Undilah...

Thursday, December 29, 2011

Tiket Bas

Balik kampung memang seronok. Sebelum balik kampung lagi seronok. Terbayang wajah-wajah kesayangan hamba. Satu-satu tersemat di kalbu termasuk bibik di kampung. Tapi yang tak seronoknya bila time nak beli tiket bas. Terseksa rasanya nak pergi Puduraya ibarat macam diheret ke Pudu Jail. Rasa tak seronok. Kat situlah kaki paw tengah standby mencari mangsa. Di situlah juga pelakon jalanan mula mencari skrip kononnya dompet hilang nak balik kampung, kemudian meminta simpati kita untuk menghulur wang. Jika kita tewas maka di situ juga money kita akan drop. Hah gitu.


Puduraya juga terkenal dengan ulat-ulat tiket yang menawarkan harga tiket yang sentiasa melebihi paras siling dan syiling. “Aaa Johor Bharu Johor Bharu sekarang!” Masa mula-mula sampai ke Puduraya, Dato’ tak tahu menahu pasal ulat-ulat ni. Bila lalu tepi ulat, boleh pulak Dato’ melayan ulat tiket itu sebab Dato’ pun masa tu ulat buku. Hah gitu.


“Eh tak… tak... Saya tak nak ke Johor Bharu. Saya balik Muar. Tiket dah beli!”.


Sesiapa yang ingin menaiki bas di Puduraya lebih baiklah beli tiket di kaunter. Tapi yang tak seronoknya kadang-kadang orang kaunter tu pulak buat muka ulat, tak senyum dan tak ramah. Kaki paw tadi tu lagi manis muka daripada orang jaga kaunter tiket.


Itulah kenangan masa lalu. Sekarang Puduraya dah tukar nama jadi Pudu Central. Dah selesa, tak panas dan tiada lagi sauna asap bas. Sejak berkahwin dan memilik kereta, bas merupakan pengangkutan yang kita buat choki choki aje masa memotong di lebuh raya. Namun hari ini Dato’ perlu membeli tiket untuk balik ke kampung berseorangan. Datin dan anak-anak telah selamat sampai ke kampung kerana ada urusan awal.


Sekarang dah canggih. Tak perlu pergi Pudu Central atau Jalan Duta nak beli tiket. Pergi sahaja ke stesen minyak Petronas (yang terpilih sahaja) anda dah boleh memiliki tiket bas (transnasional) tanpa perlu bertemu dengan kaki paw, pelakon mintak simpati dan ulat tiket.


Kelihatan seorang kakak yang berusia sedikit sedang menanti di kaunter di dalam Petronas itu.


“Kak, bagi saya tiket ke Kangar, Sabtu, 31 December 2011, malam”


“Wah awak sambut New Year dalam bas lah nanti yek. Patutnya… malam-malam New Year ni orang biasanya keluar nak sambut. Ini awak dalam bas pulak”


Eh… eh… eh… Ramah pulak tukang jaga kaunter sekarang ni. Kalau yang masam tu, masam. Kalau yang ramah, terlebih ramah pulak. Tiketnya mana? Dato’ pulak yang masam muka sekarang ni. Dan kakak tu terus membebel.


“Paling lewat yang ada tiket pukul 9.30 malam, boleh? Yang lain semua dah habis. Ramai jugak orang yang sambut New Year dalam bas ni yek”


“Err… kak saya tak kisah pun New Year... New Year ni… Tiket saya mana?”


“Oooo bagus. Ini mesti anak emak ni!”


Ada ke dia kata Dato’ ni anak emak. Anak emak di sini adalah ayat ringkas. Ayat yang tersembunyi ialah 'Anak Bujang Emak'. Hah gitu.


Seronok betul beli tiket zaman sekarang. Rasa macam nak beli tiket lagi. Ada siapa nak kirim?

Thursday, December 22, 2011

KL Bah


Banjir di Kajang: Jalan raya yang tenang jangan
disangka tiada buaya

Hari itu rakyat Malaysia dikejutkan dengan banjir kilat yang melanda pekan Kajang. Sebenarnya tak berapa nak terkejut pun dengan berita ini sebab kita mendapat tahu berita ini agak lambat. Ini disebabkan pada hari kejadian, media-media massa terutamanya TV sibuk memaparkan berita yang lebih penting iaitu liputan Perhimpunan Agung Umno. Hah gitu. Hari ini kita dapat berita pula Kuala Lumpur dilanda bah. Sebenarnya bukanlah hari ini, berita ini dah lama sebab Dato’ sibuk menyiarkan cerita yang lain pada hari kejadian.


