Undilah...

Saturday, November 26, 2011

Isketambola

Satu Sistem Pesanan Ringkas (SMS) telah terbang dari benua Asia Tenggara ke Semenanjung Arab di tengah-tengah padang pasir. SMS itu dibuka dan dibaca. SMS ini diterima daripada Datin di Malaysia sementelah Dato’ pada masa itu sedang berada di Dubai menikmati aktiviti Dessert Safari. Dessert Safari ini adalah aktiviti melintasi padang pasir yang luas dan kemudiannya peserta dibawa ke satu penempatan di padang pasir untuk makan malam sambil menyaksikan acara tradisi Arab iaitu menari kebudayaan Arab. Itu bahasa rasminya, bahasa mudahnya, belly dancing, hah gitu.

SMS itu diterima di sini

Mata yang tadi tidak berkelip kini membaca SMS itu. “Malaysia menang sepakan penalti 5-4”

 
Rugi memang rugi tak menonton perlawanan yang ditunggu-tunggu antara Malaysia dan Indonesia final di Sukan Sea untuk merebut ibu segala emas itu. Namun apa nak buat, terpaksa bertugas sementara di timur tengah ini selama lima hari sambil tidak melepaskan peluang untuk melawati tempat-tempat yang wajib dikunjungi di Dubai ini. Jika ada kesempatan, Dato’ akan bawa ole-ole dari Dubai untuk semua pembaca pada entri-entri yang akan datang. Fokus pada tajuk Isketambola ini dulu, jangan keluar tajuk, hah gitu.

Tahniah skuad Harimau Muda yang berjaya mengekalkan pingat emas pada temasya Sukan Sea ke 26 di Palembang yang tamat sudah. Garuda hanya mampu menggaru dada. Harimau Muda pulang bergaya walaupun terpaksa pulang dengan barracuda. Hah gitu.

Setelah selamat tiba ke tanah air, bertemu semula Datin, menyampaikan sourvenier dari Dubai dan membayar upah apa yang patut, Dato’ segera bertanyakan kepada Datin akan perlawanan akhir Sukan Sea itu memandangkan Datin menyaksikan live perlawanan itu. Seperti pengulas sukan professional, dia menceritakan yang suasana di kawasan rumah riuh rendah kerana semua jiran-jiran turut sama menonton dan bersorak, dan suasana terus bingit apabila gol tercipta.

Tambah Datin lagi, Indonesia telah menjaringkan gol permulaan pada minit ke 5 diikuti dengan gol penyamaan Malaysia beberapa minit kemudian. Kedudukan seri 1-1 sehingga tamat masa perlawanan sebenar, masa kecederaan dan masa tambahan. Lalu perlawanan ditentukan dengan sepakan penalti dan Malaysia berjaya melakukannya.

Wow, sungguh hebat Datin. Bijak mengulas perlawanan bolasepak yang biasanya dimonopoli oleh orang lelaki. Kagum Dato’ seminit, tak sangka di dalam sopan santunnya dan dalam penangan ramuan masakan masterchefnya ada tersembunyi bakat terpendam meminati bolasepak.

Tidak dinafikan golongan wanita semakin menunjukkan minat di dalam sukan bolasepak. Kadang-kadang mereka lagi fanatik daripada lelaki. Pemain-pemain bola yang mereka minati seakan seperti artis-artis pujaan mereka. Kepada yang minat K-Pop atau drama Korea sudah semestinya meminati Khairul Fahmi Che Mat (Apex) dan juga Ong Kim Swee. Kepada yang minat filem Bollywood dan Tamil sudah pastinya meminati pemain bola pujaan mereka, Thamil Arasu. Hah gitu. Dan kepada mereka yang meminati nasyid sudah pastinya mereka juga meminati Muslim Ahmad.

Apa jua minat mereka, sumbangan wanita mampu merancakkan lagi sukan bolasepak tanah air kerana tangan yang menggoncang pompon mampu menggegar dunia bola. Mereka sudah sebaris dengan golongan lelaki, tinggal lagi mereka perlu mendalami lagi terma-terma bola selain daripada mendalami pemain-pemain bola. Dato’ pasti dan sure ramai antara mereka yang masih tidak paham apa itu offside.

“Macam mana gol first Indonesia? Cantik tak?” Dato’ ingin mendapatkan pencerahan.

“Cantik gol tu.  Bola laju sangat.  Indonesia gol masa orang tengah 'ramai-ramai'." Datin terus mengulas.

Malam tadi Dato’ berkesempatan menyaksikan siaran ulangan. Gol pertama Indonesia memang cantik dan bola memang laju. Tapi tentang 'ramai-ramai' tu rupa-rupanya sepakan penjuru atau corner kick. Memang orang tengah “ramai-ramai” pun masa tu!

www.gurunsakura.blogspot.com

Wednesday, November 9, 2011

Seksualiti Merdeka


Sudah menjadi lumrah dan kebiasaan, dalam setiap keluaran posting di blog ini, orang yang menjadi hero menyelamatkan keadaan dan menyelesaikan masalah adalah Dato’ Shah. Hah gitu. Tetapi di dalam cerita yang bakal dipaparkan ini, Dato’ telah  gagal untuk menyelesaikan kes.


Baru-baru ini, ada seorang teman yang dikenali sebagai Din datang berjumpa dengan Dato’. Din baru sahaja mendirikan rumah tangga dan mempunyai seorang isteri yang cantik. Din amat percaya yang Dato’ bisa memberi khidmat nasihat kepadanya.


