Undilah...

Friday, September 23, 2011

Keriau Si Miaw


Sedih dan kesal! Itulah perasaan yang dapat digambarkan apabila melihat video usaha menyelamatkan komuniti kucing yang terkurung tanpa diberi makan dan minum di pusat jagaan haiwan, Petknode pada awal bulan Syawal yang lalu. Pemilik kucing-kucing tersebut yang rata-ratanya beragama Islam membuat keputusan untuk menghantar kucing kesayangan mereka ke pusat penjagaan itu untuk membolehkan mereka beraya di kampung. Tapi yang menjadi masalahnya, owner Petknode pun nak beraya juga dan gagal mendapatkan pekerja-pekerja untuk menjaga lebi h 300 kucing yang telah check in pada masa itu. Tragedi keriau si miaw ini menimbulkan kemarahan bukan sahaja kepada pemilik-pemilik 300 kucing itu, atau pemilik-pemilik kucing yang lain, malah semua yang berperikemanusiaan rasa belas dan ihsan terhadap apa yang berlaku. Kalau Catwoman tau, dia pun rasa belas jugak - rasa nak belasah owner Petknode yang cuai itu.


Apabila mengetahui berita ini, Dato’ terus teringatkan ibu Dato’ di kampung. Mak sememangnya pemilik kucing tegar. Sehingga dibinanya Zoo Kucing di rumah untuk memelihara kucing-kucingnya itu. Dato’ exaggerate je Zoo Kucing tu, tapi yang penting dibinanya sangkar bagi penginapan kucing. Bila time makan, dengan hanya memanggil nama kucing-kucing tu, terus kucing-kucing tu datang mai rapat mai rapat menjamu selera. Ibarat macam duduk asrama penuh, cuma yang bezanya dengan budak-budak asrama, kucing-kucing itu terus makan tanpa mempersoalkan menu yang dihidangkan walaupun menu yang sama hari-hari.
ZOO KUCING - DILARANG MEMBERI MAKANAN SEGERA
ZOO KUCING - MASUK PERCUMA, KELUAR BERSAMA

Setiap kali pulang ke kampung, Dato’ memang tak hiraukan untuk bertanya khabar akan kucing-kucing itu. Telefon dan sms jauh sekali. Ini disebabkan Dato’ memang dari dulu lagi allergic terhadap kucing. Memang Dato’ tak boleh layan. Kalau setakat Alleycat, Cat Faris, Cat Stevan ke atau Catriona Ross ke, tu boleh Dato’ layan lagi. Even kalau Cattijah Tan pun Dato’ boleh. Tapi kalau Cat Kucing tu, Dato’ memang tak berminat.

“Syuuuh… Syuuuh!!! Keluar… Keluarlah!!”

Itulah yang mampu Dato’ lakukan bila kucing masuk ke dalam rumah. Nak pegang dan angkat kucing bawak keluar, memang Dato’ tak berani. Paling berani pun satu jenis kucing je yang  Dato’ pernah sentuh, iaitu kucing tidur (durian). Hah gitu. Mungkin kerana Dato’ risau akan kuku kucing tu. Buatnya dicakarnya Dato’ masa pegang, tak ke naya. Untuk rekod, Dato’ pernah kena cakar binatang pada waktu malam, lagi besar dari kucing iaitu harimau. Cakar Harimau. Hah gitu.


Yang ini betul. Selain dari kucing, dulu Dato’ pernah fobia dengan ayam. Sebabnya Dato’ pernah kena patuk bertubi-tubi dengan seekor ayam yang seakan ayam betina masa kecik-kecik. Adalah dalam seminggu dua Dato’ terlantar, bukan sebab cedera parah, tapi letih mogok lapar tak makan ayam.


Kemudian teringat yang Dato’ juga fobia kepada ikan, kerana pada satu waktu makan tengah hari, Dato’ tercekik tulang ikan. Abah Dato’ yang kelihatan cemas menyuruh Dato’ menelan gumpalan nasi yang Abah sendiri sediakan. Namun petua itu tidak menjadi kerana nasi itu dikunyah, bukan ditelan. Bertahun-tahun jugaklah Dato’ tak makan ikan sehinggalah dah masuk alam pekerjaan, Dato’ mansuhkan sendiri Akta Keselamatan Dalam Tekak. Selepas dari itu Dato’ makan ikan yang tulangnya besar-besar seperti ikan pari, ikan siakap kerana tak mahu peristiwa silam berulang. Alasan aje tu, padahal malas nak asingkan isi dari tulang.


 
Berbalik kepada hal kucing, tragedi di Petknode menyedarkan Dato’ dan membuatkan Dato’ mula sayang kepada haiwan bernama kucing. Dato’ mula teringat akan perawi hadis, Abu Hurairah yang digelar Bapa Kucing, kerana sifat penyayangnya terhadap kucing yang tidak berbelah bagi. Juga kisah seorang wanita masuk neraka disebabkan seekor kucing yang diikatnya dengan tidak memberinya makan mahupun membebaskannya untuk mencari makan.


“Miawww… Miawww!! Mari… Mari Sayang!”


Itulah yang mampu Dato’ lakukan sekarang bila ternampak kucing terutamanya semasa Dato’ sedang menjamu selera di gerai. Nak pegang, masih lagi takut. Pantang nampak kucing, mesti Dato’ panggil untuk memberi makan kepada si comel itu. Setelah isi ikan habis dimakan, tulangnya pula diagihkan kepada kucing itu. Dato’ pula dah berani dan rajin makan ikan yang bertulang banyak. Kini si comel kucing dan diriku saling melengkapi.