Bukanlah perkara yang menghairankan apabila KL dilanda banjir kilat, namun suasana agak kalut apabila sebahagian daripada Jalan Tun Razak dan Kampung Baru terjejas dengan bencana alam ini. Kebetulan kejadian berlaku pada masa puncak, warga kota pulang dari pejabat dan jalan raya sesak luar biasa daripada kebiasaan.

KL Bah

Dato’ termenung jauh apabila mendapat tahu berita ini dari facebook. Jarang kita dengar kawasan berhampiran IJN, Perpustakaan Negara, Menara Celcom dilanda banjir. Paling nostalgia rasanya apabila mengenangkan yang Dato’ pernah pekena roti banjir di kedai mamak depan Menara Celcom tu.


Banjir ini sebenarnya bencana yang mencuit kita betapa sayangnya kita akan harta benda. Apabila melandanya bah, kita pakat bimbang akan keadaan kereta dan harta benda di dalam rumah. Banjir juga menyedarkan kita yang kita semua sebenarnya sama. Sebelum banjir kereta dan rumah melambangkan taraf seseorang. Selepas banjir, semua kereta sama taraf sebab masuk air. Hah gitu. Sebelum banjir dia ada Fairlady. Selepas banjir transform jadi Lady Gaga. Hanyut. Selepas banjir Mercedes jadi cikedis, BMW jadi Banyak Makan Wang, Camry dan Cherry hilang seri, Toyota dah nampak macam Kubota, pemilik Estima terkesima, model Myvi baru dah jadi Lagi Worst, Alphard dah jadi Lepat. Ferari jadi Feri. Semuanya lencun.


Bagaimana Dato’ boleh rasa sebegini? Sebab Dato’ pernah menjadi mangsa pada satu masa dulu. Banjir telah mencuit Dato’ supaya berhenti daripada berbangga memilik kereta baru, apabila kereta itu dimasuki air di basement parking, seperti yang diceritakan di sini Kongsi Oh Kongsi: Satu Rebiu.


Setiap kali mendengar berita pasal banjir, Dato’ jadi insaf. Mujur kereta itu masih lagi bernyawa lagi walaupun dia banyak makan wang masa nak repair. Masa beli kereta ini, Dato’ juga beli no. plat dalam RM200 lebih. Taklah mahal sangat. Nombor itu adalah nombor kelahiran jadi tak perlulah dipaparkan di sini.


Sebelum KL dilanda bah, Dato’ berkesempatan berkunjung ke utara, Perlis menghadiri kenduri perkahwinan. Jika di KL cuacanya hujan setiap hari, di Perlis pada masa itu agak tenang kerana cuacanya yang orang sana gelarkan sebagai Winter Wind. Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa itu membuatkan kita berasa agak sempoi. Berat rasanya untuk pulang ke kota nak menghadapi suasana basah dan becak.


Di dalam perjalanan pulang semasa di lebuhraya, kereta Dato’ ditahan oleh geng-geng Sarjan Misai. Dato’ memberhentikan kenderaan sambil memikirkan nasib. Ini boleh banyak makan wang besar ni. Wang kecik ada di saku tapi tidak boleh diurusniagakan.  Nasib Dato’ baik apabila Polis tersilap tahan.

“Jalan… jalan…! Nombor je sama… ”


Rupanya banyak juga kenderaan yang pakai nombor tahun kelahiran Dato’. Patutlah murah. Polis pun silap tahan. Bukan sekali berlaku. Ini kali kedua terjadi pada Dato’. Nampaknya budaya silap perkiraan semakin menjadi-jadi. Namun perkiraan Yang Maha Esa tidak pernah silap. Apabila diperintahkan berlakunya bah, pilihan di tangan kita sama ada untuk rebah atau terus bertabah.


Tuesday, December 20, 2011

Dik... Kira, Dik!