Hairan, baru sahaja kahwin, dah ada masalah. Tetapi yang mengadu masalah ini bukannya Din, tetapi isterinya sendiri. Menurut kata Din, isterinya ingin membuat bantahan dan menyuarakan hasratnya untuk seksualiti merdeka. Rupa-rupanya si Din ni tak beragak. Hari-hari mau. Hari-hari dia nak membuat cinta dengan isterinya, atau dalam bahasa Inggerisnya, dengan izin, “making love”. Hah gitu. Patutlah isterinya ingin merdeka dan bebas sekali sekala.


Untuk menyelesaikan problem solving Din ini, mari kita semak latar belakang dirinya dahulu. Din ni orangnya jujur, baik, berakal panjang tapi sayangnya dia ni berlidah pendek.  Dia benar-benar buntu dan amat berharap agar Dato’ dapat bantu.


“Beginillah Din, aku cadangkan, kau buat jadual. Kau hanya perlu "bersama" dengan isteri kau pada malam hari-harinya yang ada huruf “T”.  Malam lain, kasi rest!"


Begitulah cadangan Dato’. Untuk memudahkan Din mengingat dan mengurus jadual, dia hanya perlu bersama isterinya pada malam hari yang ada huruf “T”. Paham-paham dia sendirilah iaitu dia hanya perlu ‘bersama’ dengan isteri pada malam Jumaat dan Sabtu sahaja dalam seminggu.


Teringat pula Dato’ akan Program Seksualiti Merdeka yang diadakan setiap tahun sejak 2008. Pada tahun ini dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 13 November 2011 dengan matlamat untuk menuntuk hak dan kebebasan golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka.

 
Mana-mana manusia yang normal pun, bila pergi ke tandas awam, dia akan masuk ke salah satu sama ada tandas lelaki atau tandas wanita. Tidak mungkin untuk seseorang itu boleh pergi ‘membuang’ di kedua-dua tempat. Begitulah halnya dengan seksualiti seorang manusia. Harus sejajar dengan kenormalan jantina itu sendiri yang mana lelaki itu untuk perempuan dan perempuan itu untuk lelaki.


Apabila golongan-golongan LGBT ini bersuara samalah seperti anak-anak lelaki yang masih kecil bersuara untuk membeli tudung. Samalah juga seperti anak-anak perempuan yang masih kecil bersuara untuk bermain combat dan Rambo. Mereka boleh bersuara kerana itu lahir dari diri mereka yang ada krisis identiti diri, dan mereka boleh terus sesat akibat tiada tarbiyah agama. Namun kita yang begitu arif akan mana benar dan mana yang songsang, tidak perlu beri ruang sama sekali. Bila mereka bersuara, kita pun harus bersuara. Boboy… boboy… tudung ni untuk Gegirl, nah ambik kopiah ni. Gegirl… Gegirl… combat ni Boboy punya, pergi main masak-masak kat sana. Hah gitu.


Hari Ahad yang lalu, Din datang lagi. Nampak keadaan dia masih lagi kusut masai, seperti masalahnya belum selesai. Dato’ kemudian bertanya akan keadaan dia dan isteri dan sama ada dia mengikut jadual yang Dato’ beri tempoh hari. Din kata dia memang “bersama” dengan isteri hanya pada hari yang ada huruf “T” tu, tapi isteri dia masih mengadu tak puas hati dan ingin bebas.


“Eh pelik betul. Baiklah Din, aku nak tanya kau, hari ni hari apa?”


“Hari ni hari Ahat!”


“Esok?”


“Esok hari Ithnin. Lusa hari Tselasa. Tulat hari Ratbu...pastu hari Tamis...!”

Tuesday, November 8, 2011

Haji YB


Suasana di pejabat ketika ini muram dan durja. Hari pertama selepas cuti Hari Raya Aidiladha sungguh mencabar untuk diharungi. Masih terbayang lagi wajah-wajah kesayangan hamba semasa sama-sama berjumpa pada pagi raya bersalam-salaman dan bermaaf-maafan. Masih terbayang jua wajah sayu sang lembu korban melintasi green carpet beberapa minit sebelum kembali kehadrat ilahi. Masih tergambar lagi suasana meriah pasca-korban apabila gotong royong dihidupkan bagi mengagihkan daging korban kepada mereka yang menerima dan suasana bagaimana penduduk setempat merewang bersama untuk menjayakan kenduri korban. Masih juga terkenang bagaimana anak-anak kecil kerap menutup mata semasa ibadah korban dijalankan dan bagaimana ibu-ibu mereka kerap membuka mulut semasa ibadah korban. Juga masih terbayang lagi suasana meriah lampu-lampu brek dinyalakan di sana sini sepanjang lebuhraya disebabkan trafik jam. Hah gitu. Apapun yang tergambar di minda mereka sekarang ini semuanya dapat disimpulkan dengan satu perkataan – penat!

Sekarang jam di dinding menunjukkan tepat pukul 9.00 pagi. Memori-memori tersebut masih menggamit di minda dan nampaknya belum ada lagi staf yang menunjukkan gaya nak memulakan kerja. Haji Awal, bukan nama sebenar, secara tiba-tiba cuba memecah kesunyian. Di pejabat, Haji Awal digelar juga Haji YB disebabkan beliau pernah pergi ke Mekah menunaikan haji bersama menteri. Siap balik awal lagi daripada jemaah lain. Hah gitu. Haji YB mengadu lenguh-lenguh badan penat melapah seekor lembu korban. Beliau mendakwa di kalangan yang melapah adalah orang-orang veteran. Apabila ditanya sama ada pemuda-pemuda yang ada, menghulur pertolongan, beliau mengangguk mereka ada tolong, tapi hanya tolong rakam gambar dan upload ke facebook. Namun Haji YB mendiamkan sahaja, kerana mereka berjanji untuk tag dalam facebook, gambar Haji YB yang sedang menambat kaki lembu korban tersebut.