Satu hari, sedang Dato’ menjamu si comel makan di gerai, tiba-tiba terdengar bunyi seakan-akan miaw yang bunyinya tak pernah Dato’ dengar sebelum ini. Mungkin komuniti kucing yang baru.


“Mawww… Mawww! Mari… Mari Abang!


“Mawww… Mawww beli ka Abang? Ini jam Omega original dari kilang punya”


Ceh, ini bukan kucing aku. Ini nak kencing aku! Syuuuh!… Syuuuh!

 
http://www.gurunsakura.blogspot.com/

Monday, September 19, 2011

Eksklusif: Rakaman CCTV Berwarna Korean Look Di Apartment Berdekatan Ampang


Eksklusif! Hanya di Gurun Sakura. Jangan tukar siaran blog anda. Pada episod kali ini kita akan saksikan sebuah rakaman curi dari CCTV Apartment yang lokasinya terletak berhampiran dengan kawasan Ampang, Kuala Lumpur.  Apa yang menariknya? Imej yang dirakam dari CCTV tersebut  dikatakan seolah-olah mirip actor Korea kerana wajahnya yang Korean Look. Apa yang pastinya rakaman CCTV itu berwarna dan bukan mengunakan rakaman dari spycam atau kamera pengintipan yang mengunakan night vision mode.

Oleh itu dapat kita simpulkan di sini bahawa rakaman imej ini adalah 100% tulen dan dapat juga kita katakan confirm 99.9% bahawa pelaku yang dilihat di dalam rakaman itu sah Korean Look, kerana imejnya jelas dan nyata. Namun yang menjadi tanda tanya kita, apa si pelaku, yang mirip actor drama Korea itu buat di dalam Apartment itu? Segalanya akan terjawab sebentar sahaja lagi.

Sebelum Dato’ upload imej CCTV tersebut, pertama sekali cuba perhatikan Imej Satu di bawah ini;

IMEJ SATU

Imej Satu di atas adalah petikan dari drama Korea yang popular iaitu Boys Over Flowers. Di dalam satu scene drama itu, Jan Di telah diculik, dan Ji Hoon (lakonan pelakon Kim Hyun Joong-seperti dalam Imej Satu) telah membuat panggilan telefon kepada Jun Pyo. Kim Hyun Joong juga merupakan salah seorang penyanyi kumpulan pop Korea yang popular iaitu SS501.

Tahukah anda berapakah harga helmet yang dipakai oleh pelakon Kim Hyun Joong itu? Dikhabarkan harganya sebanyak 15 million KRW. Canggih tak? Canggihnya helmet ini. Sebab itulah dikatakan dalam drama itu, Ji Hoon boleh membuat panggilan telefon walaupun dengan memakai helmet. – Sumber: www.koreanclicks.com

Baiklah, perenggan seterusnya ini Dato’  senaraikan beberapa fakta tentang wajah orang Korea atau Korean Look supaya apabila Dato’ tunjukkan gambar CCTV itu, maka dapatlah kita membuat perbandingan.

Ciri-ciri Korean Looks;
1. Orang Korea memiliki wajah yang panjang dan memiliki mata kecil dengan kelopak mata tunggal. Mata-Mata yang bermisai panjang tak masuk dalam kategori ini.
2. Mata orang Korea pada asalnya memang sepet. Ini kerana di sana ada musim sejuk, jadi bermata kecil satu kelebihan kerana jika mata mereka besar, maka mata mereka akan menjadi kering pada musim sejuk. Agaknya lah.

3. Mata orang Korea yang sebegitu, mudah untuk menghasilkan air mata, sama ada air mata kedukaan atau air mata kegembiraan. Mungkin kerana itu, filem dan drama mereka kaya dengan air mata dan mata air. Hah gitu.

4. Mata wang di Korea Selatan ialah Won.


Sekarang tibalah masa untuk Dato dedahkan rakaman CCTV imej Korean Look yang berjaya ditangkap di sebuah Apartment di sini. Perhatikan Imej Dua berikut;
 

IMEJ DUA


Inilah imej Korean Look, mirip actor Korea yang dimaksudkan. Chaiiittt! Rupa-rupanya imej Dato’ Shah yang dirakam curi. Sungguh kotor taktik politik mereka. Tidak cukup dengan konspirasi  yang ada, mahu ditambah dengan  fitnah yang baru. Sebenarnya begini ceritanya. Biar Dato’ jelaskan agar rakyat tahu hal sebenar. Jangan terperangkan dengan permainan kotor mereka.

Yang sebenarnya, visor helmet Dato’ (atau perisai muka di helmet) tertanggal tempoh hari akibat jatuh ke lantai. Jadi bila Dato’ menunggang motor tu, terpaksa Dato’ kecikkan sedikit mata tu, supaya tak kena segala jenis habuk, debu, jerebu, dan hujan.  Itu yang nampak macam Korean Look tu. Hah gitu. Nampak tak? Nampak tak permainan dia?

Jadi untuk mengelakkan fitnah jijik ini berterusan berlaku, Dato’ telah membeli helmet yang baru jenama "Y", setelah seminggu menunggang motorsikal dengan gaya Korean Look. Perhatikan Imej Tiga selepas membeli helmet baru, yang berjaya juga dirakam dengan CCTV di Apartment yang sama.
IMEJ TIGA

Tahukah anda berapakah harga helmet yang dipakai oleh Dato’ itu? Harga asal RM100, dapat kurang RM5. Murah tak? Murahnya helmet ini. Diharap dengan adanya helmet baru ini, mereka dapatlah menghentikan dakwaan yang Dato’ ni Korean Look.