Selalu kita mendengar orang berkata bahawa akauntan terlalu berkira-kira. Memanglah akauntan ni kerjanya mengira, maksud Dato’ di sini ialah akauntan terlalu berkira. Benarkah begitu? Sebagai seorang akauntan, Dato’ memilih untuk bersetuju dengan kenyataan tersebut. Kerjaya seorang akauntan ini, selain daripada balik lewat, skop kerja mereka adalah untuk mengira dan merekod dengan tepat transaksi urusniaga syarikat atau organisasi. Tepat di sini termasuklah setiap sen yang dikira mesti direkodkan.


Di sini point yang membuatkan Dato’ terpaksa memilih untuk bersetuju yang akauntan ni terlalu berkira atau dalam bahasa mudah, kedekut. Mungkin disebabkan cara kerja seharian mempengaruhi sikap akauntan di luar pejabat menyebabkan setiap sen pun diambil kira. Misalan kalau anda ada berhutang dengan seorang akauntan, anda mungkin terpaksa membayar jumlah yang tepat akan ringgitnya dan sennya melainkan jika dihalalkan.


Skop kerja seorang akauntan juga meliputi menyediakan bajet untuk syarikat dan ini termasuk meminimakan perbelanjaan bajet sepanjang tahun. Jadi jika anda keluar makan dengan akauntan ke restoran fast food, contohnya ke Kentucky Fried Chicken (KFC), jangan terkejut kalau akauntan tu bertanya kepada anda, “Kupon Double Zinger ni boleh guna lagi tak?” Hah gitu.


Ini disebabkan sifat save bajet yang menebal pada akauntan terbawak-bawak hingga ke luar pejabat. Kita kena paham mengapa akauntan (tidak semua) bersifat berkira dan save bajet. Cuba bayangkan jika akauntan tersalah kira dan beza kesalahan seringgit tercatat di dalam laporan kewangan syarikat, dia tak boleh kata, “Mr. Chairman, ala seringgit je salah pun nak berkira”. Salah tetap salah. Kiraan mesti tepat.


Baik, itu akauntan. Bagimana pula dengan mathematician atau ahli matematik? Kalau kita kata akauntan berkira, adakah ahli matematik yang terlibat di dalam mencipta formula kiraan, juga berkira? Dato’ tak boleh nak komen sebab di luar kerjaya Dato’, tetapi Dato’ boleh berkongsi pengalaman semasa di universiti dulu bersama lecturer matematik.


Selepas selesai menjalankan ujian matematik, menanda kertas dan memberikan markah kepada student, lecturer matematik itu memulangkan kembali kertas mereka termasuklah kertas Dato’. Apa? Berapa markah Dato’ dapat? Hey, mana boleh cakap, Dato’ kan akauntan, akauntan kan berkira (tangan di bahu, mata ke atas).


Lecturer itu berkata, “Please check back your mark. If let say I have given you less, please come to me and claim back. But if you check and I have given you more, treat is as sadaqah”. Makna kata, lepas check balik kertas, kalau lecturer salah kira markah atau kita patut dapat lebih, jumpa dia dan tambah markah. Tapi kalau lecturer salah kira markah dan kita patut dapat kurang daripada yang dikira, simpan sahaja kertas tu, sebab lecturer tu kata anggaplah macam sedekah.


Jadi Dato’ rasa ahli matematik ni tak berkira kot, macam mulia je hati mereka ni. Maklumlah, mereka ni mencipta formula matematik, dan mereka tahu mana datangnya yang buruk, mana datangnya yang baik, dan mana formula “sin” dan mana “punca kuasa”. Hah gitu.


Hari Itu Dalam Sejarah

 
Tau tak, mamak kalau dia salah kira pun dia akan halal tau, paling tidak pun, dia pulang balik dengan gula-gula seposen. Hah gitu. Walaupun ada mamak yang terlebih kira sampai dua kali kira kat meja kita dan bagi kita bill, namun ini satu bonus untuk kita. Ambik dua bill tu, mana yang lebih kita sorok, mana yang kurang kita bayar. Contoh… contoh…


Restoran Melayu pun sama. Bila kita panggil, “Dik... kira dik!”, kadang-kadang tu dia tak kira pun. Punya baiknya pekedai bagi kita minum air suam free. Hah gitu. Tak berkira. Kadang-kadang tu punyalah baik, dia tak kira langsung makanan yang kita makan. Bila kita panggil, dia buat dek je. Ni pun berkira jugak. Berkira sangat nak layan customer. Sekian dimaklumkan.