Rahim Noh, yang duduk berhampiran dengan Haji YB pula menceritakan bagaimana raya korban dimanfaatkan untuk membuat kenduri aqiqah anak lelakinya. Rahim mempunyai dua orang anak dan kesemuanya lelaki. Haji YB kemudian memuji Rahim kerana pada tafsirannya lelaki yang mempunyai anak lelaki, adalah lelaki yang bukan pemain atau player pada masa bujangnya. Player atau playboy di sini bermaksud lelaki yang suka berpoya-poya dengan ramai wanita.

“Lelaki ni biasanya, kalau anak pertama dia perempuan, dia ni masa bujang seorang yang playboy. Kalau anak keduanya lelaki, dia mungkin dah insaf akan perbuatannya dulu. Tapi kalau anak kedua perempuan jugak, sah dia playboy.”

Pening jugak nak paham akan teori Haji YB ni. Menurut Haji YB, rasionalnya ialah Allah menganugerahkan anak perempuan untuk lelaki yang dahulunya playboy, untuk menjaga anak perempuan itu dalam keadaan baik daripada menjadi mangsa playboy lelaki lain. Ini untuk menyedarkan lelaki itu akan sikap buruknya dahulu. Dan pening jugak apabila teori ini didengari oleh Kak Linda, yang sedang On komputer sebab dia baru sampai ofis lewat 15 minit. Hah gitu. Kak Linda ni berperwatakan garang, bukan sahaja dia ni ditakuti oleh suami, malah semua orang di pejabat gerun dengan dia.

Sungguhpun begitu Kak Linda ni seorang yang lurus bendul dan cepat panik. Paling menarik dia mempunyai 4 orang anak perempuan yang masih bersekolah. Jadi apabila mendengar teori Haji YB, Kak Linda menjadi gelabah dan terus marah-marah dan dituduhnya suaminya sendiri seorang playboy. Haji YB dengan si Rahim dah mengekek-mengekek gelak dan cepat-cepat menyorok bawah meja. Kedengaran Kak Linda membebel-bebel mendapat pengesahan suami dia melalui telefon ofis. Entah apa yang suami dia menjawab, kita pun tak tahu. Suasana di ofis ketika itu kecoh seketika.

Terganggu dengan kekecohan yang berlaku, dan konsentrasi membuat kerja terjejas, Dato’ Shah bangun seraya berkata;

“Kak, saya pernah dengar Ustaz cakap, barangsiapa antara kamu, ya’ni orang lelaki yang mempunyai ramai anak perempuan, sesungguhnya mereka ini berpotensi untuk menjadi seorang yang alim dan warak bertaraf wali...”

Kak Linda agak berasa sayu selepas itu dan berasa amat bersalah berkasar dengan suaminya sebentar tadi. Sambil dia merasa agak tenang seketika, dia berasa agak pening dengan teori Dato’ Shah itu.

Dato’ Shah menyambung, “...ya'ni wali nikah”.

Suasana di pejabat ketika ini kembali tenang. Masing-masing tekun membuat kerja termasuk Haji YB, Rahim Noh dan tidak ketinggalan Kak Linda.

Ah bendo sonang camni pun Dato’ Shah jugak kena settelkan!

Saturday, October 29, 2011

Cerpapen: Edisi Performance Review

Karipap-karipap yang sebentar tadi panas, kini menjadi sejuk, kesan udara hawa dingin yang dipasang pada kadar yang dingin amat. Letaknya teratur dan dihempap-hempap antara satu sama lain di dalam mangkuk kaca yang bertaraf eksklusif. Bosan dan rimas dengan keadaan yang terhimpit, sebiji daripada karipap itu bangun bersuara, “Eh kawan, kau tengok sebelah kita itu, berlengas je aku tengok, jijik!”.

Di satu sudut berdekatan dengan sekumpulan karipap itu, kelihatan donut-donut yang dipenuhi gula satu badan.

Karipap itu mula menegur donut, “Kau tau kitaorang punya strength? Sekarang ni kitaorang dah glamer, manusia dah angkat kami ke layar perak. Tu Karipap-Karipap Cinta. Kau ada? Aku tengok kau ni banyak weaknesses. Tahukah kau bahawa kaulah kuih yang ditengah-tengahnya tak boleh dimakan? Sebab tengah-tengah kau berlubang, mana boleh makan. Hah gitu.”

Selamba saja karipap mengchoki-chokikan donut itu sambil disusuli hilai ketawa rakan-rakan papnya yang lain.

Donut rasa tercabar dan membalas, “Eleh, baru masuk satu filem dah kecoh. Nak cakap pasal strength konon. Eh antara aku dengan kau siapa lagi berharga? Aku lagi bernilai tau. Setakat kau, 3 biji boleh dapat seringgit. Kau cuba pergi Big Apple boleh ke tak beli donut dengan seringgit?”

Tersentap mendengar kata-kata donut, karipap mengambil tindakan untuk mengubah topik, “Wei… wei… kau perasan tak, ada manusia yang tengah perhatikan kita ni?”

“Mana… mana?”, tanya donut yang telah masuk perangkap karipap.

Ya, sebenarnya yang sedang memerhatikan mereka berkuih, adalah Dato’ sendiri. Dah lama Dato’ duk usha usha. Bilalah nak dapat makan ni. Bilik meeting ni dahlah sejuk. Meeting pulak membosankan, berkenaan dengan performance evaluation di akhir tahun. Setiap staff dikehendaki mengisi borang, dan menyatakan adakah goal yang dicadangkan pada awal tahun tercapai melalui prestasi kerja sepanjang tahun. Juga di situ perlu dinyatakan akan strength (kekuatan), weaknesses (kekurangan atau point untuk peningkatan prestasi. Semua ini akhirnya akan dibincangkan bersama dengan supervisor masing-masing.