Tidak ada siapa pun yang dapat memahami, betapa tak terkata letihnya apabila sewenang-wenangnya dikaitkan dengan Kim Hyun Joong. Eh tapi bila dah pakai helmet baru tu, masih ketara lagilah. Gambar dengan helmet baru tu, sama pulak dengan Imej Satu di atas. Ah lantaklah diaorang nak kata apa, Korean Look, pun Korean Look lah!

http://gurunsakura.blogspot.com

Sunday, September 11, 2011

Gelinya Mat!


Ustaz Harun Lucah
Wanita Kerjakan Anu Pakwenya
Restoran Berahi
Tragedi Tangkap basah
Aksi Bola Keranjang Membawa ke Ranjang
Pesta Buih Liar
Makan Lemang Sebelum Rogol
Website Terlampau
Video Klip Aksi Ustazah



Pernahkah anda membaca highlight tajuk-tajuk berita di atas di dada-dada akhbar? Pastinya anda akan dapat menemui species berita tersebut hanya pada akhbar tabloid yang kompak atau orang gelarkan surat khabar nyamuk.

Ciri-ciri surat khabar jenis ini adalah tajuk dia gempak dan berbaur double meaning dan lucah seperti petikan tajuk di atas, dan cerita selanjutnya disisipkan pada muka surat sebelah. Kalau dahulu kala sisipan beritanya ada di muka 2, tetapi lama kelamaan sisipannya agak terkebelakang, ada yang di muka 4, ada yang di muka 6.


Mungkin ini strategi pemasaran, bila pembaca nampak tajuk berita yang gempak dan menggiurkan, pembaca terpaksa membeli. Ini kerana untuk mengetahui berita selanjutnya kena selak banyak muka surat. Tak sempat kita nak sampai muka surat 2, sempatlah penjual menjegilkan biji mata dia tanda amaran no free reading.


Apakah perasaan anda bila membaca tajuk berita seperti di atas tadi? Geli tak? Geli kan? Walaupun berita itu benar, tetapi kadang-kadang tu, agak keterlaluan dan semestinya kita terfikir perlukah disiarkan berita ini? Timbul pula persoalan inikah yang dinamakan berita?


Tidak dapat tidak, sudah pastinya selepas mendapat tahu berita itu, orang akan mula google video clip ustazah, orang akan mula surf internet cari website terlampau, dan orang akan mula beli Garmin, nak GPS di mana lokasi Pesta Buih dan Restoran Berahi. Kepada yang save bajet tu, mungkin mereka akan menggunakan GPS yang lain - Global People Survey iaitu tanya orang tepi jalan. Hah gitu.


Satu pagi yang hening, Dato' tiba-tiba pening membaca sebuah akhbar yang sangat popular. Ada satu berita ini yang menarik perhatian Dato'. Namun berita ini tidak berkaitan dengan kisah lucah atau seks, tetapi berita ini berkaitan dengan IT/Game. Cuba lihat berita tersebut di bawah ini;


Anda nampak tak apa yang tak kena dengar berita tersebut? Puas berhari-hari Dato' fikirkan dan baca berulang kali, tetapi masih tidak faham kaitannya tajuk berita dengan permainan game bola itu.

Yang paling hampir Dato' boleh kaitkan ialah Rasa Lucu (Geli Ketiak) ketika bermain permainan Go! GoI Soccer itu. Tak logik pulak kan. Tapi apa pun memang tidak manis tajuk berita ini. Geli tak?

Walaubagaimanapun Dato' lebih rela membaca berita-berita jenis ini daripada membaca berita politik mutakhir ini. Sekejap pasal Mat ini, sekajap pasal Mat itu. Yang itu lagi Geli, Mat!


http://gurunsakura.blogspot.com

Saturday, September 10, 2011

Cerpapen: Edisi Delivery

Entri kali ini Dato’ buatkan khas untuk pembaca-pembaca yang tak suka baca blog Dato’ yang mereka dakwa panjang berjela. Cerpapen adalah singkatan kepada "Cerita Paling Pendek".

Episod permulaan Cerpapen ini adalah berjudul "Delivery". Semoga terhibur dan terus menyokong blog ini. Kalau suka beritahu friend dan follow blog, dan kalau tak suka pula, sila beritahu Dato’, jangan unfriend pulak, hah gitu.


 
"Assalammualaikum! Anybody home?"

Jamil Abdullah berdiri kaku di hadapan rumah bujang yang didiami oleh rakan baiknya, Nasri. Kebiasaannya pada hujung minggu mereka bersama untuk lepak-lepak dan minum-minum, menonton bola EPL, update Facebook, tengok youtube dan lain-lain aktiviti yang difikir sesuai.

Setelah Nasri menjawab salam, dia mempersilakan Jamil masuk ke rumah. Pada masa itu Nasri yang baru bangkit dari sofa kelihatan sugul, mungkin kerana baru bangun dari lena yang singkat atau dalam bahasa mudah, baru habis take a nap.

"Masuklah Jamil, maaflah rumah bersepah. Maklumlah rumah bujang", kata Nasri sambil mengemas-ngemas bantal sofa.

"It's ok Nasri. Aku paham. Aku tahulah sebab aku kan tinggal sama kat sini dengan kau. Bantal tu pun aku yang punya."

Mereka pun buat hal masing-masing. Sekonyong-konyong kedengaran perut Jamil berbunyi. Namun bunyi itu hanya dapat didengar oleh Jamil sendiri kerana Nasri sedang sibuk mendengar muzik di Ipod Nano yang baru dikirim oleh ibunya di kampung.