Selepas membaca artikel dari The Malaysian Insider di atas ini, terus Dato’ teringatkan lecturer maths Dato’ di universiti itu. Dalam hati kecil Dato’, kalaulah lecturer Dato’ tu jadi juri, sudah pasti dia akan anggap anugerah lagu terbaik itu satu sedekah kepada Yuna, dan tak perlu dipulang balik.


Sekarang anda pasti dapat tahu mengapakah golongan akauntan ini terlalu berkira. Mereka ini mesti berkira. Sekiranya mereka tidak berkira sangat, begitulah hasil kiraannya, mereka akan salah kira!

Tuesday, December 6, 2011

Lima Soalan

1) Siapakah Tuhanmu?

2) Siapakah Nabimu?

3) Apakah Agamamu?

4) Siapakah Imammu?

5) Siapa Saudaramu?


Itulah sample lima soalan yang dianggap bocor sejak dulu lagi. Soalan-soalan ini adalah soalan yang bakal ditanya oleh dua malaikat semasa kita di alam kubur. Malah apabila adanya orang yang meninggal dunia, setelah mengiringi jenazah ke kubur, kita akan mengulangkaji soalan-soalan ini bersama imam iaitu semasa talqin dibacakan.

Namun sekuat mana pun kita menghafal jawapan kepada soalan-soalan ini, yang hanya akan menjawab hanyalah amalan-amalan kita setelah mulut kita terkunci rapat pada ketika itu. Kadang-kadang belum pun sempat kita ke kubur dan sebelum kita meninggal dunia, kita bakal ditanya soalan-soalan tersebut di dunia ini semasa hayat kita. Ini kira macam praktis lah. Hah gitu.

Baru-baru ini pada Perhimpunan Agung Umno 2011 atau lebih dikenali sebagai PAU, seorang perwakilan dari Kedah begitu lantang menanyakan soalan yang kelima kepada pemimpin-pemimpin tertinggi PAS di dalam perbahasan beliau.

“Siapa Saudaramu?” beliau mengajukan soalan ini kepada Presiden PAS dan Muryidul Amnya yang bersekutu dengan DAP, dengan sinis mengatakan adakah mereka akan menjawab Lim Kit Siang, Lim Guang Eng dan Karpal Singh, sebagai saudaranya.

Untungnya menjadi orang PAS, belum pun ke alam barzakh, dah dapat peluang praktis untuk menjawab soalan kubur. Hah gitu. Orang UMNO jangan kecil hati pula, malah sepatutnya merasa bangga sebab orang PAS yang mula-mula sekali bertanyakan antara lima soalan itu kepada mereka.

“Apakah Agamamu?” tanya pemimpin PAS kepada pemimpin atau orang UMNO satu ketika dulu. Adakah orang UMNO akan menjawab, “Islam Hadhari agamaku?”

“Siapa Saudaramu”? tanya pemimpin PAS lagi. Adakah orang UMNO akan menjawab, “Bumiputera saudaraku?”

Untung juga menjadi orang UMNO, belum pun dikebumikan, dah dapat peluang memikirkan apa perlu dijawabnya nanti dan amalan apa yang dapat menolong mereka di sana.

Sebenarnya Dato’ pun pernah ditanya juga salah satu daripada lima soalan di atas semasa di dunia lagi. Kejadian ini berlaku semasa Dato’ menghadiri interview selepas graduate dari universiti. Masa tu Dato’ belum mempunyai pekerjaan pertama, dan Dato’ ketika itu mendapat panggilan interview di salah satu institusi kewangan Islam. Lupa pulak apa nama dia.

Dalam banyak-banyak interview yang Dato’ pernah pergi, inilah interview yang paling tertekan dan tension ya amat. Panelnya ada tiga orang. Setiap butir kata kita dalam English, salah seorang daripada mereka akan catat sebijik-sebijik untuk mengenal pasti kesalahan grammar.

Kemudian, dia akan audit isi resume/CV kita iaitu interviewer itu check sama ada apa yang Dato’ tulis dalam resume tu sahih dan tulen. Makna kata jangan haraplah nak manipulate resume atau nak cooking cooking resume tu. Hah gitu. Interviewer tu lagi garang dan tegas dari juri Masterchef. Kalau cuba nak menambah-nambah ramuan dan rencah dalam resume itu, anda bakal kantoi! Barulah Dato’ tahu kenapa orang selalu kata, “Goreng aje kalau tak tau”. Sebab goreng sana sikit goreng sini sikit je dah boleh jadi juri. Sekian dimaklumkan.  