Tiba-tiba telefon Dato’ bergetar. Hah, ini yang ditunggu-tunggu. Dapat juga Dato’ keluar sekejap dari bilik meeting.

“Hello, kami dari Syarikat Korea...”

Hah. Syarikat Korea mana pulak yang telefon ni. Mana pulak dia dapat resume Dato’. Terbayang pulak nanti, dapat kerja satu office bersama Saranghae Saranghae di sekeliling. Lepas waktu ofis, boleh pergi konsert Girls Generation.

“Kami dari Coway. Hari tu, pekerja kami ada datang rumah, buat servis, bukan? Kami ingin mendapatkan maklum balas. Adakah pekerja itu berpakaian kemas, datang pada masa yang dijanjikan dan memberi penerangan yang secukupnya. Kemudian kami mahu mendapatkan rating, dari 1 hingga 5, berapa yang Encik bagi?”

Dato’ memang mempunyai mesin penapis air Coway di rumah. Hai, sampai Coway pun buat performance review kat pekerja dia. Memang musim agaknya. Maklumlah hujung tahun, nak tentukan juga, siapa yang promote, siapa yang demote, ada kenaikan gaji atau tidak.

Sempena musim performance evaluation ini, Dato’ ingin mempersembahkan satu lagi Cerpapen - cerita paling pendek. Selamat membaca. Yang tadi tu mukadimah aje. Hah gitu.

22 tahun pasangan itu mendirikan rumahtangga. Adat hidup suami isteri, ada pasang surutnya. Lautan mana yang tidak dilambung ombak, langit mana yang tidak mendung dan lebuhraya mana yang tak pernah accident. Namun segala onak dan duri ditempuh jua. Salmiah telah dikurniakan Ilahi dengan empat cahaya mata, bersama pasangannya Harun. Apa yang menjadi masalah ialah anak-anak Salmiah semuanya anak-anak Harun. Anak Harun betul! Maksudnya anak-anaklah antara sebab Salmiah terus kuat mempertahankan rumahtangganya yang bagaikan retak menanti belah.

Selama lebih 10 tahun Salmiah dan Harun, suami isteri tidak bercakap sesama sendiri. Kadangkala, mereka menggunakan facebook sebagai medium untuk berkomunikasi.  Itupun dengan mengupdate status facebook masing-masing walaupun mereka berada di dalam rumah yang sama. Jika Salmiah ingin keluar ke rumah, untuk mendapatkan izin suami, dia terus update statusnya;


“Pergi ke kota menunggang kuda,
Membawa ragi bersama pandan,
Hajat di hati mahu ke kota,
Apakah diri ini diizinkan?"

Walau bagaimanapun Harun tidak membeli pantun Salmiah kerana Salmiah pun tak ingin menjualnya. Salmiah hanya akan keluar rumah setelah suaminya Harun like status facebooknya. Begitulah kroniknya keadaan rumah tangga mereka.

Salmiah berasal dari Terengganu manakala Harun berasal dari Selangor. Mereka  berselisih faham bukanlah kerana Harun bengang disebabkan Selangor kalah kepada Terengganu di separuh akhir Piala Malaysia 2011. Atau bukanlah sebab Salmiah bengang disebabkan Enakmen Hudud di Terengganu semasa PAS memerintah yang tidak dinyatakan peraturan jika suami meliwat isteri. Punca selisih faham ini adalah kerana ego masing-masing.

Untuk itu, Salmiah telah bertekad untuk mendapatkan khidmat nasihat di pejabat agama secara bersendirian. Salmiah menceritakan masalah rumah tangga mereka di hadapan seorang ustaz yang bertugas pada ketika itu. Salmiah menceritakan segalanya yang berlaku pada sesi performance review itu.

Ustaz itu tercengang dan pelik bagaimana suami isteri boleh tinggal sebumbung tetapi tidak bercakap selama 10 tahun! Lalu ustaz itu bersuara, “Beginilah, apa kata kamu, sebagai isteri, mengalahlah, buanglah ego kamu tu. Kamu tegurlah suami kamu tu dulu. Tak ada jatuhnya maruah kamu, malah martabat kamu akan tinggi di atas sifat rendah diri kamu itu.”

Semasa Ustaz itu sedang memberi khidmat nasihat, dia terdengar suara budak menangis di dalam bilik kaunseling itu. Tiba-tiba budak yang berusia lebih kurang 2 tahun itu muncul di sebelah Salmiah.

“Yelah... yelah... kejap lagi kita balik ye”, pujuk Salmiah kepada budak itu.

“Ini anak kamu ke?”, tanya Ustaz dengan penuh kehairanan. Salmiah menjatuhkan kepalanya sekali. Budak itu merupakan anak keempat Salmiah dan Harun.

Ustaz: "Eh peliknya, macam mana kamu tak bercakap dengan suami kamu selama 10 tahun, tapi kamu ada anak yang kecil sebegini?"

Salmiah: "Ustaz oh ustaz… Kalau bab tu, memey lah… Tak perlu kata apa-apa…"

Ustaz: (Senyum)

Hamboi. Gaduh punya pasal, masa suami isteri tu nak berkomunikasi, dia sanggup guna facebook. Tapi bila nak anak, pandai pulak dia guna face to face ye. Hah gitu. Pengajaran cerpapen kali ini ialah, performance review harus dilakukan dengan ikhlas dan tanpa ada ego di hati. Berbincanglah dan bermuhasabahlah tentang kelemahan diri dan cara-cara untuk memajukan diri dengan orang yang sepatutnya kita rujuk.

