Undilah...

Friday, September 23, 2011

Keriau Si Miaw


Sedih dan kesal! Itulah perasaan yang dapat digambarkan apabila melihat video usaha menyelamatkan komuniti kucing yang terkurung tanpa diberi makan dan minum di pusat jagaan haiwan, Petknode pada awal bulan Syawal yang lalu. Pemilik kucing-kucing tersebut yang rata-ratanya beragama Islam membuat keputusan untuk menghantar kucing kesayangan mereka ke pusat penjagaan itu untuk membolehkan mereka beraya di kampung. Tapi yang menjadi masalahnya, owner Petknode pun nak beraya juga dan gagal mendapatkan pekerja-pekerja untuk menjaga lebi h 300 kucing yang telah check in pada masa itu. Tragedi keriau si miaw ini menimbulkan kemarahan bukan sahaja kepada pemilik-pemilik 300 kucing itu, atau pemilik-pemilik kucing yang lain, malah semua yang berperikemanusiaan rasa belas dan ihsan terhadap apa yang berlaku. Kalau Catwoman tau, dia pun rasa belas jugak - rasa nak belasah owner Petknode yang cuai itu.


Apabila mengetahui berita ini, Dato’ terus teringatkan ibu Dato’ di kampung. Mak sememangnya pemilik kucing tegar. Sehingga dibinanya Zoo Kucing di rumah untuk memelihara kucing-kucingnya itu. Dato’ exaggerate je Zoo Kucing tu, tapi yang penting dibinanya sangkar bagi penginapan kucing. Bila time makan, dengan hanya memanggil nama kucing-kucing tu, terus kucing-kucing tu datang mai rapat mai rapat menjamu selera. Ibarat macam duduk asrama penuh, cuma yang bezanya dengan budak-budak asrama, kucing-kucing itu terus makan tanpa mempersoalkan menu yang dihidangkan walaupun menu yang sama hari-hari.
ZOO KUCING - DILARANG MEMBERI MAKANAN SEGERA
ZOO KUCING - MASUK PERCUMA, KELUAR BERSAMA

Setiap kali pulang ke kampung, Dato’ memang tak hiraukan untuk bertanya khabar akan kucing-kucing itu. Telefon dan sms jauh sekali. Ini disebabkan Dato’ memang dari dulu lagi allergic terhadap kucing. Memang Dato’ tak boleh layan. Kalau setakat Alleycat, Cat Faris, Cat Stevan ke atau Catriona Ross ke, tu boleh Dato’ layan lagi. Even kalau Cattijah Tan pun Dato’ boleh. Tapi kalau Cat Kucing tu, Dato’ memang tak berminat.

“Syuuuh… Syuuuh!!! Keluar… Keluarlah!!”

Itulah yang mampu Dato’ lakukan bila kucing masuk ke dalam rumah. Nak pegang dan angkat kucing bawak keluar, memang Dato’ tak berani. Paling berani pun satu jenis kucing je yang  Dato’ pernah sentuh, iaitu kucing tidur (durian). Hah gitu. Mungkin kerana Dato’ risau akan kuku kucing tu. Buatnya dicakarnya Dato’ masa pegang, tak ke naya. Untuk rekod, Dato’ pernah kena cakar binatang pada waktu malam, lagi besar dari kucing iaitu harimau. Cakar Harimau. Hah gitu.


Yang ini betul. Selain dari kucing, dulu Dato’ pernah fobia dengan ayam. Sebabnya Dato’ pernah kena patuk bertubi-tubi dengan seekor ayam yang seakan ayam betina masa kecik-kecik. Adalah dalam seminggu dua Dato’ terlantar, bukan sebab cedera parah, tapi letih mogok lapar tak makan ayam.


Kemudian teringat yang Dato’ juga fobia kepada ikan, kerana pada satu waktu makan tengah hari, Dato’ tercekik tulang ikan. Abah Dato’ yang kelihatan cemas menyuruh Dato’ menelan gumpalan nasi yang Abah sendiri sediakan. Namun petua itu tidak menjadi kerana nasi itu dikunyah, bukan ditelan. Bertahun-tahun jugaklah Dato’ tak makan ikan sehinggalah dah masuk alam pekerjaan, Dato’ mansuhkan sendiri Akta Keselamatan Dalam Tekak. Selepas dari itu Dato’ makan ikan yang tulangnya besar-besar seperti ikan pari, ikan siakap kerana tak mahu peristiwa silam berulang. Alasan aje tu, padahal malas nak asingkan isi dari tulang.


 
Berbalik kepada hal kucing, tragedi di Petknode menyedarkan Dato’ dan membuatkan Dato’ mula sayang kepada haiwan bernama kucing. Dato’ mula teringat akan perawi hadis, Abu Hurairah yang digelar Bapa Kucing, kerana sifat penyayangnya terhadap kucing yang tidak berbelah bagi. Juga kisah seorang wanita masuk neraka disebabkan seekor kucing yang diikatnya dengan tidak memberinya makan mahupun membebaskannya untuk mencari makan.


“Miawww… Miawww!! Mari… Mari Sayang!”


Itulah yang mampu Dato’ lakukan sekarang bila ternampak kucing terutamanya semasa Dato’ sedang menjamu selera di gerai. Nak pegang, masih lagi takut. Pantang nampak kucing, mesti Dato’ panggil untuk memberi makan kepada si comel itu. Setelah isi ikan habis dimakan, tulangnya pula diagihkan kepada kucing itu. Dato’ pula dah berani dan rajin makan ikan yang bertulang banyak. Kini si comel kucing dan diriku saling melengkapi.


Satu hari, sedang Dato’ menjamu si comel makan di gerai, tiba-tiba terdengar bunyi seakan-akan miaw yang bunyinya tak pernah Dato’ dengar sebelum ini. Mungkin komuniti kucing yang baru.


“Mawww… Mawww! Mari… Mari Abang!


“Mawww… Mawww beli ka Abang? Ini jam Omega original dari kilang punya”


Ceh, ini bukan kucing aku. Ini nak kencing aku! Syuuuh!… Syuuuh!

 
http://www.gurunsakura.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...