Sebenarnya Ipod Nasri tertinggal di kampung masa balik kampung tempoh hari. Kebetulan kampung Nasri berdekatan dengan Jamil. Mak Nasri mengirimkan Ipod kepada Jamil yang baru sahaja pulang dari kampung kerana bercuti panjang.

Seraya, Jamil mengajak Nasri keluar makan dan lepak-lepak di restoran yang berhampiran dengan rumah mereka. Nasri enggan dan tidak bersetuju, lalu berkata;

"Tak payahlah keluar makan. Aku dah suruh kawan aku belikan. Kejap lagi dia sampailah. Kalau kau nak suruh dia lepak dengan kita pun boleh. Aku dah orderkan kau nasi paprik. Kau kan suka makan paprik dengan papdom."

"Ala bro, aku baru je makan nasi paprik dengan awek aku tadi. Aku teringin nak makan roti bom pulak ni" ujar Jamil dengan penuh demanding.

"Takde hal lah bro. Jap ye" balas Nasri sambil menelefon rakannya itu.

"Hallo, nasi paprik cancel. Boleh tukar roti bom?"
 
"Ok bro settle! Bro, aku baru je pasang wifi internet. Anytime je lu boleh layan"

Jamil kemudian membuka laptopnya untuk melayari internet. Dia kemudian bertanyakan Nasri akan password untuk wifi internet itu.

"Ooo password ye. Jap ye", balas Nasri sambil menelefon rakannya.


"Hallo, password wifi apa? Ah.. ok... ok..."

Setelah log in dengan jayanya, Jamil kemudian mengupdate facebooknya yang telah lama tidak diupdate selama 2 jam kerana dalam bas perjalanan ke Kuala Lumpur tiada perkhidmatan wifi. Tiba-tiba dia merasa tidak selesa dengan keadaan meja yang melekit-lekit. Dia mengajukan rasa lekit itu kepada Jamil.

"Ooo lekit ye. Jap ye", balas Jamil sambil menelefon rakannya sekali lagi.
 
"Hallo, lamanya! Diaorang dah siap masak ke belum? Ah jangan lupa tuala lap meja sekali ye"

'Finally, safely arrived at Kuala Lumpur. Menanti kehadiran roti bom. Lapau!' Setelah status diupdate di facebook, Jamil mengajak Nasri untuk menonton bola.

"Ooo EPL ye. Jap ye", balas Nasri sambil menelefon rakannya semula.

"Hallo, MU lawan Bolton channel berapa? Ah... ok... ok...

Ah ni Jamil, kau nak dal ke kari, kawan aku tanya ni?

Ah dal... dal ye. Thanks bro!"

Setelah 15 minit berlalu...

"As Selam Mualaikom! Yenibedi home?


"Ah masuk... masuk. Jamil, inilah kawan aku, Mubarak!
 
"Eh, ini pekerja kedai Mamak kat rumah kita!", reaksi Jamil terkejut.

Setelah mamak itu menghantar makanan yang dipesan, mengelap meja makan mereka dan menghidangkan sekali makanan,  Nasri memanggil Mubarak.

"Boss, kira!"
 
"Neee iskali ka asing ka?"
 
"Asing...asing!", jawab Nasri dengan pantas dan yakin.


"Boss, tisu ada?"


"Ada...ada..."

Setelah mereka membayar dan dipulangkan baki, Mubarak berlalu. Jamil yang masih terpinga-pinga bertanyakan kepada Nasri;

"Apa artinya semua ini? Nak makan kat rumah, kau order mamak, nak hidangkan makanan, nak lap meja kau suruh mamak. Password wifi, channel bola pun kau tanya mamak. Apsal kita tak pergi je kat kedai mamak terus?

"Sorrylah bro, sekarang, aku dah tak beranilah nak makan kat luar. Makan kat rumah aku rasa lagi selamat. Perompak sekarang ni dah macam Komunis!", jerit Nasri bersemangat.

"Aduh, apsal kau tak bawak sekali mamak- mamak tu tinggal sekali kat rumah ni, kan senang! Hah gitu!", balas Jamil dengan sinis.



Pengajaran Cerpapen: Kemerdekaan tidak akan menjanjikan keamanan yang mutlak, selagi minda dan akhlak kita tidak merdeka.

Sekian.


@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
Sumber Cerpapen:

SHAH ALAM: Sebuah lagi restoran India Muslim atau mamak dirompak pada awal pagi semalam yang dipercayai dilakukan kumpulan sama dalam kejadian pada 28 Ogos lalu.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi semalam, pemilik restoran di Seksyen 24, di sini, Ashraf Ali, 49, berkata, rompakan berlaku terlalu pantas kira-kira dua minit apabila tiga lelaki termasuk bersenjatakan parang meluru masuk ke restorannya.

Menurutnya, seorang daripada suspek itu menetak peti sejuk berisi ais krim menggunakan parang untuk menakutkan pelanggan dan pekerjanya, manakala rakan suspek merosakkan talian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di suis utama.

“Kejadian itu menyebabkan 10 pekerja serta 10 pelanggan lari menyelamatkan diri ke pintu belakang.

“Perompak mengambil satu komputer riba dan telefon yang ditinggalkan pelanggan. Mesin wang di kaunter pembayaran juga dirampas kumpulan perompak itu,” katanya.

Monday, September 5, 2011

Raya Itu Merdeka: Oppss... Sikapnya



"Tanda berakhirnya Ramadan, dan bermulanya Syawal ialah apabila anak baju sudah kelihatan".