Wednesday, October 26, 2011

Cuti Diwali


“Assalammualaikum…w.b.t. Perhatian kepada ibu/bpa penjaga,
dimaklumkan bahawa tadika arabiah bab al-kauthar akan ditutup(cuti)
pada 26,27,28 hb oktober 2011 untk beri laluan pada cuti deepavali.
Kerja sama dari pihak tuan dan puan, amat kami hargai. Tkasih. Harap maklum.”

SMS ini Dato’ terima pada dua hari yang lepas, manakala hari ini umat beragama Hindu merayakan hari Deepavali, ataupun hari Diwali seperti yang kita kenali semasa menonton filem Hindustan. Deepavali disambut  pada hari ke 14 bulan Aipasi di dalam calendar Tamil, iaitu antara bulan Oktober dan November. Perayaan Deepavali dikenali sebagai pesta cahaya dan juga dikenali sebagai hari cuti umum di Malaysia. Hah gitu. Ada pihak seperti Human Right Party (HRP) yang merupakan platform politik Hindraf mencadangkan agar cuti deepavali dipanjangkan lagi seperti dua perayaan  terbesar di Malaysia yang lain, Tahun Baru Cina dan Aidilfitri. Diharap kerajaan dapat mengkaji dan menimbang permintaan pihak berkenaan tentang cuti deepavali. Yelah, ustazah juga tidak mahu ketinggalan meraikan cuti ini bersama-sama. Hah gitu. Barulah kurasa hidup ini akan lebih cerah dan meriah.

Sememangnya kemeriahan Deepavali tidak dapat dinafikan. Pada pagi yang berbahagia ini, kita bangun pagi pada cuti-cuti begini, di atas meja terhidang kuih muih seperti vade, laddu dan hidangan main course yang lain seperti putu mayam, tosai, idli, nan cheese dan makanan lain berasaskan sayuran. Namun ini cuma hanya ilusi. Realitinya, kita harus mandi dan terjahlah ke mana-mana kedai untuk bersarapan pagi.

Dato’ dan sekeluarga telah pun pergi ke restoran mamak berdekatan untuk makan pagi. Ramainya orang tidak terkata. Menyesal pulak bangun lambat. Suasana di kedai mamak pada pagi itu tidak seperti biasa. Hari biasa, belum sempat kita duduk, pekerja mamak sudah bersiap sedia menerima arahan atau order bersama pen dan kertas. Tetapi pagi ini, lain yang dipanggil, lain pula yang datang. Tauke DVD pulak yang datang ambik order. Terkejut juga kami anak beranak mendengar pengakuan yang dia kahwin banyak dan isteri dia semua jahat – “Bini Biniku Gangster”. Eh tauke, bini gua pun gangster taw, kalau dia lapar, dia makan orang taw. Jangan sampai lu pulak jual DVD bini gua nanti! Tauke DVD pun berlalu, namun seorang pun pekerja mamak tak lalu-lalu. Ada yang nak kena Libas ni.

Dato’ pun mengemaskan sendiri meja makan yang berserabut, mengelap sisa kuah dal, dan pergi mencapai baby chair. Setelah beberapa kali mengangkat tangan dan membuat bunyi tikus, akhirnya seorang pekerja singgah. Pesanan telah selamat diambil dan kini kami menunggu giliran makanan sampai. Dalam hati kecil berkata, mengapalah pemilik restoran ini tak belajar dari pengalaman dulu. Kalau public holiday ke cuti umum ke, apa salahnya tambah pekerja. Bila servis laju, orang pun ramai datang. Memanglah sekarang ni pun ramai, tapi ramai yang masih menunggu dan tak dapat makanan lagi. Bila ambik pekerja ramai, servis laju, maka pelanggan akan datang silih berganti.

Bila dah jadi macam ni, pekerja pun, sehingga dah tak menang tangan. Janganlah pula kita nak harap membuat pesanan yang mengada-ngada. Nak order telur mata yang mata tak nak pecah, bihun goreng tak nak sayur, teh tarik kurang panas, roti canai kuah dal campur kari, telur tiga suku masak lebih masak, roti bakar miskin (kurang kaya dan mentega), ais krim goreng, jangan haraplah. Nanti karang, lain yang diorder, lain yang sampai, kita pulak yang lebih masak, mulalah rasa nak pecahkan muka orang.

Selang 10 minit begitu, makanan dan minuman kami pun sampai. Alhamdulillah semuanya cukup sempurna kecuali satu. Sudu dan garpu tak sampai. Ini tak boleh jadi. Kalau nak panggil mamak tu lagi sekali, bila pulak dia nak datang, boleh jadi kebulur kami anak beranak tak makan. Dato’ pun bangun dengan mengambil sendiri sudu dan garpu di tray.

Dengan secara tiba-tiba, Dato’ terdengar suara orang berleter dan suara orang marah-marah datangnya daripada pemilik restoran mamak itu, rasanya dia boss kat situ. Suara itu datang betul-betul dari arah belakang Dato’. Yang tak bestnya boss restoran tu marah-marah kat Dato’ dengan bahasa ibunda dia, yang sepatah haram Dato’ tak paham, kecuali yang hujung-hujung tu yang Dato’ paham, dia kata, “Customers always right… Faster… Faster…!”

Dato’ kemudian bersuara dengan lantang, “Dey tambi, macha! Lu tak tau baca ka? Ini baju tulis K.R.U.… bukan C.R.E.W.! Tarak tau ka KRU? Itu nyanyi lagu AWAS, tarak baca ka? Chittt… Poorah!”

Apabila perut dah lapar, hati dah panas dan perasaan pun dah lebih masak, maka itulah hasilnya. Dato’ pun cepat-cepat makan dan segera meninggalkan restoran. Pengajaran yang berguna untuk Dato’, iaitu janganlah pakai baju KRU semasa berkunjung ke kedai mamak.