Interviewer itu terpandang satu character yang Dato’ tulis dalam resume itu – “I have been described as outgoing, friendly and I enjoy meeting people”

Tibalah masa untuk mereka test Dato’ sama ada Dato’ ni orangnya bersosial atau tidak. Lalu salah seorang daripada interviewer tersebut bertanya;

“Siapakah Imammu?”

Agak-agaklah der, seram kot kalau time interview, ada orang tanya macam tu. Tapi lebih kurang macam tulah soalan dia, cuma dia tanya, “Siapakah nama imam surau di kampung anda?” Hah sudah! Bukannya apa, bukannya Dato’ tak kenal imam kat surau tu, cuma orang selalu panggil dia dengan nama Haji Mat.

“Err… Haji Mohammad”, Dato’ menjawab. Mesti dia ingat Dato’ reka nama, padahal memang betul.

“Haji Mohammad? Sure? Hah…Bin apa…Bin apa?”.

Kan betul dia mesti ingat Dato’ goreng. Dato’ gagal menjawab tetapi Dato’ terangkan yang Dato’ kenal imam itu sebagai Haji Mat. Sepatutnya dengan mengenal Imam sebagai Haji Mat iaitu nama panggilan manja, itu menunjukkan yang Dato’ ni kenal rapat dengan dia, daripada kita hanya kenal imam hanya dengan nama penuh. Ala macam makcik, pakcik kita, mana kita tahu nama penuh dia, kita hanya kenal mereka sebagai mak su, pak teh, dan itu menunjukkan kita lagi rapat dengan mereka. Hah gitu.

Kepulangan Dato’ dari kota ke desa setelah selesai interview disambut dengan kritikan ibu.

“Apsal lah kau tak jawab je Haji Hassan Bin Ali ke, Haji Mahmud Bin Yahya ke Haji Ilyas Bin Sarbani ke”

Hamboi. Kemain. Patutlah masakan ibu sedap bertaraf masterchef!

Tak payah cerita, dah tahu dah apa keputusan interview itu. Terpikir juga, baru satu soalan daripada lima soalan di dunia, Dato’ gagal menjawab, bagaimana pula untuk menjawabnya di sana? Harap-harap selain daripada orang PAS dan orang UMNO, Dato’ juga beruntung kerana mendapat pengajaran daripada Lima Soalan. Semoga kita semua menjadi orang AMANU. Hah gitu.

Saturday, November 26, 2011

Isketambola

Satu Sistem Pesanan Ringkas (SMS) telah terbang dari benua Asia Tenggara ke Semenanjung Arab di tengah-tengah padang pasir. SMS itu dibuka dan dibaca. SMS ini diterima daripada Datin di Malaysia sementelah Dato’ pada masa itu sedang berada di Dubai menikmati aktiviti Dessert Safari. Dessert Safari ini adalah aktiviti melintasi padang pasir yang luas dan kemudiannya peserta dibawa ke satu penempatan di padang pasir untuk makan malam sambil menyaksikan acara tradisi Arab iaitu menari kebudayaan Arab. Itu bahasa rasminya, bahasa mudahnya, belly dancing, hah gitu.

SMS itu diterima di sini

Mata yang tadi tidak berkelip kini membaca SMS itu. “Malaysia menang sepakan penalti 5-4”

 
Rugi memang rugi tak menonton perlawanan yang ditunggu-tunggu antara Malaysia dan Indonesia final di Sukan Sea untuk merebut ibu segala emas itu. Namun apa nak buat, terpaksa bertugas sementara di timur tengah ini selama lima hari sambil tidak melepaskan peluang untuk melawati tempat-tempat yang wajib dikunjungi di Dubai ini. Jika ada kesempatan, Dato’ akan bawa ole-ole dari Dubai untuk semua pembaca pada entri-entri yang akan datang. Fokus pada tajuk Isketambola ini dulu, jangan keluar tajuk, hah gitu.

Tahniah skuad Harimau Muda yang berjaya mengekalkan pingat emas pada temasya Sukan Sea ke 26 di Palembang yang tamat sudah. Garuda hanya mampu menggaru dada. Harimau Muda pulang bergaya walaupun terpaksa pulang dengan barracuda. Hah gitu.