Raya itu Merdeka. Oppss... Sikapnya. Inilah realiti yang berlaku pada masa kini. Sesetengah orang menganggap Tuhan hanya ada dan melihat kita pada bulan Ramadan, atau pada bulan puasa. Masa itu semua orang nak beramal Salleh, semua nak I follow ke arah kebaikan. Yang takde tudung, masa Ramadan dia bertudung Yuna. Sebelum bulan puasa dia sanggup ke Yunam, repair rambut, tujuannya untuk tontonan umum.

Masa bulan Ramadan
 
Kalau dulu sebelum puasa, dia kaki gurau, masa bulan puasa, elok aje sikap dia, jadi kaki surau. Sebelum Ramadan, dia memang kuat merokok, tapi bila bulan Ramadan tiba, dia boleh berhenti merokok, terus dia jadi kuat rukuk dalam sembahyang. Tengok tu. Oppss... sikapnya.

Namun apa yang berlaku apabila Syawal menjelang? Dia menjerit... Merdeka! Merdeka! Merdeka! Tudung dibaling ke langit ibarat graduan yang meraikan hari konvokesyen walaupun belum merdeka dari PTPTN. Rokok terus dihisap, rukuk mula terabai walaupun dia tahu dia bakal dihisab. Masa bulan Ramadan, dia siap conteng kat dinding surau, "Shah wuz here, see you next year". Hah gitu. Surau dan masjid hanyalah sekadar tempat perlancongan selama sebulan untuk dilawati sesekali. Oppss... begitulah sikapnya. 


Sikap dan amalan baik hanya bila tiba bulan Ramadan. Lepas Ramadan, bila Syawal tiba, itulah jadinya, anak baju dah mula kelihatan. Selepas raya entah bagaimana pula statistik oppss sikapnya. Entah berapa banyak kemalangan jiwa dan minda dicatatkan. Berapa banyak yang dressing maut? Berapa pula yang tercedera ringan ringan? Hah gitu.



Masa raya hari tu, Dato’ sempat pergi ke bandar menuju ke bazar pakaian untuk membeli belah sikit. Elok saja keluar dari kedai tu, mata Dato’ termasuk ekornya sekali terpandang perempuan-perempuan yang berpakaian HD - menjolok mata, terang dan nyata. Itu yang terkeluar ayat perenggan pertama tadi. Dato’ pun jadi Astro Beyond, Dato’ pause dan rewind, kemudian “Kita Rakam Aje”.


Yang peliknya dia pandang Dato’ semacam bila Dato’ melemparkan senyuman manja kat dia sambil Dato' melambaikan tangan salam perkenalan. Terus dia fast forward lari macam nampak Acidman. Dah puluhan tahun Merdeka, tapi pakaian dia masih dijajah.

Masa Raya dan Merdeka



Dato’ kemudian ke kedai CD/DVD. Tauke Cina kat kedai tu, bila nampak Dato’ terus dia bersuara "Allo boss apa mau? Sorilah boss, itu DVD Mat Sabu tarak jual sini, tapi aaa, itu DVD Bukit Kepong ada. Lu mesti angkat, manyak sedihnya pun". Dato’ menjadi hairan, apahal dia offer Bukit Kepong pulak ni. "I mau CD lagu Korea lah, mana dia? Itu group perempuan yang cute cute punya. Itu kalau dia dance aaa, kita punya mata tak boleh kelip woo"

Tauke tu kemudian memimpin Dato’ ke bahagian CD Korea. "Aiyya, lu ini macam pun ada tengok ka? Manyak susah mau percaya". Ceh, Ada pulak dia kata macam tu. Dato’ ni walaupun muka Bhaiya, tapi hati Korea. Hah gitu. Sebenarnya Dato’ nak check tajuk lagu kumpulan Girls Generation-SNSD, balik nanti boleh download.  


Takpe, dia jajah kita dengan K-Pop, kita jajah dia balik dengan M-Pop. Tapi ada ke orang Korea sana nak dengar lagu kumpulan Gula Gula dari Malaysia?, ada ke perempuan-perempuan Korea sana jadi histeria bila tengok persembahan kumpulan 24:7 dari Malaysia?



Dato’ pun beredar ke tempat letak kereta untuk pulang ke rumah. Dato’  melabuhkan punggung ke dalam kereta. Kereta mahu diundur, side mirror dipandang. "Alamak!". Segala persoalan yang tadi terjawab kini. Patutlah. Rupa-rupanya lepas cuba pakai dan bayar, Dato’ lupa nak tanggalkan dari kepala, kopiah putih yang Dato' beli kat bazar tadi!


Oppss...



http://gurunsakura.blogspot.com

Thursday, August 25, 2011

Iklan Raya Gurun Sakura 2011



PESANAN PENAJA: JALAN CERITA DAN DIALOG IKLAN INI ADALAH BERDASARKAN IMAGINASI DATO' SHAH


Aku mempunyai seorang Abah yang...


 
Hensem


Setiap kali bila kami berjalan bersama, situasi ini pasti berlaku...


"Ini adik kau yang mana satu ni?"


"Hehe... Aku tahulah aku nampak muda”

“Ini anak aku lah!"