Hari ini banyak kali juga Dato’ belek-belek muka ke cermin. Kedai Sri Jaya tu pulak tutup seminggu, nak beli krim. Barulah kurasa hidup ini sememangnya tak fair and lovely! 

Monday, October 24, 2011

Anda Ada 6 KM Lah Pulak


Saya… A407… Dato’ Shah
Aceh, macam inspector Polis perkenalkan diri pulak. Acaner tu? Yang ni Anda Ada 6 km lah pulak, susulan daripada Anda Ada 10 KM. Kali ini dengan semangat yang baru , prinsip yang baru, azam yang baru, cuma t-shirt je yang lama, sebab takde size. Hah gitu. Penganjur hanya ada size L dan M sahaja. Jadi terpaksalah Dato’ pakai t-shirt sendiri. Arggghhh… Ini membuatkan semangat Dato’ lagi membara ni. Tunggulah next time bila dah kurus, Dato’ akan pakai size Muat iaitu saiz M.

Pada tanggal 9 Oktober 2011, hari Ahad, Dato’ telah tanggalkan pakaian tidur awal-awal pagi lagi untuk menyertai satu lagi larian, kali ini larian amal PIKOM Charity Run. Nampak tak, dia punya ayat ulang-ulang... larian, amal, charity, run. Takpelah ini nak menguatkan lagi ayat dan nawaitu untuk berlari. Subuh-subuh lagi, Dato’ telah bergegas ke Capsquare, tempat perlumbaan bermula. Subuh itu juga, ketika Dato’ nak memulakan perlarian, ada pulak sekelompok insan yang baru nak mengakhiri perniagaan, semasa Dato’ menyusuri Jalan Tunku Abdul Rahman dan menjeling-jeling seketika keadaan di sekitarnya.

“Hey, ape nengok-nengok ni, business closed lah, nyah!

Uniknya larian amal ini diadakan di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur yang akan melalui KLCC dan KL Tower. Mengapa larian ini unik? Ini kerana kebiasaanya larian di KL akan diadakan di Dataran Merdeka, dan melalui jalan-jalan yang kurang sibuk. Ini penganjur yang cakap dalam ucapannya semasa semua para pelari sedang memanaskan badan dan semasa Dato’ sedang memanaskan wajah  dengan flash kamera.

Jadi apa pula benchmark Dato’ kali ni? Kamonlah, dah pernah masuk larian takkanlah kali ni nak masuk buta je. Kali ni, Dato’ sudah bersedia dengan strategi bagai. Apa? Benchmark Dato’ masih lagi Datin? Hey, pesan hadith ada menyebut, orang beriman tak akan disengat dua kali dalam lubang yang sama. Tapi Dato’ ada pesan kat dia, nanti sekali sekala, masa larian tu Dato’ akan jenguk-jenguk belakang dan tunggu dia untuk lari sama-sama. Makcik India  dan amoi seluar pendek berbunga??  Hey, harap-harap tak jumpalah. Dahlah laju, potong tak bagi signal.

Dato’ ada strategi baru. Muzik! Malam sebelum larian, Dato’ dah transfer semua lagu-lagu yang fast track, bergenre rancak dan yang kena dengan jiwa Dato’ iaitu kumpulan K-POP, 2pm. Dato’ memang peminat setia 2pm. Bukannya sebab Dato’ selalu keluar lunch dari ofis pukul 2pm, tetapi disebabkan lagu-lagu dia mampu membuatkan kita rasa semangat dan motivasi untuk memulakan tugasan atau apa juga yang  dilakukan.

Setelah peserta-peserta larian dilepaskan untuk berlumba, Dato’ memasang track pertama dari 2pm, “Heartbeat”. Lagu ini berkenaan jantung dan hati seorang lelaki sejati yang berdegap degup ingin meluahkan rasa cintanya kepada si jantung hatinya.  Mendengarkan lagu ini membuatkan permulaan larian Dato’ lancar dan agak licin, dan jantung Dato’ ketika itu mengepam laju persis RON97 masuk ke dalam injap enjin. Peluh jantan mulai turon. Memang ada rasa macam nak berhenti, tapi bertemankan lagu-lagu K-POP  menyebabkan larian Dato’ pada kilometer pertama  agak TIP-TOP. Masuk kilometer kedua, larian-larian peserta yang lain nampak agak perlahan dan ada yang telah berhenti untuk berjalan. Termasuklah Dato’, hah gitu.

Kebetulan, masa Dato’ dah membuat keputusan untuk bersiar-siar sahaja, laluan larian sedang menuju ke arah persimpangan traffic light. Kelihatan di situ Polis traffic sedang mengawal lalu-lintas dan kedengaran bunyi hon yang berpanjangan terutamanya dari mat-mat rempit.

“Hah, cepat-cepat, terhegeh-hegeh!” kata Polis traffic itu dalam hatinya sambil meniup wisel.

Kiri… kanan… kiri… kanan… Dato’ terus memecut laju dan laluan ketika itu sedang menuju ke arah KL Tower. Laluan ke KL Tower berbukit yang curam, menyukarkan perserta untuk lari. Dato’ mengambil keputusan untuk berjalan, tetapi masih dalam semangat pertandingan. Ketika inilah Dato’ terserempak dengan kelibat yang macam pernah dilihat.

Pakcik Nawee??? Oh tidak. Dato’ kemudian memintas Pakcik Nawee tetapi dengan rasa hormat… mintak laluan, mintak laluan.