Setelah selamat tiba ke tanah air, bertemu semula Datin, menyampaikan sourvenier dari Dubai dan membayar upah apa yang patut, Dato’ segera bertanyakan kepada Datin akan perlawanan akhir Sukan Sea itu memandangkan Datin menyaksikan live perlawanan itu. Seperti pengulas sukan professional, dia menceritakan yang suasana di kawasan rumah riuh rendah kerana semua jiran-jiran turut sama menonton dan bersorak, dan suasana terus bingit apabila gol tercipta.

Tambah Datin lagi, Indonesia telah menjaringkan gol permulaan pada minit ke 5 diikuti dengan gol penyamaan Malaysia beberapa minit kemudian. Kedudukan seri 1-1 sehingga tamat masa perlawanan sebenar, masa kecederaan dan masa tambahan. Lalu perlawanan ditentukan dengan sepakan penalti dan Malaysia berjaya melakukannya.

Wow, sungguh hebat Datin. Bijak mengulas perlawanan bolasepak yang biasanya dimonopoli oleh orang lelaki. Kagum Dato’ seminit, tak sangka di dalam sopan santunnya dan dalam penangan ramuan masakan masterchefnya ada tersembunyi bakat terpendam meminati bolasepak.

Tidak dinafikan golongan wanita semakin menunjukkan minat di dalam sukan bolasepak. Kadang-kadang mereka lagi fanatik daripada lelaki. Pemain-pemain bola yang mereka minati seakan seperti artis-artis pujaan mereka. Kepada yang minat K-Pop atau drama Korea sudah semestinya meminati Khairul Fahmi Che Mat (Apex) dan juga Ong Kim Swee. Kepada yang minat filem Bollywood dan Tamil sudah pastinya meminati pemain bola pujaan mereka, Thamil Arasu. Hah gitu. Dan kepada mereka yang meminati nasyid sudah pastinya mereka juga meminati Muslim Ahmad.

Apa jua minat mereka, sumbangan wanita mampu merancakkan lagi sukan bolasepak tanah air kerana tangan yang menggoncang pompon mampu menggegar dunia bola. Mereka sudah sebaris dengan golongan lelaki, tinggal lagi mereka perlu mendalami lagi terma-terma bola selain daripada mendalami pemain-pemain bola. Dato’ pasti dan sure ramai antara mereka yang masih tidak paham apa itu offside.

“Macam mana gol first Indonesia? Cantik tak?” Dato’ ingin mendapatkan pencerahan.

“Cantik gol tu.  Bola laju sangat.  Indonesia gol masa orang tengah 'ramai-ramai'." Datin terus mengulas.

Malam tadi Dato’ berkesempatan menyaksikan siaran ulangan. Gol pertama Indonesia memang cantik dan bola memang laju. Tapi tentang 'ramai-ramai' tu rupa-rupanya sepakan penjuru atau corner kick. Memang orang tengah “ramai-ramai” pun masa tu!

www.gurunsakura.blogspot.com

Wednesday, November 9, 2011

Seksualiti Merdeka


Sudah menjadi lumrah dan kebiasaan, dalam setiap keluaran posting di blog ini, orang yang menjadi hero menyelamatkan keadaan dan menyelesaikan masalah adalah Dato’ Shah. Hah gitu. Tetapi di dalam cerita yang bakal dipaparkan ini, Dato’ telah  gagal untuk menyelesaikan kes.


Baru-baru ini, ada seorang teman yang dikenali sebagai Din datang berjumpa dengan Dato’. Din baru sahaja mendirikan rumah tangga dan mempunyai seorang isteri yang cantik. Din amat percaya yang Dato’ bisa memberi khidmat nasihat kepadanya.


Hairan, baru sahaja kahwin, dah ada masalah. Tetapi yang mengadu masalah ini bukannya Din, tetapi isterinya sendiri. Menurut kata Din, isterinya ingin membuat bantahan dan menyuarakan hasratnya untuk seksualiti merdeka. Rupa-rupanya si Din ni tak beragak. Hari-hari mau. Hari-hari dia nak membuat cinta dengan isterinya, atau dalam bahasa Inggerisnya, dengan izin, “making love”. Hah gitu. Patutlah isterinya ingin merdeka dan bebas sekali sekala.