Namun Abah tidak pernah bangga diri


"Abah rasa kau kena diet sikit ni.
Perut dah boroi, muka nampak tua"

Aku seperti biasa sering rajuk diri


Namun Abah tidak putus-putus memberi dorongan kepadaku untuk menjadi lebih baik daripadanya



Sebelum aku sampai ke menara gading…

 
"Belajar rajin-rajin, Bahasa Inggeris tu kena mahirkan lebih dari Abah. Abah nak kau jadi accountant yang lebih berjaya dari Abah"

 
"Abah tu accountant ke, selalu balik pukul 6 petang. Accountant kan selalu balik lambat"

"Abah buat kira-kira kat pejabat.
Abah balik pukul 6, jadi abah account 6 (sick).
Akaun tak balance pun, dah boleh balik.
Nak jadi accountant yang cemerlang
kena balik lewat sampai pukul 10 malam,
barulah account 10 (ten) - accountant.
Sebab tu orang panggil accountant. Hah gitu"


Kami sering bersatu dalam sukan terutamanya bolasepak


"Ha cepat… cepat…!, Malaysia lawan Arab Saudi Piala Dunia Kelayakan, nak start ni..."

"Goooaaaaaallllllllllllllllll"


"Wow! Itu dia, satu rembatan gol yang cantik dari Arab Saudi. Tahniah Arab Saudi!"


"Abah, Hasbullah Awang ni bukan orang Malaysia ke? Happy je"


"Dia hanya buat kerja dia, jangan kacau!"


Tetapi kami sering bertelagah dalam isu politik



 
"Abah… Abah… tengok video reformasi ni, masa demo, FRU pukul orang ramai. Zalim. Pastu tengok ni, pemimpin tu lebam biji mata dia kena pukul polis. Mahazalim!"


"Orang yang buat jahat memang patut dapat macam tu"


 
Aku seperti biasa rajuk hati


Abah pandai memujuk
Satu hari dia telah membelikanku sebuah buku



"Ini Abah belikan buku accounting ni. Harap-harap kau boleh jadi accountant nanti.


Aku masih lagi ingat buku yang Abah beli khas untuk aku




 
"Accountability? Lainlah... Abah, ini bukan..."


"Kenapa? Ini buku accounting kan?"


Untuk tidak mengecilkan hatinya aku menerima buku itu dan menyimpannya


"Ok... Terima kasih... Hmmm..."


Masa berlalu begitu pantas dan aku telah memasuki alam pekerjaan


Untuk menjadi accountant yang cemerlang,
aku sentiasa sibuk dan sering pulang ke rumah selepas pukul 10 malam
Aku hanya buat kerja aku. Jangan kacau!


 
"Abah, sorry ye, orang tengah sibuk ni. Nanti orang call abah balik, atau abah sms aje tinggalkan pesanan"


Aku menjadi begitu sibuk sehingga tiada masa untuk menelefon, apatah lagi memanggilnya, Abah

Satu malam, setelah aku pulang dari office aku mendapat khabar yang Abah di kampung telah meninggal dunia akibat sakit misteri

Abah meninggal dunia tanpa aku disisinya


Barulah kusedar bahawa Abah sentiasa menggalakkan aku berjaya di dalam career, tetapi dalam masa yang sama, aku harus ada kebertanggungjawaban (accountability) terhadap orang-orang di sekelilingku termasuk ibu bapa dan keluarga


Kini aku mempunyai cahaya mata

Dan sejak dari itu, setiap masa aku akan pastikan yang mereka sering ada rasa tanggungjawab terhadapku dengan memastikan mereka memanggilku selalu


"It’s Barney!"


 
"Bukan Barney sayang, ini Daddy!"


"Ok, tenkiu Barney!"



Betul kata Abah
Mulai sekarang aku harus berdiet dan menguruskan badan supaya sentiasa kelihatan muda



Kini sudah 3 tahun Abah meninggalkanku akibat sakit misteri

Aku hairan Abah bukan orang yang buat jahat, dia tak patut dapat macam tu

Tetapi aku redha kerana Allah menganggap dia insan yang cemerlang dan lebih berjaya, lalu mengambilnya dari kami ketika dia hanya seusia kemerdekaan negara kita  


Abah meninggalkan kami dengan kenangan-kenangan indah bersamanya kecuali telefon

Sehingga kini, sesiapa pun tidak mengetahui di mana Abah menyimpan handphone nya

Seperti kebiasaan, setiap kali Aidilfitri menjelang, aku akan mendial nombornya...


“Abang… Abang telefon siapa tu? Sudah sudahlah tu bang!”

“Ini abah saya lah”

"Harap maaf. Nombor yang anda dial sedang sibuk, sila tinggalkan pesanan selepas nada beep..."

"Selamat Hari Raya Abah. Ampunkan dosa-dosaku..."


  
www.gurunsakura.blogspot.com - Dato’ Shah


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Thursday, August 18, 2011

Aku dan Pensil Kayu

As salam buat semua pembaca blog yang setia menanti buah tangan terbaru Dato’’ Shah walaupun berbulan-bulan lamanya. Hah gitu. Ala, sorrylah Yunk. Jangan lempunk. Nanti Arbunk terajunk kunk. Lama bebenor tak jumpa. Rindu rasanya. Diam tak diam dah masuk hari ke 18 umat Islam berpuasa. Termasuklah kita kan. Di kesempatan ini Dato’ ingin mengucapkan Salam Ramadan dan selamat berpuasa penuh kepada semua. Bila dah bulan puasa ni, yang paling glamer ialah si Yusof Taiyob tu. YUTA. Dah jadi monopoli dalam pengiklanan buah kurma ni. Lepas dia, dia, lepas dia, dia lagi. Takde ke yang nak compete dengan dia? Dato’ cadangkan Yusof Haslam pulak pasarkan kurma. Confirm boleh fight. Nama keluarannya YUHA. Kalau Yusof Taiyob dia guna suara perempuan dengan suara yang seksi nak promote kurma, “Yuuuhsoft Thaihyyooob…..”  Ahhhhh…. Tapi untuk YUHA, Dato’ cadangkan kita guna nama lelaki nak promote kurma, baru barkat. Bunyi dia macam ni, “YuuuuuuuuuuuuHaaaaaaaaaaaa….!!!!”. Hah gitu. Suara ala-ala riang gitu. Yelah sebab gembira nak buka puasa, makan kurma. Brand kurma pulak antaranya Kurma Maria, Kurma Mariana, Kurma Wati, Kurma Fazira, Kurma Aleeza. Tapi yang paling laris tau dak kurma apa? - Kurma Sol Sol Sol... Hah gitu. Jangan marah ye Datuk, sekadar cadangan nakal.