“Hah kau! Kau tau pasal bajet 2012? Apa kebendanya dia pergi naikkan gaji sampai 40%. Kau pikirlah, harga barang pun naik sama, kau tau? Ha, pastu ada ke dia nak bagi bantuan RM500 untuk orang gaji  RM3,000. Hey, RM500 tu boleh dapat apa? Pastu, ada pulak nak bagi pendidikan percuma. Hey, kalau free, mana orang nak hargai pendidikan tu, nanti ibu bapak buat tak kisah pelajaran anak dia, kau tau?  Kalau anak-anak dah malas belajar nanti, ha ini semua salah kerajaan!

Kau tau dia nak claim Bajet 2012 ni konon berkebajikan. Hey, berkebajikan tu kau tau ke apa? Negara kebajikan tu pemimpin dia berintegriti, petolongan kepada semua rakyat, pastu kena adil. Bukannya bagi pulus dah kira kebajikan, kau tau? Ini tidak, diaorang kat atas kuis sana kuis sini bina Istana. Rakyat kat bawah ni kais petang kais pagi, bina Istana Pasir! Kalau rakyat susah nanti, ha ini semua salah kerajaan!

Umur pesara pulak dia nak naikkan lagi ke 60 tahun, kau tau? Hey, abis tu apa nak jadi dengan budak-budak lepas belajar universiti nanti? Mana ada tempat nanti. Diaorang nak kerja apa? Menganggur? Kalau kadar pengangguran meningkat, ha ini semua salah kerajaan! Dah senja-senja nak kerja, dah senjakala ni patut duk masjid, kau tau!"

Dato’ layankan ajelah. Tapi setelah belajar dari kesilapan yang lalu, Dato’ meminta izin kepadanya untuk blah dari situ disebabkan dia masuk kategori lain, kategori veteran.

Langkah Dato’ agak laju bila menuruni bukit dari KL Tower, masa ni Dato’ main-main brek je, tak yah tekan minyak. Kemudian Dato’ terus berlari, memotong beberapa peserta, dan sekali sekala berjalan laju untuk mengambil nafas, dan menyambung larian bila lagu 2pm terus rancak.

Larian di ketika ini tinggal lagi 2 km yang terakhir dan dengan lagu 2pm terhenti. Di ketika ini juga setelah track bersambung, dengan tak semena mena, di hujung halwa telinga Dato’, kedengaran temponya agak slow. Entah bagaimana, lagu Senjakala, nyanyian P Ramlee muncul. Dato’ terpaksa berlari mengikut rentak iramanya yang agak perlahan. Setelah lebih kurang satu jam, akhirnya Dato’ berjaya ke garisan penamat.

Aik, sijil aje! Medal takde ke. Hey geramnya aku. Ha ini semua sebab muzik slow tadi lah ni. Ha ini semua salah Pakcik Nawee!

Jangan kata yang kita ni berlari di atas trek dan jalan yang salah, tetapi kitalah sebenarnya pelari yang salah. Kita sememangnya mempunyai  pilihan. Jika kedua-dua pilihan itu baik, maka pilihlah yang terbaik. Jika kedua-duanya lemah, bukan pilih yang terlemah, biar Dato’ habiskan ayat dulu. Jika kedua-duanya lemah, maka pilihlah yang kurang lemah antaranya. Sebagai insan biasa, kita senantiasa mahukan kesempurnaan. Tetapi jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran, bak kata orang. Bak kata Dato’, jangan yang dikejar finisher medal, yang dikendong bawa pulang, hanyalah sijil penyertaan!

Saturday, October 15, 2011

Maulid Mubarak

Pada hari ini, 15 Oktober, XX tahun yang lalu, di Hospital Besar, Muar seorang pemuda kelihatan sedang mundar-mandir di ruang legar wad bersalin. Fikiran pemuda berusia 26 tahun itu bercampur gaul, rasa panik, rasa gugup, rasa gementar dan juga rasa teruja. Pemuda itu juga ada rasa sayang hei, rasa sayang sayang kepada isterinya yang sedang bertarung untuk melahirkan anak sulung yang pertama mereka.

Ah, mengapa lama sangat ni. Tidak sabar rasanya untuk meraikan kelahiran yang dinanti. Tidak sabar untuk memberitahu sanak saudara yang sedang menunggu di hari mulia bertemu mesra di majlis aqiqah nanti. Tidak sabar untuk melihat riak wajah ibunya yang tersenyum riang menimang cucu pertamanya di dalam ribaan.


“Uweeeek… uweeeek… uweeekk”

Ahhah! Akhirnya… Opss, salah lagi! Entah kali ke berapa pemuda itu mendengar teriakan bayi. Tidak terhitung, tetapi adalah dalam lapan, kesembilan kali. Namun semuanya bukan teriakan bayinya, tetapi milik orang lain. Maklumlah, hospital kerajaan. Hah gitu. Ramai lagi bakal bapa yang serupa dengan pemuda itu. Menanti dan terus menanti. Penantian satu penyeksaan. Namun satu harapan disematkan. Asalkan bayinya selamat bersama ibunya, lama mana pun harus ditunggu, pemuda itu tidak akan berputus asa. Kalau ada facebook ke, boleh jugak update status dan check in. Namun semua itu belum wujud lagi. Malah, Steve Jobs pun pada masa itu entah berapa kali terkena renjatan elektrik akibat sibuk mengerah iDEA untuk memartabatkan teknologi dan juga modal insan.

Tidak lama kemudian, pemuda itu disapa oleh seseorang dengan ucapan tahniah.

“Anak lelaki… ibunya baik baik sahaja”, kata doktor yang menyambut anugerah tuhan itu.

Tidak ada apa yang dapat digambarkan perasaan ketika itu, tidak ada kata terucap melainkan lafaz Hamdallah, diucapkan berulang-ulang dengan lahirnya permata yang pertama. Setelah  sepasang suami isteri itu dianugerahkan dengan cahaya mata, maka menandakan yang mata mereka akan kurang cahaya, akibat bersengkang mata, siang dan malam memastikan bayi itu cukup makannya, selesa tidurnya, dan juga kurang gigitan nyamuknya.