Untuk menyelesaikan problem solving Din ini, mari kita semak latar belakang dirinya dahulu. Din ni orangnya jujur, baik, berakal panjang tapi sayangnya dia ni berlidah pendek.  Dia benar-benar buntu dan amat berharap agar Dato’ dapat bantu.


“Beginillah Din, aku cadangkan, kau buat jadual. Kau hanya perlu "bersama" dengan isteri kau pada malam hari-harinya yang ada huruf “T”.  Malam lain, kasi rest!"


Begitulah cadangan Dato’. Untuk memudahkan Din mengingat dan mengurus jadual, dia hanya perlu bersama isterinya pada malam hari yang ada huruf “T”. Paham-paham dia sendirilah iaitu dia hanya perlu ‘bersama’ dengan isteri pada malam Jumaat dan Sabtu sahaja dalam seminggu.


Teringat pula Dato’ akan Program Seksualiti Merdeka yang diadakan setiap tahun sejak 2008. Pada tahun ini dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 13 November 2011 dengan matlamat untuk menuntuk hak dan kebebasan golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka.

 
Mana-mana manusia yang normal pun, bila pergi ke tandas awam, dia akan masuk ke salah satu sama ada tandas lelaki atau tandas wanita. Tidak mungkin untuk seseorang itu boleh pergi ‘membuang’ di kedua-dua tempat. Begitulah halnya dengan seksualiti seorang manusia. Harus sejajar dengan kenormalan jantina itu sendiri yang mana lelaki itu untuk perempuan dan perempuan itu untuk lelaki.


Apabila golongan-golongan LGBT ini bersuara samalah seperti anak-anak lelaki yang masih kecil bersuara untuk membeli tudung. Samalah juga seperti anak-anak perempuan yang masih kecil bersuara untuk bermain combat dan Rambo. Mereka boleh bersuara kerana itu lahir dari diri mereka yang ada krisis identiti diri, dan mereka boleh terus sesat akibat tiada tarbiyah agama. Namun kita yang begitu arif akan mana benar dan mana yang songsang, tidak perlu beri ruang sama sekali. Bila mereka bersuara, kita pun harus bersuara. Boboy… boboy… tudung ni untuk Gegirl, nah ambik kopiah ni. Gegirl… Gegirl… combat ni Boboy punya, pergi main masak-masak kat sana. Hah gitu.


Hari Ahad yang lalu, Din datang lagi. Nampak keadaan dia masih lagi kusut masai, seperti masalahnya belum selesai. Dato’ kemudian bertanya akan keadaan dia dan isteri dan sama ada dia mengikut jadual yang Dato’ beri tempoh hari. Din kata dia memang “bersama” dengan isteri hanya pada hari yang ada huruf “T” tu, tapi isteri dia masih mengadu tak puas hati dan ingin bebas.


“Eh pelik betul. Baiklah Din, aku nak tanya kau, hari ni hari apa?”


“Hari ni hari Ahat!”


“Esok?”


“Esok hari Ithnin. Lusa hari Tselasa. Tulat hari Ratbu...pastu hari Tamis...!”

Tuesday, November 8, 2011

Haji YB


Suasana di pejabat ketika ini muram dan durja. Hari pertama selepas cuti Hari Raya Aidiladha sungguh mencabar untuk diharungi. Masih terbayang lagi wajah-wajah kesayangan hamba semasa sama-sama berjumpa pada pagi raya bersalam-salaman dan bermaaf-maafan. Masih terbayang jua wajah sayu sang lembu korban melintasi green carpet beberapa minit sebelum kembali kehadrat ilahi. Masih tergambar lagi suasana meriah pasca-korban apabila gotong royong dihidupkan bagi mengagihkan daging korban kepada mereka yang menerima dan suasana bagaimana penduduk setempat merewang bersama untuk menjayakan kenduri korban. Masih juga terkenang bagaimana anak-anak kecil kerap menutup mata semasa ibadah korban dijalankan dan bagaimana ibu-ibu mereka kerap membuka mulut semasa ibadah korban. Juga masih terbayang lagi suasana meriah lampu-lampu brek dinyalakan di sana sini sepanjang lebuhraya disebabkan trafik jam. Hah gitu. Apapun yang tergambar di minda mereka sekarang ini semuanya dapat disimpulkan dengan satu perkataan – penat!

