lumpur dengan kaki ke atas setelah melakukan penerjunan. Selepas adegan ini, scene menjadi gelap seketika, mungkin pengarah zoom kan keadaan Tumulak setelah tenggelam di dalam sungai. Tiba-tiba muncul seorang pelakon Tamil yang Dato kurang kenali, yang macam baru je jumpa tadi, yang Dato suspect, salah seorang ahli gangster. Tetapi dia bukan muncul di screen, tapi muncul di belakang Dato sambil berkata, "Err, mintak perhatian, siapa-siapa yang parking kat basement, cepat-cepat alihkan, sebab basement masuk air, banjir!" Ayoyoyoyoyo kare wale, kare wale! Rupanya pelakon Tamil tu pekerja TGV. Patut macam pernah nampak tadi.

Apa lagi Dato’ berlari tak cukup tanah. Datin dan puteraku ingin ikut sama, namun Dato’ suruh tunggu di atas sambil berpesan, “Jaga anak kita, jangan terlepas pandang, apa yang terjadi, kita tetap bersama, I jump first ok!” Keadaan di Capsquare menjadi huru hara, macam filem 2012, yang bezanya dalam 2012 semua bertempiaran lari nak selamatkan diri masing-masing. Dalam scene ini, semuanya tak pedulikan orang lain, nak selamatkan kereta masing-masing. Dan bezanya lagi, di dalam scene ini, pengarah tidak ada, pelakon bebas menggunakan dialog, menggayakan watak, dan menentukan jalan cerita masing-masing. Ada yang mahu menggunakan lift, namun Security Guard memberi amaran yang bahaya menggunakan lift kerana turut dimasuki air. Apabila arahannya tidak dipedulikan Guard tu jadi berang lalu menempik, “Wei lu tak dengar ke, tak boleh masuklah, Lu Langsi Lu Mau Mati Ka?”

Alangkah terkedunya Dato melihat Sylphy, kereta yang baru Dato beli 2 bulan lalu dimasuki air sampai paras pedal minyak. Kereta Dato betul-betul berada berhadapan dengan punca air yang begitu deras masuk ke dalam basement parking dipercayai dari Sungai Kelang di mana Tumulak tu terjun tadi. Patutlah air dalam filem Kongsi tadi cetek, rupanya dia mengalir terus ke basement parking. Air deras mengalir dan Dato menghadapi kesukaran untuk mengalihkan kenderaan Dato. Akhirnya Dato nekad juga mengalihkan kereta Dato dengan air paras lutut, alhamdulillah akhirnya berjaya di alihkan. Dato terpaksa juga startkan enjin dan tiada pilihan lain, terus mengambil Datin dan puteraku yang menunggu di atas dan terus memecut laju ke rumah. Adegan akhir sekali, biasalah, tak perlulah Dato cerita di sini, bayangkanlah sendiri, bila Hero dah selamatkan Heroin. Ehem. The End.

Akibat kejadian itu Dato mengalami kerugian ribuan ringgit atas kerosakan beberapa tempat di dalam komponen kereta, tidak termasuk kos akan datang yang mungkin akan ada. Harap-harap tidak akan berlaku kerosakan berkait nanti. Mungkin ada hikmah yang berlaku. Kejadian ini berlaku sama hari dengan kejadian tanah runtuh di Hulu Langat yang meragut nyawa anak-anak yatim di sana. Rupanya Dato berKongsi tragedi 21 Mei dengan mereka, cuma nasib Dato tidak seburuk mereka. Al-Fatihah kepada mereka. Moga mereka beroleh syahid. 

Berikut adalah gambar-gambar yang sempat di rakam semasa kejadian;



Laporan polis telah dibuat, aduan sudah diajukan kepada pihak pengurusan Capsquare. Harap mereka bertanggungjawab di atas kejadian kejadian ini. Tempat dah cantik dah, dan perkara begini tidak patut dipandang enteng. Harap mereka dapat berKongsi apa-apa yang patut diKongsi dengan Dato’.  Banyak tu kerugian, bukan sikit, warranti kereta pun habis gitu je. Apa pun yang berlaku sama-samalah kita muhasabah. Kongsikanlah kegembiraan, keriangan, tangisan dan kesedihan sesama kita. Ada siapa yang baik hati mahu berKongsi tabung kejadian banjir kilat Cap Square dengan Dato? Maaf, rebiu filem Kongsi tak dapat Dato habiskan. Apakah yang berlaku kepada Tumulak agaknya diakhir cerita?

P/S - Timbul idea nak buat filem berjudul "Basement 1" kejadian banjir di dalam basement yang bertaraf Hollywood. Ragam manusia, ada yang nak selamatkan kereta dan ada yang nak selamatkan nyawa. David Teoh sudi tak beli tak idea Dato?


http://www.gurunsakura.blogspot.com/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...