Pemuda itu dan isterinya berasa amat seronok apabila mendengar tangisan bayi itu, kerana tidak seperti bayi-bayi yang lain, alunan suara bayi itu amat merdu dan berforseto.

“Bang, anak kita dah besar nanti, kalau nyanyi mesti sedap kan?”

“Hish, awak ni, ke situ pulak! Memanglah suara anak kita tu sedap. Tapi yang penting, ilmu, bukan sekadar vokal”

Pemuda yang sabar menanti  kelahiran itu ialah Ayahku sendiri, yang Dato’ panggil Abah. Ibu yang cekal sehingga sanggup menggadaikan nyawa untuk melahirkan itu ialah Ibuku sendiri, yang Dato’ panggil Mak. Bayi yang bersuara emas itu ialah Aku, Dato’ yang dilahirkan pada XX tahun yang lepas, yang Dato’ panggil sebagai Anak.
################################


Hah, kan dah salah! Ada ke uolls kata tajuk entri kali iolls kali ni pasal pekerja Bangladesh yang kerja di Malaysia. Maulid Mubarak ni bahasa Arab, yang bermaksud Meraikan Kelahiran, lebih kurang macam tulah. Pada hari ini, dalam  NO COMMENT tahun yang lepas, Dato’ telah dilahirkan. Dan hari ini Dato’ mengenang kembali kelahiran Dato’, atau dalam bahasa mudah, sambut birthday lah. Hah gitu.

Mengenang kelahiran ini selain mengenang juga asal usul kita, kita juga mengenang jasa-jasa mereka di sebalik tabir atau in the making kita ke dunia yang fana ini, iaitu ibu bapa kita.

Itu kita sebagai insan yang dilahirkan. Manakala mereka di sekeliling, menyambut kita dan menimang kita meraikan kelahiran orang baru yang begitu comel . Setelah kita dewasa, orang-orang disekeliling kita tidak mampu menimang kita, walaupun kita masih comel, tetapi  mereka hanya menyambut birthday kita dengan memberi hadiah istimewa atau paling tidak pun, memberi ucapan Happy Birthday.

Pada hari ini Dato’ banyak juga menerima ucapan birthday dari teman-teman, sahabat handai dan juga rakan-rakan sekalian. Di sini Dato’ senaraikan dan rangkumkan jenis ucapan birthday yang Dato’ terima pada hari yang berbahagia ini.

1) Ucapan iTulus

Ucapan ini diterima oleh orang yang sikapnya tulus, mulus dan tidak bermata pulus. Pendek kata, orangnya ikhlas, tetapi orang jenis ni mempunyai jiwa yang sensitif.  Mereka biasanya tidak mengharap balasan ucapan birthday sekiranya hari jadinya menjelang kelak, tetapi disebabkan jiwa yang sensitif, mereka akan terasa hati juga jika kita buat-buat lupa birthday dia.

2) Ucapan iKreatif

Pemberi ucapan ini mempunyai minda yang kreatif, dan cuba untuk membuat ucapan birthday yang lain daripada yang lain. Cuba lihat ucapannya, tiada satu pun ayat berkaitan dengan birthday, namun kita paham melalui kata kunci itu, iaitu “tua”, yang bermaksud, umur kita meningkat lagi satu tahun. Ucapan iKreatif datangnya daripada seseorang yang menggunakan otak kiri dan biasanya berhaluan kiri, kerana memilih untuk mencipta ucapan yang tersendiri.

3) Ucapan iRobot

Ucapan iRobot datangnya daripada mereka yang berhati robot. Mereka ini lebih kurang sama seperti golongan iKreatif, tapi makam iRobot lagi tinggi. Ini kerana penerima ucapan birthday dari iRobot perlu menyahkodkan ucapan iRobot ini. Walaupun kadang-kadang kita rasa tak kuasa nyah nak layan, tapi balaslah ucapan ini dengan sekurang-kurangnya dengan “TKDKSKBL”.

4) Ucapan iDakwah

Setelah menerima ucapan iDakwah ini, kita tidak mungkin tergamak untuk membuat birthday party dan membuat majlis minum-minum bergas. Mereka yang memberi ucapan ini lebih kurang macam iTulus tetapi yang membezakanya ialah niat mereka untuk beringat-ingat sesama manusia. Mereka yang dikategorikan sebagai iDakwah ini ialah orang yang Didik Manusia, Terdidik Generasi. Hah gitu.

5) Ucapan iSadis

Golongan yang memberi ucapan iSadis ini lebih kurang sama macam iDakwah, cuma ucapan ini agak sadis, dan kepada mereka yang berjiwa gadis dan dah lama tak pukul orang, dinasihatkan jangan membaca ucapan ini. Biasanya pemberi ucapan sebegini  kurang kasih sayang dan tidak pernah menyambut birthday mahupun menerima birthday wish sepanjang hayatnya.

Di bawah ini adalah contoh petikan sms dari golongan iSadis.

Terima kasih atas semua yang sudi memberikan ucapan birthday kepada Dato’. Memperingati hari kelahiran bukan sahaja mengingatkan kita akan jasa orang tua yang melahirkan dan membesarkan kita, tetapi memperingati hari kelahiran mengingatkan kita yang kita semakin besar dan tua. Namun tidak bermakna kita perlu bermuram durja pada hari itu. Bergembiralah, dengan harapan amalan kita cukup untuk membawa kita ke sana. Happy... Happy... Happy... Birthday!
http://www.gurunsakura.blogspot.com/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...