Sekarang jam di dinding menunjukkan tepat pukul 9.00 pagi. Memori-memori tersebut masih menggamit di minda dan nampaknya belum ada lagi staf yang menunjukkan gaya nak memulakan kerja. Haji Awal, bukan nama sebenar, secara tiba-tiba cuba memecah kesunyian. Di pejabat, Haji Awal digelar juga Haji YB disebabkan beliau pernah pergi ke Mekah menunaikan haji bersama menteri. Siap balik awal lagi daripada jemaah lain. Hah gitu. Haji YB mengadu lenguh-lenguh badan penat melapah seekor lembu korban. Beliau mendakwa di kalangan yang melapah adalah orang-orang veteran. Apabila ditanya sama ada pemuda-pemuda yang ada, menghulur pertolongan, beliau mengangguk mereka ada tolong, tapi hanya tolong rakam gambar dan upload ke facebook. Namun Haji YB mendiamkan sahaja, kerana mereka berjanji untuk tag dalam facebook, gambar Haji YB yang sedang menambat kaki lembu korban tersebut.

Rahim Noh, yang duduk berhampiran dengan Haji YB pula menceritakan bagaimana raya korban dimanfaatkan untuk membuat kenduri aqiqah anak lelakinya. Rahim mempunyai dua orang anak dan kesemuanya lelaki. Haji YB kemudian memuji Rahim kerana pada tafsirannya lelaki yang mempunyai anak lelaki, adalah lelaki yang bukan pemain atau player pada masa bujangnya. Player atau playboy di sini bermaksud lelaki yang suka berpoya-poya dengan ramai wanita.

“Lelaki ni biasanya, kalau anak pertama dia perempuan, dia ni masa bujang seorang yang playboy. Kalau anak keduanya lelaki, dia mungkin dah insaf akan perbuatannya dulu. Tapi kalau anak kedua perempuan jugak, sah dia playboy.”

Pening jugak nak paham akan teori Haji YB ni. Menurut Haji YB, rasionalnya ialah Allah menganugerahkan anak perempuan untuk lelaki yang dahulunya playboy, untuk menjaga anak perempuan itu dalam keadaan baik daripada menjadi mangsa playboy lelaki lain. Ini untuk menyedarkan lelaki itu akan sikap buruknya dahulu. Dan pening jugak apabila teori ini didengari oleh Kak Linda, yang sedang On komputer sebab dia baru sampai ofis lewat 15 minit. Hah gitu. Kak Linda ni berperwatakan garang, bukan sahaja dia ni ditakuti oleh suami, malah semua orang di pejabat gerun dengan dia.

Sungguhpun begitu Kak Linda ni seorang yang lurus bendul dan cepat panik. Paling menarik dia mempunyai 4 orang anak perempuan yang masih bersekolah. Jadi apabila mendengar teori Haji YB, Kak Linda menjadi gelabah dan terus marah-marah dan dituduhnya suaminya sendiri seorang playboy. Haji YB dengan si Rahim dah mengekek-mengekek gelak dan cepat-cepat menyorok bawah meja. Kedengaran Kak Linda membebel-bebel mendapat pengesahan suami dia melalui telefon ofis. Entah apa yang suami dia menjawab, kita pun tak tahu. Suasana di ofis ketika itu kecoh seketika.

Terganggu dengan kekecohan yang berlaku, dan konsentrasi membuat kerja terjejas, Dato’ Shah bangun seraya berkata;

“Kak, saya pernah dengar Ustaz cakap, barangsiapa antara kamu, ya’ni orang lelaki yang mempunyai ramai anak perempuan, sesungguhnya mereka ini berpotensi untuk menjadi seorang yang alim dan warak bertaraf wali...”

Kak Linda agak berasa sayu selepas itu dan berasa amat bersalah berkasar dengan suaminya sebentar tadi. Sambil dia merasa agak tenang seketika, dia berasa agak pening dengan teori Dato’ Shah itu.

Dato’ Shah menyambung, “...ya'ni wali nikah”.

Suasana di pejabat ketika ini kembali tenang. Masing-masing tekun membuat kerja termasuk Haji YB, Rahim Noh dan tidak ketinggalan Kak Linda.

Ah bendo sonang camni pun Dato’ Shah jugak kena settelkan!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...