Karya terbaru Dato’ ini, Aku dan Pensil Kayu. Pssst.... Cuba control sikit suara tu, jangan kepit sangat, dah macam bunyi Nobita dah. Janganlah, ini tajuk serius ni. Dato’ ingin menceritakan apa yang Dato’ buat dengan pensil kayu sewaktu di alam persekolahan selain dari menenyeh jawapan MCQ masa peperiksaan.

Di dalam Aku dan Pensil Kayu ni, Dato’ ingin mengimbau kembali ke alam persekolahan, bila yang Dato start menulis dan bagaimana Dato’ dapat mengenal pasti bakat Dato’ dalam bidang penulisan. Bakat ke? Tak kisahlah, tapi Dato’ perasan gila yang Dato’ terror menulis masa sekolah menengah. Masa tu zaman di mana budak-budak sekolah dilambakkan dengan majalah-majalah komik seperti Gila-Gila, Ujang, Gelihati, Boom dan sebagainya. Masa tu Dato’ kerap baca Gila-Gila dan Ujang je. Yang lain memang jarang-jarang baca termasuklah majalah Dan Sebagainya tu memang tak pernah baca. Bermula dengan pensil kayu, career penulisan Dato bermula.

Jadi bila dah selalu baca majalah komik, timbul minat untuk menulis. Dalam hati kecil Dato’ berkata, "Aq bleh tulis dan wat lebey kelakar dari kartunis ittew!". "Laa... Itu jew kew yang dye bleh wat?" Biasalah budak sekolah, ayat dengan tulisan cam harun. Hah gitu. Dato’ pun check-check balik report card, boleh tahan jugak markah subjek Karangan BM Dato’. Kepujian tu, bukan senang cikgu nak beri pujian. Marka Dato’ pun tak pernah puji Dato’ sebab memang takde pun Marka masa tu. Ok pass. Kemudian Dato’ check balik markah subjek Pendidikan Seni Dato’ - Memualkan. Tak tahulah, kadang-kadang kita kena bersangka baik, husnu zhon. Law kana bainana? Mungkin cikgu typo error, anggaplah ianya memuaskan.

Memang Dato’ tak pandai melukis. Sampai sekarang kalau suruh Dato’ lukis, memang tak memuaskan. Kalau suruh Dato’ lukis tajuk "Pemandangan di Kampung Saya", camnilah jadinya.

Inilah yang the best Dato’ boleh bagi. Ariel TV pun ariel lama, padahal orang dah pakai Astro sekarang. Gambar burung dengan awan tu mesti kena ada nak bagi impression lebih. Pokok pun standard je jenis pokok tak bergoyang.

Ada satu masa, ketika interview salah satu Big Accounting Firm, time one of the assessment, dia suruh candidate lukis satu gambar binatang dan relatekannya dengan diri sendiri. Hah sudah. Dato' nak lukis orang lidi pun struggle, apatah lagi binatang. Memang tertekan masa tu. Dahlah first job lepas graduate. Lalu Dato’ pun perah otak dan inilah hasilnya.


Air manis tumpah, binatang mana yang datang? Semut! Semut pun binatang jugak kan? Semut rajin bekerja, bekerjasama, tak pernah putus asa dan sebagainya. Dan sebagainya tu sebab Dato’ lupa apa yang Dato’ goreng masa tu. Tapi alhamdulillah Dato’ berjaya dalam assessment tu dan layak ke assessment berikutnya. Nak kata kat sini, jangan rendah diri akan kelemahan diri. Fikirlah di luar kotak, guna otak, maka hasilnya bisa menggelegak.

Jadi, bagaimanakah Dato’ ingin merealisasikan impian Dato’ untuk menjadi kartunis pada zaman persekolahan itu? Kunci kata dia, fikir di luar kotak, guna otak! "Aq taw tulis jew, tk pandai lukis". Nah, akhirnya Dato’ bertekad untuk menghasilkan majalah komik tanpa wajah, hanya dialog sahaja.


Cover page
Dato’ namakan komik Dato’ sebagai "Hoi", dengan konsep majalah tiga saluran. Dikeluarkan pada bulan yang mulia iaitu pada 1 Ramadan 1416, dan akan diterbitkan pada setiap hari pertama bulan Islam. Tengok, masa tu iman tengah naik, alim gitu, sekarang alim kucing, kalau tanya 1416 tu tahun berapa masihi, memang kantoi. Dalam entry kali ini izinkan Dato’ ulas sedikit dari kulit ke kulit majalah Hoi ni dan masukkan sedikit isi kandungannya. Oh ya, masa tu Dato’ tak jual majalah Dato’, cuma kalau nak baca dikenakan 20 sen, seperti tertera dalam cover page tu.


COVER PAGE
Dua orang sedang berpantun memperkenalkan majalah lawak yang baru. Ala masa tu kan femes iklan susu dengan pantun inflasi sifar, "Kita minum dulu!". Di bawahnya pula ada ucapan sinis Selamat Berpuasa dan bukan Berpuas Makan.



MUKA DUA

Ada intisari rancangan. Kira macam index untuk 3 saluran. Ada saluran lawak, saluran bebas dan saluran box office. Saluran lawak dan bebas sama je cuma saluran lawak ada pelbagai jenis lawak, dan saluran bebas, tajuk dia je yang bebas. Saluran box office kira macam movie, cerita dia panjang sikit. Tapi semuanya masih sama konsep, takde gambar kartun sebab lukisanku memualkan.

Muka Sisipan - Barisan Kita
Muka Sisipan - Iklan

MUKA SISIPAN

Barisan Kita memaparkan senarai kartunis-kartunis. Hah gitu. Memang tak lah, kartunis dia semuanya Dato’. Hanya kartunis bayangan. Sebelahnya pula ada iklan. Biasalah sebelum tengok program TV mesti ada iklan, tapi iklan ni berbentuk komik juga. Sebelum ada ASTRO lagi, iklan ni umpama sawi dalam mee goreng. Mesti kena ada untuk menambah sedap.


Saluran Lawak - Cover Page

SALURAN LAWAK
Dalam sisipan ini ada variati jenis lawak - Lawak Pelajar, Lawak Adik Beradik, Lawak Keluarga, Lawak Doktor, Lawak Bas dan Lawak Pandai. Dato’ siarkan sikit antaranya di sini. Ala biasalah ini lawak tahun 90an, lawak budak-budak lagi.

Lawak Pelajar




Saluran Lawak - Lawak Adik Beradik
 
Saluran Lawak - Lawak Doktor
Saluran Lawak - Lawak Pandai


Saluran Lawak - Lawak Pandai
 
SALURAN BEBAS

Kat sini pun boleh tahan sengal juga lawaknya. Anda bacalah sendiri, tapi Dato’ suka watak Mat Pintar yang berjaya mengelak dirinya dari kena prank dengan kawan dia. Ada juga cerita pasal puasa di sini.

Saluran Bebas - Cover Page
Saluran Bebas - Polis Akademi 1

Saluran Bebas - Mat Pintar

Saluran Bebas - Tengok Wayang

Saluran Bebas - Tengok Wayang


SALURAN BOX OFFICE

Inilah tugas yang berat bagi Dato’ pada masa itu. Sebab kena buat cerita ala-ala movie, dahlah takde gambar, takde kartun, hanya dialog. Memang challenging. Tapi hasil dia tetap sengal. Takpelah, benda ni dah jadi sejarah pun. Objektif Dato masa tu satu je. Nak bagi orang enjoy membaca sambil mengunyah Pop Corn. Hah gitu. Bukan janji tapi pasti. Ada 3 movie di sini, tapi Dato’ suka untuk attach movie yang ini, tajuk dia Misteri Sekolah Kebangsaan Datuk Taib.

Saluran Box Office - Cover Page

Saluran Box Office - Movie Poster

Saluran Box Office - Movie Pt 1

Saluran Box Office - Movie Pt 2



Saluran Box Office - Movie Pt 3




Saluran Box Office - Movie Pt 4




Saluran Box Office - Movie Pt 5

MUKA SEBELUM AKHIR HOI
Ada iklan lagi. Kisah curi makan masa puasa. Padan muka! Layan aje.

Iklan Penutup

MUKA BELAKANG
Segmen senyum kambing - senyum ada makna. Inspired by Utusan Malaysia, tapi isinya masih kekal original. Insya Allah Dato’ akan selitkan kartun-kartun yang lain dalam entri-entri Dato’ yang akan datang.

Muka Belakang

Amacam? Boleh jual tak? Kalau 15 tahun lepas, nak baca 20 sen, mahu sekarang cecah RM2 nak baca je. Nak jual memang tak akan. Khazanah berharga ni. Ada satu lagi khazanah berharga Dato’ hilang, akan diceritakan dalam episod akan datang. Tapi hakikatnya pada masa itu Dato’ tak collect pun duit untuk dibaca. Dato’ tunjukkan majalah ni pun kat 2 orang kawan je. Sebabnya tiada keyakinan diri yang orang boleh terima karya sebegini - malu dan takut. Inilah penyakit yang Dato’ hadapi sampai sekarang sehinggalah melibatkan diri dalam penulisan blog. Dengan melihatkan follower yang ciput, bilangan pengunjung yang masuk, feedback/comment yang senantiasa sepi, ditambah pula dengan kritikan membunuh teman-teman, dan ada juga yang endah tak endah bila Dato’ begitu semangat mengumumkan ada entry baru, rajuk rasa ini ingin meneruskan langkah.

Namun apabila Dato’ terjumpa semula majalah Hoi ini, tersenyum Dato’ melihat kekentalan diriku menyiapkan satu majalah komik setebal 42 muka surat, di luar kotak fikiran di sebalik kelemahan ini.

Ternyata menulis bukan untuk popular rupanya. Menulis bukan untuk wang ringgit pastinya. Menulis hanya untuk satu kepuasan dan untuk menyampaikan mesej tersirat. Biarpun tidak mendapat kepujian dan sering dianggap memualkan, namun bagiku ianya memuaskan. Tak disangka, majalah Hoi itu merupakan komik pertamaku dan yang terakhir, mula terbit pada Ramadan 1416 dan ironinya diterbitkan semula pada Ramadan 1432 di blog ini. Inilah aku dan pensil kayu.

-www.gurunsakura.blogspot.com-
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...